Monday, November 24, 2008

Bertaubat punca Rezeki

Firman Allah s.w.t. ertinya "Sesungguhnya Aku Maha Mengampunkan orang yang bertaubat, beriman dan beramal soleh, kemudian mengikut petunjuk." ( Surah Taha: 82)
Firman Allah s.w.t. lagi, ertinya " Wahai orang-orang yang beriman, bertaubatlah kamu kepada Allah s.w.t. dengan taubat nasuha, mudah-mudahan Tuhan kamu menghapuskan dosa-dosa kamu dan memasukkan kamu ke dalam syurga-syurga yang di bawahnya mengalir sungai, pada hari yang Allah s.w.t tidak menghinakan Nabi dan orang-orang yang beriman bersamanya, sedang cahaya mereka memancar di hadapan dan di sebelah kanan mereka, sambil mereka mengatakan , Ya Tuhan kami, sempurnakanlah bagi kami cahaya kami dan ampunilah kami. Sesungguhnya Engkau Maha Kuasa atas segala sesuatu. " (Surah Al-Tahrim : 8)

Syarat Taubat Nasuha :
1. Mengembalikan hak kepada ahlinya
2. Menyesal kerana telah melakukan dosa.
3. Meninggalkan maksiat sama sekali
4. Berazam tidak akan mengulangi perbuatan dosa
(Rujukan: Buku "Fadhilat Amal dalam Islam", Syeikh Abdullah Al-Malawiy)

Antara nash yang menunjukkan istighfar dan taubat ialah termasuk kunci rezeki, ialah firman Allah s.w.t. tentang Nabi Nuh yang berkata kepada kaumnya, ertinya: " Sehingga aku berkata (kepada mereka): Pohonkanlah ampun kepada Tuhan kamu, sesungguhnya adalah Ia Maha Pengampun. (Sekiranya kamu berbuat demikian) Ia akan menghantarkan hujan lebat mencurah-curah kepada kamu. Dan Ia akan memberi kamu dengan banyaknya harta kekayaan serta anak-pinak, dan Ia akan mengadakan bagi kamu kebun-kebun tanaman, serta mengadakan bagi kamu sungai-sungai (yang mengalir di dalamnya). ( Surah Nuh : 10 - 12)
Kedua, Hadith yang diriwayatkan oleh Imam Ahmad, Abu Daud, An-Nasa'i, Ibnu Majah dan Al Hakim dari Abdullah bin Abbas r.a. , ia berkata, Rasulullah s.a.w. bersabda, "Barangsiapa memperbanyakkan istighfar ( memohon ampun kepada Allah), nescaya Allah menjadikan untuk setiap kesedihannya jalan keluar dan untuk setiap kesempitannya kelapangan dan Allah akan memberinya rezeki (yang halal) dari arah yang tidak disangka-sangka."

Mohon Rezeki dari Allah Maha Pemberi Rezeki

Memohon rezeki dari Allah adalah suruhan agama, sebab kita amat memerlukan rezeki dari Allah. Siapa yang tak perlukan nya? Berbohong besarlah dia kalau mengatakan dia tak perlu bergantung pada Allah. Sedangkan Rasulullah menganjurkan kita mohon rezeki dari Allah. Pernah satu hari Baginda ditanya oleh seseorang, "Apakah yang patut aku berdoa dalam sujudku, " Baginda menjawab "berdoalah minta sihat dan minta rezeki yang banyak yang halal."
Dalam buku "Kunci-kunci Rezeki Menurut Al-Quran dan As Sunnah", karangan Dr. Fadhl Ilahi , dinyatakan antara kunci rezeki ialah:

1. Istighfar dan Taubat
2. Taqwa
3. Bertawakkal kepada Allah
4. Beribadah kepada Allah sepenuhnya
5. Melaksanakan Haji dengan Umrah atau sebaliknya
6. Silaturrahim
7. Berinfaq (contohnya berderma) di jalan Allah
8. Memberi nafkah kepada orang yang sepenuhnya menuntut ilmu Syari'at
9. Berbuat baik kepada orang-orang yang lemah
10. Hijrah di jalan Allah

Marilah kita amalkan mengikut kemampuan kita akan yang tersebut di atas. Buat segera jangan bertangguh.

Saturday, November 15, 2008

Bersih hati mereka

Kanak-kanak itu bersih hatinya. Mulia hatinya. Orang dewasa harus menyayangi kanak-kanak, menyayangi orang muda. kadang kala timbul perasaan kasih yang amat dalam di hati ini pada kanak-kanak. Bukan saja pada anak-anak saya yang comel itu, tapi juga pada murid-murid saya. Saya berasa hiba bila di malam hari teringatkan anak saya di asrama, saya serahkan pada Allah jua untuk memeliharanya. Hari ini hari cuti sekolah. Kami sekeluarga berkumpul. Alhamdulillah.
Yang saya katakan bersih hati kanak-kanak itu kerana mereka jarang berhasad dengki macam orang dewasa. Mereka tak suka menyakiti orang lain, kecualilah kes-kes tertentu. Yang merosakkan kanak-kanak kalau kanak-kanak itu rosak ialah orang dewasa juga. Salah orang dewasa. Salah kita semua. Persekitaran telah menjadikan kanak-kanak asyik dengan hiburan yang melalaikan, malah boleh merosakkan akhlak mereka. Memang naluri kanak-kanak suka bermain. Itu positif. Kita perlu bimbing mereka supaya perkembangan sahsiah dan intelektual mereka ke arah positif. Kita sayangi mereka, mereka membesar dengan sempurna. Kita didik mereka supaya menjadi orang Islam yang baik, bertakwa, taat pada Allah. Tanamkan akidah yang betul supaya yakin Allah Maha Melihat, Maha Mengetahui apa-apa yang mereka kerjakan. Kepada guru-guru harus mendidik murid-murid dengan berlandaskan akidah.
Guru-guru adalah murabbi. Tugas mendidik adalah kerja para Nabi. Murabbi bukan cuma penceramah atau penulis. Guru-guru membentuk karektor, membentuk peribadi muslim. Menyelesaikan masalah pelajar-pelajar yang nakal memang berat. Tapi itulah tugas murabbi. Tugas yang berat ini Allah janjikan pahala. Mari praktikkan. Asuh anak-anak kita sebaik-baiknya.

ZUHUD : Tinggi martabatnya

Sheikh Abdul Samad Al Falimbani dalam kitab Hidayatus salikin menyatakan zuhud itu martabat yang tinggi yang menghampirkan kepada Allah Taala dan menjauhkan daripada dunia dan yang menggemarkan kepada Akhirat dan kasih oleh Allah Taala dan dikasih oleh segala manusia seperti sabda Nabi s.a.w. ertinya: zuhud engkau di dalam dunia yakni benci olehmu akan dunia nescaya kasih Allah Taala akan dikau dan zuhud engkau pada barang yang di dalam tangan manusia yakni jangan engkau hiraukan akan suatu yang ada pada seorang nescaya kasih orang akan dikau . Insya Allah kita amalkan hadis ini. Di zaman kebendaan ini, zaman materialistik tapi dibebani inflasi ini, satu-satunya jalan yang benar ialah jalan Islam. Islam menyuruh mencari kejayaan dunia dan kejayaan akhirat. Bahagia di dunia bahagia di akhirat. Tetapi kalau kita asyik mengejar dan mengusahakan harta dunia, pangkat dan nama untuk bermegah-megah, jauhlah kita nanti dari taufik dan hidayah Allah. Jangan hiraukan apa yang mengasyikkan di sekeliling kita yang merosakkan iman. Sayangi diri, sayangi keluarga kita. Zuhud tentunya pilihan kita.