Friday, November 6, 2009

Semangat Jihad dan kesannya.

Jihad datang hanya dari dalam diri. Semangat jihad tidak datang kepada orang yang mati hatinya. Jihad amat perlu dan satu kemestian bagi orang yang mahu selamat dunia dan akhirat. Bagaimana dia boleh selamat jika tidak melawan unsur-unsur jahat yang merosakkan jiwanya, yang mengajak kepada kelalaian dan kemusnahan. Bagaimana dia ingin jadi insan soleh jika duduk diam tidak berusaha menegakkan Islam dalam diri, keluarga dan masyarakat. Itu angan-angan kosong namanya, akibatnya menanggung rugi dan kemurkaan Allah.
Apa maksud jihad? Baling bom? Letupkan diri? Jihad bermaksud segala usaha yang dilakukan dengan sepenuh daya dan tenaga untuk mencapai matlamat dan cita-cita mulia iaitu menegakkan dan mempertahankan Islam pada diri sendiri, keluarga dan masyarakat serta mendapatkan keampunan, rahmat dan keredhaan Allah taala. Jihad sejati adalah jihad kerana Allah. Kesannya mendekatkan kita kepada rahmat Allah, kita mendapat keredhaan Nya. Firman Allah dalam surah Al Hujurat ayat 15 maksudnya, "sesungguhnya orang-orang yang sebenar-benarnya beriman hanyalah orang-orang yang percaya kepada Allah dan rasul Nya, kemudian mereka (terus percaya dengan)tidak ragu-ragu lagi, serta mereka berjuang dengan harta benda mereka dan jiwa mereka pada jalan Allah, mereka itulah orang-orang yang benar (pengakuan imannya). "

Jihad yang dimaksudkan ialah:

1. Jihad melawan hawa nafsu. (Ini disebut Rasulullah sebagai jihad Akbar - yang besar).
2. jihad melawan kejahatan dengan hati
3. Jihad dengan kata-kata dan penulisan.
4. Jihad dengan ilmu
5. Jihad dengan harta
6. Jihad dengan diri (diri sendiri melaksana tuntutan jihad)

Tinggalkan perkara yang merosakkan dan sia-sia. Jauhi perkara yang melalaikan. Itulah jihad yang utama. Mudah-mudahan Allah meredhai usaha kita. Tiada daya upaya melainkan dengan Allah.

No comments: