Friday, December 30, 2011

Tahun Baru 2012

Selamat memasuki tahun baru 2012. Memanglah dalam urusan kita, selalu dipengaruhi perbezaan tahun masihi ini, terutamanya orang yang bertugas di sekolah , macam saya ni. Tahun baru bermakna tugas yang baru, client yang baru (sebahagiannya), mungkin dapat rakan-rakan baru dan yang pasti insya Allah pakaian pun baru. Apa yang ingin dibuat ialah bukan saja yang tersebut itu saja baru, tapi yg penting semangat baru. Biarkan berlalu yang telah berlalu. Yang baik dijadikan amalan berterusan dengan ditambah baik lagi. Yang kurang baik di nilai-nilai sendiri di mana kesilapan dan kekurangan, supaya diubah menjadi lebih baik, mendatangkan manfaat kepada diri dan orang lain.. memberi faedah kepada diri sendiri dan insan lain.. kepada agama dan bangsa. Yang jelas tidak baik, buang jauh-jauh jangan peduli kalau ada keinginan mendekati lagi. Tanamkan kebencian yang sekuat-kuatnya kepada perkara yang merosakkan keharmonian hidup... kalau ada pihak luar yang menyusahkan hidup kita, jangan layan lagi pengaruh seperti itu.. perangi habis-habisan.. kita ada hak untuk hidup aman damai. jangan bagi muka dengan syaitan dan kuncu-kuncunya yang bertopengkan manusia. Kita mesti tegas. Saya mahu tunaikan amanah Allah. Itu lah dia.. bukan nak elak tugas menangani masalah murid. Tidak sekali-kali.. saya tetap mahu memberi perhatian sepenuhnya mendidik murid-murid tak kira prestasi akademiknya atau sahsiahnya.. saya mahu bantu semua pihak, insya Allah. Yang saya tak mahu ialah membiarkan virus-virus penyakit moral, sikap kurang ajar, menggunakan orang, mengambil kesempatan kelemahan orang lain, tak mahu saya biarkan perkara seperti itu .. saya pasti perangi habis-habisan. Saya harap rakan-rakan serta anak-anak murid saya akan lebih berjaya pada tahun 2012 ini. Kepada ahli keluarga saya, merekalah kebahagiaan saya, syurga saya.. Saya mahu buat yang terbaik untuk mereka.

Tuesday, November 22, 2011

Fadhilat Zikir

Anas r.a. memberitakan bahawa baginda Rasulullah s.a.w. bersabda:
"Tiadalah seorang hamba yang mengucapkan LAA ILAHA ILLALLAH pada bila-bila masa di malam hari ataupun di siang hari melainkan hapuslah dosa-dosa dari buku amalannya dan digantikannya dengan kebaikan."

[Pengarang kitab Fazaile-Amal (Himpunan kitab-kitab Fadhail), memberi penerangan: penghapusan dosa ini menghendaki keikhlasan. Tetapi menyebut nama Tuhan dan mengucapkan kalimah Taiyibah sebanyak-banyaknya dengan sendirinya mendatangkan keikhlasan kerana salah satu daripada nama-nama bagi kalimah yang suci ini ialah kalimah ikhlas.]


Kepada rakan-rakan pengunjung blog ini, saya syorkan anda selalu membaca doa Kunzul Arash yang mempunyai kalimah Taiyibah di setiap lafaz doanya. ada lebih seratus kalimah. Doa ini dianggap RAJA SEGALA DOA. Sesiapa yang ingin ketenangan dan pertolongan serta ganjaran, bacalah doa ini dan hayati maksudnya. Doa ini ada dalam kitab Surah Yasin yang tebal Majmuk Syarif. Atau belajar doa ini dengan ustaz dan ustazah. Kalau nak minta dengan saya, email saya mdrujhan@yahoo.com.

Sunday, October 30, 2011

Berdoa mohon bercahaya

Hati manusia perlu dibersihkan, perlu disucikan, perlu dimurnikan. Kita mestilah berusaha membersihkan hati daripada pengaruh hawa nafsu dan syaitan dengan sentiasa mengingati Allah dan berlindung pada Nya serta memohon pertolongan Nya. sedangkan kita yang ada iman harus bersikap merendah diri, jangan sombong, jangan kasar, dan mohonlah hidup yang harmoni, berbahagia beribadah kepada Allah dan berbakti kepada agama tercinta. Kita hendaknya selalu mohon hidayah, taufik dari Allah... pimpinan, perlindungan, rezeki, keselamatan, kasih sayang, cinta Allah Yang Maha Mengasihani. Allah Maha keras siksaan Nya, Allah Maha Gagah Perkasa, Allah saja yang layak bersifat Kesombongan (salah satu nama Allah ialah Al Mutakabbir ) , siapa manusia yang sombong akan dilaknat Allah, akan dibalas, akan dihina Allah, bukan saja di akhirat malah di dunia ini pun menerima balasan buruk. Kita mohon cahaya ketenangan, cahaya kehidupan, cahaya kebahagiaan, cahaya keinsafan, cahaya petunjuk, cahaya seri wajah, biar orang-orang yang baik-baik suka dengan kita, orang-orang jahat takut dengan kita.. Berdoalah kepada Allah yang Maha Pemurah, Maha Mengasihani, supaya kita diberi cahaya Nya. Sabda Rasulullah s.a.w. maksudnya: " Ya Allah berilah kepadaku cahaya dan tambah bagiku cahaya, dan jadikan dalam hatiku cahaya dan dalam kuburku cahaya, dan pada pendengaranku cahaya dan pada penglihatanku cahaya, sehingga (Nabi) berkata: pada rambutku, pada kulitku, pada dagingku, pada darahku dan pada tulangku ( jadilah cahaya)." (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim).

Tuesday, October 25, 2011

sabar - darjat sifat sabar,

Rasulullah menerangkan bahawa solat adalah cahaya. Tiada solat tiada cahaya. Kemudian, sekiranya seseorang dapat mengeluarkan zakatnya dengan ikhlas, tanda imannya masih kuat. Sabar itu, kata Rasulullah adalah dhiya', ertinya sinaran yang mnyuluh jalan yang akan ditempuh. Sabar, ertinya tahan menempuh jalan yang sukar. Sabar yang terpuji adalah sabar mengerjakan taat kepada Allah, menjauhi segala maksiat yang dilarangNya dan sabar atas segala taqdirNya. Tetapi di antara sifat sabar itu, maka sabar kerana mengerjakan taat dan meninggalkan maksiat adalah sabar yang lebih utama; lebih utama dari sabar atas segala taqdir yang amat susah dan menggelisahkan perasaan... Hadis Nabi (dari Saidina Ali) , : Sesungguhnya sabar atas satu maksiat dituliskan kerananya kepada seorang hamba sebanyak tiga ratus darjat, dan sesungguhnya sabar di atas satu ketaatan dituliskan kepadanya enam ratus darjat dan sesungguhnya sabar (menahan diri) dari segala maksiat dituliskan kepadanya sebanyak sembilan ratus darjat".

Friday, October 14, 2011

Keberkatan iman

Dengan keberkatan iman, harta yang sedikit sudah mencukupi. Makanan yang sedikit sudah mencukupi. Segala yang diterima dari Allah dirasakan lebih dari mencukupi, malah hamba Allah itu segan dengan Allah kerana kerana Allah tak putus-putus memberi pertolongan, mudah-mudahan tandanya keredhaan juga. Selalu dia minta Allah redha akan pertolongan dan rezeki dari Nya.. mudah-mudahan segala dosa telah diampunkan. Berkenaan persoalan yang sedikit pun cukup ini, Abu Hurairah r.a. meriwayatkan bahawa ada seorang hamba Allah, biasanya ia banyak makan, kemudian dia masuk Islam, dan setelah itu makannya sedikit. Perkara ini diceritakan kepada Nabi s.a.w., baginda bersabda yang maksudnya : Orang mukmin makan dengan satu perut dan orang kafir dengan tujuh perut . (Riwayat Bukhari). Cuba kita cari kepuasan hidup dengan landasan iman, hingga hidup kita tenang, tidak diburu nafsu, tidak gila harta, tidak lalai dalam dunia hiburan maksiat yang merugikan. kita cari mardhiya di dunia, mardhiya di akhirat. Ingatlah wahai diriku dan wahai saudaraku, amalan di dunia berpunca dari gerak hati.. maka sucikanlah hati kita. Amal di dunia terus di rekod ke alam ghaib, alam barzakh.. dicatat oleh malaikat, dan akan dibicarakan di Hari Pengadilan kelak. Kita berjuang berbakti hanya untuk Allah, kita berdakwah untuk kembangkan Islam, demi penghayatan Islam sebagai cara hidup.

Saturday, October 8, 2011

Syukur selalu pada Mu Ilahi

" Jika kamu menghitung nikmat Allah (yang dianugerahkan Nya) kepadamu, tidaklah dapat kamu menghitungnya" (Al Quran, Surah Ibrahim: 34). Kita harus sentiasa mensyukuri nikmat Allah, Kita bersyukur, mudah-mudahan Allah bertambah sayang pada kita, Allah maafkan kita selalu... kalau kita telah buat salah dan kita mohon ampun. Mudah-mudahan ditambah-tambah lagi nikmat pada kita dan ahli keluarga kita. Kita pun hendaklah mohon keredhaan Allah, dia beri kita macam-macam nikmat, kadangkala kita rasa macam tak layak menerima sesuatu rezeki atau pertolongan atau nikmat sebesar itu. tapi itulah Allah... dia Maha Mengetahui, Maha Pemurah, Maha Dermawan. Allah tolong sesiapa yang disayangiNya. Allah mudahkan urusan sesiapa yang disayangi Nya. Dia Maha Kaya dengan Kebaikan.. Dia suka melimpahkan kebaikan.. Kebaikan bukan semestinya kekayaan harta. Kerana harta yang melimpah ruah tak semestinya membawa kebaikan. Pada saya, kebaikan yang paing utama ialah hidup dalam keredhaan Allah, mungkin kehidupan sederhana saja... tak semestinya kaya raya. susah nak kawal hati bila kita kaya raya ni.. kurang kemanisan sifat sabar dan zuhud. Tapi ramai juga orang kaya yang baik. Yang suka menolong orang lain, menolong ummah.. baguslah. itu juga satu aspek jihad yang mulia. Kita bersyukur... kita bersyukur terutamanya kita beriman, kita dikurniakan nikmat Islam.. kita sejak dilahirkan kita dalam " Agama yang diredhai di sisi Allah, hanyalah Islam" (Al Quran; Surah Aali Imran: 19). Kita mudah mudahan terus gigih mempelajari dan mengembangkan Islam.

Sunday, October 2, 2011

Masa dan Peluang Bermunajat

Apabila kita ambil wuduk, kemudian ke masjid atau ke tikar sembahyang, di mana sahaja yang dibolehkan, kemudian kita mendirikan solat... maka ketika itulah kita berpeluang bermunajat kepada Allah swt. Sebenarnya kita sedang bermunajat kepada Allah, jika kita pelihara solat kita itu, jaga syarat sahnya, rukun rukunnya, yang wajib yang sunat, bacaan dan perbuatan, waktunya, khusyuknya.. itulah munajat kita. itulah masa terbaik untuk bermunajat kepada Allah, dan Allah pasti melihat , mengetahui dan memahami apa yang kita lakukan dan persembahkan.. ambil kesempatan ini. Jangan lalai memuji Allah, mengagungkan Allah, dan berdoa kepada Allah, terutama dalam sujud. Jangan kita rugi hidup di dunia yang jadi ladang akhirat ini, kerana melalaikan peluang bermunajat kepada Allah. bila ingin mengerjakan solat, ingatlah inilah agenda terpenting kita dalam hidup di dunia ini, maka bermunajatlah puas-puas.. hingga terasa manisnya iman, manisnya ibadah dan betapa damainya hati hidup dengan ilmu yang hak. insya Allah.. saya mengingatkan diri saya.

Wednesday, September 14, 2011

Bersedekah amalan mulia

Aswad bin Yazid meriwayatkan bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda: "Ubatilah orang-orang kamu yang sakit dengan mengeluarkan sedekah dan bentengilah harta-harta kamu dengan mengeluarkan zakat dan siapkan untuk menjauhi bala dengan berdoa." (Hadis riwayat Baihaqi) Hadis di atas memberi jalan keluar untuk banyak masalah, dan memberi kaedah mendapatkan ketenangan jiwa dan keharmonian hidup.. Insya Allah akan ku cuba laksanakan perintah ini. Demi mengusahakan kehidupan yang sejahtera buat diriku dan ahli keluargaku dan sedikit sebanyak dapat daku membantu umat Islam sekadar yang mampu. Semua ini ilham dari Allah jua.. Yang menguatkan hati dan menetapkan niat untuk bersedekah dan berzakat ialah Allah jua. Mudah-mudahan amalan kita diterima oleh Allah s.w.t. Kita ini hamba Allah yang beruntung jika kita mengenaliNya.. Ramai manusia tidak kenal Allah. Ramai manusia menafikan bahawa Allah ialah Tuhan yang layak disembah , semata mata kerana sikap sombong mereka dan angkuh dan jahil tidak mahu belajar. Cubalah kita renungkan, betapa berharganya iman itu. Iman akan menyelamatkan. Tapi iman boleh hilang kerana banyak perkara, kerana tamak haloba, kerana kedengkian dalam hati, kerana zalim, kerana nafsu yang menjadi raja.. hingga kalah pertimbangan diri. maka usahalah untuk menguatkan iman... termasuk di situ ialah beramal mengeluarkan zakat, bersedekah, berdoa, berzikir dan selalu menolong orang yang memerlukan. insya Allah niat yang baik dapat dilaksanakan.

Friday, September 9, 2011

Mohon Keredhaan Mu

Ramadan telah berlalu. Semoga kita bertemu lagi ramadan tahun hadapan, agar dapat menyambung ibadah. Namun segalanya terserah pada Allah swt. Hingga takat mana umur kita hidup di dunia, Allah saja yang tahu. Dia yang menetapkan. Dia yang menentukan hidup dan mati manusia dan semua makhluk yang lain. Dia menentukan rezeki, Dia yang menentukan susah senang kita. Manusia yang beriman akan berlapang dada, sabar dan redha, sementara yang tidak yakin kekuasaan Allah atau tidak beriman, atau tidak bersyukur, tunggulah apa yang menanti di dunia dan di kehidupan akhirat.
Sebenarnya Syawal yang tiba bukan untuk bersuka ria hingga melupakan perintah Allah. Cuba kita masa nak makan minum kita ingat bahawa masa bulan ramadan kita tak boleh makan minum, tapi kini boleh, Allah benarkan. Cuba kita fikir, boleh sahaja Allah wajibkan kita berpuasa sepanjang tahun. Tapi Allah tidak begitu. Kita boleh makan dan minum dan lain-lain perkara lagi yang dibenarkan. Kita mesti bersyukur boleh makan minum dan diberi rezeki untuk makan minum.. mesti ingat Allah selalu, berterima kasih, dan mohon Dia redha kita makan minum.. patutkah kita makan dan minum dalam keadaan kita banyak berdosa kepada Allah.. Patutkah? Tidakkah kita malu kepada Allah? Tidakkah kita patut memohon ampun kepad Allah.. Mana ada makanan atau minuman yang bukan rezeki dari Allah? Ingatlah kalau Allah tarik nikmat sihat dari kita, kita pun tak boleh makan dan minum macam masa sihat. Oleh itu saya mengingatkan diri saya supaya selalu bersyukur dan beristighfar.. Tanda bersyukur yang paling utama ialah menjaga solat kita. Buat yang fardhu sebaik-baiknya, banyakkan yang sunat. Satu sujud menghapuskan satu dosa dan meninggikan kita satu darjat. Saya takut sebenarnya untuk berdakwah, sebab banyak sekali nas yang menyatakan peringatan kepada manusia, supaya melakukan apa yang diperkatakan sendiri. Maksudnya saya lebih berdosa dari orang lain, kalau saya sendiri tak buat apa yang saya katakan. Saya mohon hidayah, saya mohon pimpinan Allah dan syafaat Rasul, saya yang hina ini ingin berbakti untuk agama suci ini. Itu saja. Untuk motivasi diri sendiri, dan insya Allah untuk teman-teman dan seluruh umat manusia.
Sebagai rumusan, nak makan minum ingat Allah, mohon keizinan dan keredhaan Allah. Mohon keberkatan. Mohon dijadikan kita orang Islam yang baik, yang cemerlang. Yang akan bersama Rasulullah dan orang-orang yang dicintai di syurga firdaus. Mudah-mudahan.

Thursday, August 25, 2011

Allah tetap menolong.

Allah berfirman, maksudnya " ..... Dan merupakan hak Kami untuk menolong orang-orang yang beriman." (S. ar-Ruum: 47)
Bagi orang beriman, jangan putus asa apabila ditimpa kesulitan dan kesusahan. Di saat kita menghadapi beban yang dipandang amat berat itu, pertolongan akan datang. Mohonlah pada Allah.. mohonlah.. berdoa, solat, sabar. Berdoa lagi, yakinlah Allah bersifat pemurah, mengasihani dan Maha Kuasa. Jika kita orang beriman, Allah takkan biarkan kita dalam keadaan hina, mati dalam putus asa dan kafir. Tapi bertaubatlah jika merasa diri berdosa. beristighfar sepenuh hati. mohon petunjuk.
Allah Maha Kuasa, Maha Kaya... boleh selesaikan masalah kita dengan mudah. Mintalah pertolongan Nya. Mohon jangan henti..
Firman Allah, maksudnya " Sesungguhnya urusanNya apabila Dia menghendaki sesuatu Dia hanya berkata kepadanya, "Jadilah" Maka jadilah sesuatu itu. " (S. Yasin : 82)
Oleh itu, ingatlah selalu, apabila senang, beramal dengan sungguh sungguh, nanti di masa susah, Allah ingat kita. Selalu kita menolong agama Allah, berusaha untuk kepentingan agama, selalu nasihat menasihati pada hal kebaikan dan kebenaran, mudah-mudahan Allah menolong kita (janji Allah benar, Allah tidak memungkiri janji, pasti Dia menolong orang beriman). Kewajipan ditunai, bayar zakat, sedekah, infak, menyambung silaturrahim, semuanya sumber rezeki dan sumber pertolongan. Bertaubat juga sumber rezeki dan pertolongan. Bersyukur menambah akan nikmat. Allah tambahkan lagi nikmatnya kepada kita. Redha atas ketentuan Allah membawa bahagia.

Wednesday, August 24, 2011

Mohon Pertolongan Allah

Di kala kesusahan, mohonlah pada Allah. Di kala senang, juga mohon pada Allah.. Bagaimana nak dapatkan pertolongan?? Doa... dan.. tolonglah agama Allah,
Firman Allah, maksudnya, " Hai orang-orang yang beriman, jika kamu menolong agama Allah, nescaya Dia akan menolongmu dan meneguhkan kedudukanmu." (QS Muhammad:7)
kita tolong agama Allah dengan menjaga agamaNya, istiqamah, saling menasihati dan menegakkan hukum Allah dalam diri dan keluarga / masyarakat.

Wednesday, August 10, 2011

Ketinggian ilmu

Baginda Nabi s.a.w. bersabda:
"Ilmu lebih afdal daripada ibadah; dan agama yang paling baik ialah warak (terjauh dari yang haram dan syubhat)." (Riwayat Tabrani).
Insya Allah mudah difaham hadis ini. Ibadah itu sangat penting, itulah tanda kita beriman kepada Allah.. tetapi mesti ada ilmu. Dan hamba Allah yang berilmu lebih tinggi kedudukannya berbanding yang kurang ilmu atau tiada ilmu. Ilmu membuat kita kenal Allah, takutkan Allah dan kasihkan Allah. Seterusnya lebih selamat daripada hasutan dan tipu daya syaitan yang teramat jahat itu. Ilmu tidak semestinya didapati di universiti. Ilmu didapati dengan usaha, sabar, dan keikhlasan. Warak juga amat tinggi nilainya. hanya orang yang berilmu sahaja yang dapat meninggalkan yang haram dan syubhat. Kerana dia tahu yang mana benar yang mana salah. Yang mana yang lebih penting, yang mana kurang penting. yang mana yang haram yang mesti ditinggalkan, dan yang mana masih tidak jelas halal haramnya. Maka sifat warak amat baik. Barulah selamat. Satu lagi, yang wajib mesti diutamakan berbanding yang sunat. Bersedekah sunat, tapi zakat wajib. Berderma sunat tapi bayar hutang wajib. Solat tarawih sunat, tapi tak sama kepentingannya dengan solat fardhu. yang wajib utamakan.. Kemudian untuk jadi orang yang dikasihi Allah, kenalah banyakkan amal sunat. Mari kita usahakan. Insya Allah kita akan rasakan pertolongan Nya dalam memberi kekuatan kita beramal. Yang penting betulkan niat, semuanya untuk mendapatkan keredhaan Allah, bukan kerana manusia atau lain-lain. Jika kita telah mula rasa mudah untuk beribadah, mula rasa rajin untuk beribadah, mudah-mudahan itu tandanya Allah kasihkan kita.

Friday, August 5, 2011

Dari dalam diri sendiri

Melalui pengalaman, pengamatan, perjalanan, pengajian dan episod-episod kehidupan yang dilalui, saya yakin kini bahawa KEBAHAGIAAN manusia itu, kalau dicari-cari merata tempat, dari sana sini, dari ramai orang, mungkin tetap tak jumpa.. tak akan kita jumpa... kerana kebahagiaan itu datang dari DIRI SENDIRI. Ia pemberian Allah, tapi melimpahi hidup manusia hanya dari diri (hati) mereka sendiri, bukan dari luar. (Saya suka lagu Datuk Sharifah Aini.. "carilah ketenangan dalam diri sendiri, munajat di sepertiga malam...." ). Kecelakaan dan penderitaan yang melingkungi manusia juga datang dari diri sendiri. Kegelisahan, keluh kesah, kesempitan, juga datang dari dalam diri sendiri. Al Quran telah menegaskan salah satunya dalam firman Allah bermaksud "Allah tidak merobah keadaan sesuatu kaum itu sehingga mereka merobah apa yang ada dalam diri mereka."(S. 13:11).
Kalau kita fikir baik-baik, mudah saja kita dapati jawapan kepada beberapa persoalan berkaitan keadaan hidup manusia. Hidup dengan hiburan yang melalaikan, berfoya foya, harta digunakan untuk berseronok tapi lalai perintah agama, tak ikut hukum agama, yang muda lalai, yang tua pun sama, maka tunggu sajalah bencana tak lama akan tiba... mudah-mudahan yang dipilih Allah akan bertaubat, kembali ke jalan yang lurus.
Saya yakin, jalan terbaik berpusing kembali membuat U TURN dan ikut jalan yang benar ialah melalui beberapa peringkat: pertamanya tinggalkan yang salah, bencikan yang salah di sisi agama dengan sebenar-benar kebencian. Sentiasa lawan syaitan yang amat jahat itu, kerana itulah musuh yang nyata. Tapi memang benar, semua ini hanya boleh terjadi dengan hidayah, taufik, kesedaran, ilham yang diberi Allah. Kalau Allah menghendaki memang manusia itu akan berubah. Allah melihat segala perbuatan hambaNya. Mungkin ada sesuatu amal yang diperbuat insan itu yang sangat besar faedahnya, nilainya di sisi Allah. Oleh itu, kita harus bersyukur jika masih ada iman. Iman sangat mahal, sangat bernilai.
Telah sampai masanya kita beramal dengan serius, kita wajib beramal dengan serius. Moga ramadan tahun ini menambah kuatnya iman kita, komitmen kita pada agama, perjuangan kita. Kita baik sekali jika bergerak dalam jemaah yang mantap, ada perjuangan, ada gerakan yang kuat, semangat tinggi, harakah yang tulin. Moga kita capai kematangan yang diperlukan, nampak jalan yang terbaik. Moga kita dipilih Allah menjadi dalam barisan para duat yang menyeru ke jalan Nya dan bekerja untuk agama Nya. Walaupun saya memilih cara yang sederhana, mudah-mudahan ada faedahnya yang saya dapat berikan kepada umat ini... Saya harapkan teman-teman marilah kita perjuangkan perkara ini. Umat Islam itu saling kuat menguatkan antara satu sama lain, insha Allah.

Friday, July 29, 2011

Yang tak jauh

Firman Allah, maksudnya, " Katakanlah: sesungguhnya kematian yang kamu lari daripadanya, maka sesungguhnya kematian itu akan menemui kamu." ( Surah al-Jumu'ah:8).
Bagaimana manusia boleh mengelakkan diri dari kematian. Sekali-kali tidak boleh. Kita boleh berusaha ubat penyakit, jaga kesihatan, tapi kalau ajal dah sampai tetap nyawa akan dicabut. Yang baiknya kita ini suka untuk kembali kepada Allah dalam keadaan tenteram damai, dosa diampuni, hidup diredhai, bawa bekal amalan soleh. Siapakah yang dapat menjamin semua itu? Sedangkan iman manusia ini kadang pagi beriman petang kafir. Petang beriman pagi esoknya kafir. itulah insan. hendaknya kita yang masih hidup ingat selalu adanya mati.
Setiap hari yg padanya terbit dan terbenam matahari Malakulmaut sentiasa berteriak : " Hai orang-orang yang berusia empat puluh tahun, inilah waktunya menyiapkan bekal selagi ingatan kamu masih terang dan tenaga kamu masih kuat. Wahai kamu yg berumur lima puluh tahun, sudah dekat masa mengutip hasil. Wahai kamu yg berumur enam puluh tahun, kamu lupa akan seksa dan lalai memberikan jawapan, sedangkan nanti tidak ada lagi yang akan menolong kamu."
Pada pendapat saya yang hina ini, kita sepatutnya sudah mula berubah bila melalui umur empat puluhan. Sepatutnya sudah berfikiran tenang, matang, sabar, dan membenci maksiat dan kemungkaran. Kita sepatutnya insaf selalu, dunia akan kita tinggalkan, anak-anak akan kita tinggalkan suatu masa nanti. Maka bukankah lebih baik kita isikan kehidupan mencari bekal akhirat dan memohon keampunan dosa-dosa silam. Kita nak jumpa Allah yang telah memberi kita rezeki selama ini, Dia Tuhan yang menyelamatkan kita dari kerosakan dan kelalaian. Yang lain-lain itu tidaklah penting sangat. Mengumpul harta tidaklah penting sangat, malah itu mungkin perkara yg amat buruk. Bekerja mencari rezeki dan berkarya dalam bidang kita tidaklah termasuk dalam yang melalaikan. Berdoa selalu mohon Allah mengasihi kita, rayulah Allah, rayu dengan sungguh hati, mohon keampunan dan kasih sayangnya. Insha Allah ada petunjuk menjelang Ramadan ini.

Friday, July 1, 2011

DOA PENGASIH

Kita hidup di dunia ini mengharapkan dikasihi oleh orang lain, khususnya isteri / suami , anak-anak, ahli keluarga, sahabat-sahabat, rakan sejawat, majikan / ketua dan sebagainya. Mungkin ada seseorang dalam dunia ini yang kita ingin sekali saling sayang menyayangi dengannya (kerana niat yang baik). Mungkin kita ingin ramai orang yang baik baik senang hati berbaik dengan kita. Kita bolehlah baca dan amalkan selalu ayat ini, Surah Ali Imran ayat 31. Ikhlaskan hati beramal sambil mendoakan individu berkenaan, insha Allah ada kesan positifnya. Maksud ayat itu: "Katakanlah (wahai Muhammad): Jika benar kamu mengasihi Allah, maka ikutilah daku nescaya Allah mengasihi kamu serta mengampunkan dosa-dosa kamu dan (ingatlah) Allah Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani".

Friday, June 17, 2011

Ganjaran Amalan

Satu perkara saya temui lebih kurang seminggu yang lalu. Ia betul-betul suatu yang istimewa. Ia menguatkan dorongan untuk berbuat amal baik dan menjauhi amal yg buruk.
Perkaranya simple saja tapi kesannya amat besar. Ringkasnya, kita diberitahu dalam Quran dan Hadis bahawa Amal-amal yang kita lakukan mendapat balasan di dunia dan akhirat. Ya, balasannya mungkin dekat, bukan sahaja di akhirat, di dunia pun ada balasannya. Sebab itu kita jumpa susah senang, suka duka. Ada kalanya ia berupa ujian Allah, ada kalanya ia merupakan balasan dari Allah atas apa yang kita lakukan. Sekarang kita macamana? Nak untung ke nak rugi? Nak senang ke nak merana terima balasan Allah akibat dosa-dosa. Kita nak dapat perlindungan Allah tak? Pertolongan Allah? Nak ke tak nak? Nak selamat tak? Kalau nak... buatlah amal yang baik dan jauhi dosa dan maksiat. Insha Allah kalau kita bersyukur, Allah akan tambah nikmatNya mudah-mudahan. Hari ini kita buat baik, esok lusa kita mungkin akan rasakan dan saksikan kesannya. Banyak ayat Quran dan Hadis berkenaan perkara ini. Insha Allah ada masa saya catatkan di sini.

Tuesday, June 7, 2011

Pesan Imam Al Ghazali

Pesanannya termasuklah:
1. Segala gerak laku kamu dengan anggota badan kamu adalah merupakan nikmat daripada Allah Taala yang diberikan kepada kamu. Maka hendaklah kamu jangan menggerakkan satu pun daripada anggota badan kamu untuk melakukan sebarang maksiat.
2. Gunakanlah anggota badan kamu untuk mengerjakan ketaatan kepada Allah Taala.
3. Kecuaian menjaga anggota badan akan menimpakan akibat kepada diri sendiri.
4. Janganlah bersikap mudah " Tuhan maha Pengampun dosa-dosa hambanya yang membuat maksiat" kerana ucapan itu benar dengan tujuan yang salah.
Ingat Hadis Rasulullah saw bermaksud: "Orang yang cerdik ialah orang yang selalu memperhitung dirinya dan suka beramal untuk bekalan sesudah mati dan orang yang bodoh ialah orang yang selalu mengikut hawa nafsunya dan banyak berangan-angan kepada Allah (untuk mendapat kebahagiaan di akhirat dengan pengampunan daripada Allah Taala). "(Riwayat Tirmidzi)

Insha Allah kita akan mendapat kehidupan yang baik di dunia dan akhirat apabila kita menjaga hukum syariat, batasan-batasan yang ditentukan agama, kita selamat mendapat perlindungan Allah. Jagalah perbuatan kita, percakapan kita, hati kita. Yang haram jangan dibuat, yang salah jangan didekat. Yang baik perbanyakkan, ditambah dan diulang-ulang. Mudah-mudahan Allah melimpahkan rahmat Nya kepada kita.

Sunday, June 5, 2011

Wirid Khaujakan.

Elok sekali jika ada amalan zikir yang diamal berterusan, yang mudah mudahan menjadi sumber kebahagiaan hidup dunia dan akhirat. Sesiapa yang berminat mengamalkan zikir-zikir tertentu yang menyampaikan kita kepada Allah, bolehlah rujuk Al Quran dan Sunnah Nabi, dan bolehlah berguru dengan guru-guru yang benar dan ikhlas mengembangkan amalan soleh. Kita akan merasai kesan positifnya amalan tersebut, tetapi tidak boleh kita riak, takbur, sombong menceritakan di sana sini apa yang didapati, kerana itu bukan caranya.
Sesiapa yang berminat bolehlah mengamalkan wirid khaujakan, yang berasaskan amalan tarekat. Insya Allah kita akan mendapat ketenangan dan perlindungan Allah serta kelebihan-kelebihan, mudah-mudahan amal kita diterima jua. Untuk maklumat lanjut, tuan-tuan dan puan-puan, sila klik link di tepi blog ini yang tertulis "wirid Khaujakan".

Sunday, May 29, 2011

Menghindar Dukacita

Daripada 'Ubadah bin Somit, Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud, : "Kamu hendaklah berjihad. Ia merupakan salah satu daripada pintu-pintu syurga. Allah menghindarkan dukacita dan kerunsingan daripada jiwa seseorang dengannya." (Riwayat Ahmad).
Kita boleh berjihad dengan banyak cara. Pengertian jihad bukanlah hanya bermaksud peperangan dengan senjata melawan tentera musuh. Jihad melawan nafsu sendiri adalah jihad yang utama. Jihad pada jalan Allah adalah dengan diri, harta, kekuatan, ilmu, teknologi, dan berbagai lagi. Jihad dengan tulisan, dengan internet, juga satu jihad. Menulis di blog mengembangkan kefahaman tentang Islam, insya Allah dianggap satu ibadah mudah-mudahan. Hendaklah kita bersabar selalu, dan menguatkan barisan dan gerakan, bersatu hati bersama para pendakwah tulin.. tidak takut akan rintangan, cekal gigih berjuang untuk agama. Keredhaan Allah dan balasan baik dari Allah jua yang diharapkan.. Tiadalah mudah menyerah kalah pada anasir buruk yg berniat jahat.

Tuesday, May 17, 2011

Ada hati tak?

Sambungan kepada tulisan saya sebelum ini.. "Adakah kuat niat kita".
Ya, tanya diri sendiri.. " Ada hati tak nak buat benda ni? Ada hati tak buat benda ni dengan elok sempurna? Ada hati tak? Ada hati tak nak majukan diri? Ada hati tak nak tingkatkan kualiti solat / kerja / belajar/ atau apa saja yang perlu dan baik dilakukan "
kalau kita ada hati nak buat... insya Allah jadi, akan jadi. Tanya diri sendiri.. cari jawapan dalam hati.

Monday, May 16, 2011

Adakah kuat niat kita?

Untuk melakukan sesuatu kerja kadangkala sukar kita lakukan. Untuk khusyuk dalam setiap solat dan sepanjang solat, bagi kita, mungkin sukar.. Saya terasa banyak sangat kekurangan dalam diri saya. Untuk meninggalkan sesuatu tabiat kurang baik mungkin sukar. Tapi paling perlu ialah khusyuk dalam solat. Mengapa sukar? Mengapa susah sangat? Kalau anda ingin nak amal solat sunat malam misalnya, mengapa sukar? Mengapa sukar mengubah tabiat atau membuang tabiat menangguhkan kerja? Saya mencari jawapan untuk persoalan ini sejak beberapa lama.
Saya dapat satu jawapan sejak dua tiga hari yang lepas ini.. ya saya temui satu jawapan secara tiba-tiba. Alhamdulillah mudah-mudahan saya telah temui anak kunci yang dapat merungkai persoalan dan masalah itu. Ya, secara tiba-tiba, atas kehendak Allah, saya terfikir.. semuanya bergantung kepada niat kita, bergantung kepada keinsafan kita. Tanya diri sendiri, kamu nak begini atau begitu? kamu nak khusyuk solat tak? kamu betul-betul nak solat ke atau sebaliknya??? kalau nak jadi baik ke nak jadi jahat? Periksa niat kita... ada niat tak nak buat kerja yang mustahak itu? Atau tak de? kalau tiada niat, memang hanyutlah kamu.. terus rosaklah kamu. Kalau tahu perkara itu penting, kuatkan hati, fokus, tingkatkan kualiti solat. Bangkit... buat kerja yg perlu, yang wajib yang sunat.. yang mustahak.. Apa ditakut bisikan syaitan.. lawan!!! lawan habis-habisan. Tinggikan kedudukan kita dari segi agama.. usaha, jihad, amal, beribadah, buat kebajikan, apa saja yg mampu.. bangkit, ringankan tulang.. perbaiki kualiti solat.. belajar, timba ilmu. jangan jemu belajar.. kemudian amal seberapa terdaya. Kesimpulannya.. periksa niat kita.. tanya hati sendiri.. kalau ada niat, laksanakan. tanam keinsafan selalu. Sesungguhnya setiap amal bermula dengan niat dan nilainya bergantung kepada niat. Akal kita dan hati kita penting. Kalau kita gerakkan niat kita, pelaksanaan akan jadi mudah. Fikir positif, ingat yang positif, katakan di hati kecil kita, kita nak buat benda baik-baik.. Insya Allah, kita bertolong tolongan dalam perkara mengembangkan kebaikan dan silaturrahim.

Thursday, May 5, 2011

Only for You

Life in my body pulses only for You.
My heart beats in resignation to Your will.
If on my grave a clump of grass
Were to grow,
Every blade of it would tremble
With my passion for You
- oleh Sheikh Ansari

Sunday, May 1, 2011

Hadis Qudsi : Rahmat Allah

Allah swt berfirman dalam hadis Qudsi:
"Apabila seorang hambaKu merancang melakukan suatu kejahatan, tetapi tidak dilaksanakannya, tulis baginya satu kebajikan. Tetapi jika dilaksanakannya, tulis baginya satu kejahatan. Jika ia bertaubat, hapuskan ia daripadanya. Dan apabila seorang hambaKu merancang melakukan suatu kebajikan, lalu tidak dilaksanakannya, maka tulis baginya satu kebajikan. Tetapi jika dilaksanakannya, tulis baginya sepuluh hingga tujuh ratus kali ganda."
(Hadis riwayat Ibnu Hibban dan Abu Darda' r.a.)
Begitulah besarnya rahmat Allah... Dia Maha Pemurah, Maha Besar lagi Maha Agung, memberikan banyak pahala kepada kita.. Begitu sekali sayangnya Allah kepada kita.. maka patut sekali kita azam buat lebih banyak kebajikan dan laksanakannya insya Allah.. tinggalkan yang merosakkan dan mengotori jiwa dan zalim ke atas orang lain. Tunaikan amanah, bekerja dengan amanah dan jujur. Kekurangan dan kesilapan adalah lumrah hidup. Sesiapa yang berusaha dia mendapat insya Allah.

Saturday, April 30, 2011

Bahaya kesombongan..

Dari Abdullah bin Mas'ud r.a. dia berkata Rasulullah s.a.w. bersabda , "Tidak masuk syurga orang yang dalam hatinya terdapat sebesar biji sawi dari kesombongan." (HR Muslim).
Kita ini hamba Allah tak boleh sombong.. kita tak boleh ada sedikit pun kesombongan, keangkuhan kononnya kita lebih dari orang lain.. tak boleh sama sekali. Tak patut sombong soal harta, kekuatan, ilmu, kepandaian, pangkat, amalan, kecantikan, atau apa sahaja tak patut kita sombong.. Yang layak dengan sifat kemegahan hanyalah Allah swt. Fikirkan maksud Asma ul Husna al Jabbar, Al Mutakabbir, dan lain-lain.. kalau kita sombong nanti Allah hinakan kita.. Saya mohon ampun berbanyak ampun pada Allah, dan saya mohon ampun maaf pada sesiapa yang ada saya buat salah.Kita akan kembali mengadap Allah. Kita akan jumpa hari pengadilan. Kesalahan-kesalahan yang direkodkan akan dibawa ke muka pengadilan.. ayuh teman.. kita mohon ampun dari Allah sebelum kita dihisab. Janganlah kita rugi di akhirat, sedang kita fikir kita telah banyak buat kebaikan di dunia. Semua kebaikan terbatal jika kesombongan menguasai diri. Saya merujuk kepada yang Hak jua.

Thursday, April 21, 2011

Unta

Unta haiwan yang baik
selalu sabar..
bila dia rindu...
dia tak hirau 2 perkara
dia tak hirau makan minum
kedua, dia tak hirau bebanan yang terpaksa dibawanya..
kita...
sepatutnya
kerana cinta pada Allah,
kita redha apa saja ujian yang diberi kepada kita..
itulah sepatutnya,
kita rela apa yang ditentukan dan ditakdirkan.
namun boleh kita berdoa,
sebagaimana diajarkan Nabi,
minta tidak diuji dengan apa yang tidak sanggup kita pikul..
moga kita dan keluarga kita selamat meniti kehidupan ini.
dan di akhirat sana..
(Terima kasih Tuan kaunselor Hakim, sahabat saya yang paling sabar, atas tazkirah hari ini)

Thursday, April 14, 2011

Ucapan Yang Sangat Disukai Allah

Dari Abu Dzar r.a., dia berkata, Rasulullah s.a.w. bersabda " Mahukah engkau aku beritahu kepada ucapan yang sangat disukai Allah swt ?" Aku berkata "Wahai Rasulullah beritahu aku ucapan yang sangat disukai Allah swt tersebut. " Maka Rasulullah s.a.w. bersabda " Sesungguhnya ucapan yang sangat disukai Allah adalah , "Subhanallah wa bihamdihi (Maha Suci Allah dan segala puji bagi Nya)". (Hadith riwayat Muslim)
Alangkah baiknya jika hati kita sentiasa berzikir mengingat dan memuji Allah. Apalah ertinya kita kata berkasih jika tidak mengingati. Lagi teruk kalau buat yang tak disukai kekasih kita. Kita mohon maghfirah Allah atas kelemahan kita. Namun setiap ketika mesti kita perbaiki diri. Jadilah orang yang cemerlang di dunia dan akhirat. Insya Allah... di mana ada kemahuan, di situ ada jalan.

Bagai Pejuang di Jalan Allah

Hadith riwayat Abu Hurairah r.a., dia berkata, "Dari Nabi s.a.w. beliau bersabda, "Orang yang membiayai para janda dan orang miskin itu bagaikan seorang pejuang di jalan Allah." Aku mengira beliau menambahkan, "Dan bagaikan orang yang selalu menjalankan solat malam tanpa henti atau bagaikan orang yang selalu berpuasa tanpa berbuka." (Hadith riwayat Muslim).
Inilah tanda kemurahan Allah memberi balasan pada hambanya yang berbuat bakti. Kalaupun tak ada Nabi bersabda begini, kita pun mungkin tetap suka tolong orang yang memerlukan, kerana ada kepuasan dalam menolong orang lain.
Sekarang kita jumpa hadith ini, mudah mudahan kita lebih bersemangat untuk buat kebajikan. Kita pun mungkin ada kalanya terasa susah, sempit hidup, ditimpa sakit, menerima ujian dan sebagainya. Kita tentu sangat menghargai pertolongan yang kita terima. Budi yang baik rasa nak junjung. Maka... jika kita lapang ada rezeki, giliran kita pula tolong orang susah, kerana Allah jua. Mudah-mudahan Allah ampunkan dosa kita, kurnia rahmat, hidayah dan taufik pada kita. Mudah-mudahan kita digolongkan dalam kumpulan pejuang agama yang suci ini. Ini satu saham yang besar, dan tak rugi, kerana sesungguhnya Allah Maha Adil, Maha Melihat dan Maha Mengetahui.

Sunday, April 10, 2011

Give the best of me

Each day I live
I want to be a day to give
... the best of me..
(Lirik lagu "One moment in Time' nyanyian Whitney Houston)
- bagus sekali pemikiran positif sebegini, kita usahakan dan ikhtiar sebaik mungkin agar kita gunakan potensi kita, buat kerja-kerja yang berfaedah dan hebat agar hidup kita bermakna. Agar peluang tidak terbuang, cita-cita tidak dibiarkan hanyut dibawa ombak kehidupan. setiap hari kita azam kita buat lebih baik lagi, kita usaha lebih kuat, kita menyayangi lebih lagi, kita memberi lebih lagi, kita gembirakan orang lain lebih lagi. Kita sendiri lebih puas hati dengan diri kita. Kita memberi kita akan menerima. Insya Allah. Ikhlaskan hati selalu.

Saturday, April 2, 2011

Allah beri hikmah

Firman Allah maksudnya: " Dia memberikan hikmah kepada siapa yang dia kehendaki. Siapa yang diberi hikmah, sesungguhnya dia telah diberi banyak kebaikan. Dan tidak ada yang dapat mengambil pelajaran kecuali orang-orang yang mempunyai akal sihat." (Surah Al Baqarah: 269)
Semoga kita diberi hikmah oleh Allah. (Hikmah ialah kemampuan untuk memahami rahsia rahsia syariat agama)

Friday, April 1, 2011

Remaja itu

Semangat sekuat waja
dia itu seorang remaja
berjiwa besar
cita cita dibina kukuh
malamnya dan siangnya penuh makna
budi karya bakti
nunc out nunc quam
ilmu suluh hidup
ketiga tiga cogan kata keramat
tempat menimba ilmu
terpahat di sanubari
Remaja itu...
masih ku ingat coretannya
dalam buku Kimia subjek amat diminati
ya Allah...
Remaja itu
hamba Mu..
yang kini di sini
bermunajat padaMu
kekuatan datang dariMu
kebaikan Kau ilhamkan di jiwa insan
sehening pelangi
sebersih embun pagi

Sunday, March 27, 2011

Di Balik Awan.

Di mana kan ku cari Dikau
hati rindu selalu
apakah bisa bertemu di balik awan putih
di sore yang indah
airmata berlinangan di pipi
rinduku mengusik jiwa
di bawa angin lalu
aku meneguk air kasih
hancur diri ini
lemas dalam rindu
di mana mana ada panggilan Mu
ada seruan Mu
bawa lah aku dengan rahmatMu
belayar mencariMu itulah yang terindah.

Tuesday, March 15, 2011

Solat, doa mesti dijiwai - Berita Harian

Saya tertarik tulisan Azizah Jabar dalam artikel di Berita Harian Isnin 14 Mac 2011 di muka surat 29. Saya setuju ramai yang pentingkan sangat berkomunikasi dengan rakan-rakan, sahabat, ahli keluarga, rakan sejawat dan lain-lain, tapi ramai pula yg tak pentingkan komunikasi dengan Tuhan. Kita sibuk sms sana sini, call sana sini, chat atau hantar mesej di laman sosial di internet, sampai gelisah kalau berjauhan dengan hand phone atau komputer. Kenapa kita tak mahu berkomunikasi dengan Allah bersungguh-sungguh, Allah lah yang memberi segalanya pada kita dan Allah lah yang menentukan nasib kita. Dia lah yang patut diingati. Pada pendapat saya kita kena ajar anak-anak maksud bacaan dalam solat. Kita kena berdoa bersungguh-sungguh, kalau mengaminkan doa dalam jemaah di masjid, kita patutlah belajar erti doa yang biasa diajarkan Nabi yang terkandung dalam Al Quran.
Terima kasih Azizah, artikel anda tentu menyedarkan ramai pembaca tak kira tua atau muda. Mudah-mudahan saya dan kita semua juga mendapat manfaat.

Monday, March 14, 2011

Menjadi Proaktif (2)

Siapakah orang yang proaktif?
Iaitulah orang yang berinisiatif melakukan sesuatu tugas (positive) dengan sempurna dan efisyen tanpa diarah.
(Definisi oleh sahabat saya yang mulia Tuan Kaunselor Hakim.)

Menjadi Proaktif (1)

Saya menyimpan cita-cita menulis buku bertajuk menjadi proaktif. Sama ada ia menjadi kenyataan atau tidak hanya takdir menentukan. Tapi sekurang-kurangnya saya ingin menulis dalam blog ini dahulu.
Menjadi proaktif memberi kesan yang besar terhadap nilai diri kita dalam kehidupan ini. Berazam dan berniat untuk jadi proaktif sahaja pun boleh gerakkan tenaga dalaman kita dan tenaga fizikal kita. Berniat untuk jadi proaktif pun dah jadi starter yang baik sekali untuk memperbaiki diri, meningkatkan motivasi diri, memajukan diri, meninggikan martabat diri... semuanya dengan izin dan kehendak Allah swt jua.
Kenapa perlu sibuk-sibuk memperkatakan tentang menjadi proaktif? Apa perlunya? Tanya hati kecil kita apa perlunya... Kalau kita sudah proaktif, alhamdulillah baguslah. Namun ada banyak perkara, ada banyak aspek yang perlu kita muhasabah diri tentang perlunya kita menjadi proaktif perkara yang kita belum perbaiki.
Jadilah insan proaktif, bukan dalam hal kerjaya sahaja tapi juga jadi dari sudut insan keseluruhannya, sebagai ibu bapa, sebagai suami (atau bagi perempuan sebagai isteri), sebagai anak, sebagai pelajar, sebagai pendakwah, sebagai ahli masyarakat, ahli kariah masjid / surau, sebagai rakyat, sebagai pemimpin. Semua kena proaktif. Sebagai sahabat kita juga kena proaktif. Apatah lagi kerjaya seperti pendidik atau profesional yang lain, memerlukan kita menjadi proaktif.
Jadilah orang proaktif. Setiap masa tanya diri sendiri apa yang perlu aku buat pada tika dan saat ini. Apa yang wajib fardhu ain, apa yang fardhu kifayah, apa yang sunat yang boleh aku buat. Apa agaknya yang memberi faedah pada diriku dan pada orang lain.. khususnya ahli keluargaku dan klien ku. Apa yang boleh menjaga kesihatan, apa yang boleh meningkatkan harga diri, dan macam-macam lagi boleh difikirkan. Paling penting, bagaimana menambah bekal untuk hari akhirat. Apa yang boleh menghapus dosa dan menambah pahala. Setiap masa fikirkan dan ambil tindakan. Lakukan terus. Mulakan dengan berdampingan dengan Al Quran dan zikrullah setiap masa. Tambahkan hafazan dan tadabbur Al Quran.

Friday, March 11, 2011

Kematian

Kematian suatu yang pasti. Ia pasti datang. Ia dekat tak jauh.. Mati itu kita tak tahu bila dan di mana. Tapi pasti kita mengalami nanti. Mati itu pintu ke alam akhirat.. bermula dengan kita masuk alam barzakh. perjalanan menuju pembalasan bermula di alam kubur. Tempat diuji di dunia kita tinggalkan. Tak ada peluang balik semula ke dunia. Tak guna merayu mintak peluang hidup semula ke dunia untuk buat baik. Tak guna merayu nak bersedekah semula, nak solat semula. Dah terlambat.... Iman ditanya, iman menjawab.. Kalau akidah betul dapatlah jawab soalan malaikat. Kalau selama ini tak mahu agama? Tak percaya baiknya ajaran Rasulullah? Tak percaya pada sistem Islam? Selama di dunia pandang rendah pada Al Quran? Selama di dunia tak percaya kebaikan amal amal Islam, menganngap remeh persoalan dosa? Apa akan jadi? Tunggulah..... Tunggulah kita saat itu... semoga Tuhan kurniakan kita hidayah dan taufik semasa kita hidup di dunia ini.. agar kita insaf dan bersikap positif selalu. mengejar peluang berbuat baik mudah mudahan Allah beri kekuatan pada kita dan beri rahmat Nya mengilhamkan kita mensucikan diri kita. Beruntunglah orang-orang yang mensucikan jiwanya. Beruntunglah orang yang merasakan kemanisan iman, merasakan redha Allah dan cinta Allah. ia seronok bahagia hidup di dunia lebih daripada seronoknya orang-orang yang lalai buat perkara yang melalaikan... Kematian adalah pasti.. entah hari ini, entah malam ini, kita tak pasti.. entah tahun ini, entah tahun depan, entah berpuluh tahun lagi Tuhan saja yg tahu. Orang yg bijak bersedia untuk menghadapi kematian.

Sunday, February 6, 2011

Ditimpa Was-was, lupa diri, macamana?

Kadangkala (atau kerap kali) apabila kita ingin mengerjakan kebaikan, ingin kembali kepada Allah, ingin meninggalkan yg merosakkan, ingin memulakan hidup baru, ada saja tipu daya syaitan dan penyakit was-was.. Kadangkala kita tergerak hati untuk buat jahat atau buat salah... Kita seperti dibisik supaya buat benda yang salah, yang buruk, yg maksiat, berbuat dosa...
sehubungan dengan ini, ada ayat Al Quran menyatakan cara menghadapinya.
Allah berfirman, maksudnya " Sesungguhnya orang-orang yang bertakwa, bila mereka dibayangi fikiran-fikiran jahat (berbuat dosa)dari syaitan, mereka pun segera ingat kepada Allah, maka ketika itu juga mereka melihat (kesalahan-kesalahannya)." (Surah Al-A'raf: 201)

Selamat belajar Anakku

Esok Anakanda Zaki akan mulai persekolahan di sekolah berasrama penuh Sek Men Sains Johor, Kluang. Ayah doakan keselamatan, kesejahteraan dan kejayaanmu. Tiadalah yang lebih mengetahui nasib kita melainkan Allah jua. Maka taatlah pada Allah dan mohon pada Nya selalu.

Tuesday, January 11, 2011

Adab Dengan Allah Taala

Sahabat kita yang tidak pernah bercerai dengan kita ialah tentunya Tuhan kita, Penolong kita, Pencipta kita. Apabila kita menyebut Nya, Dia akan ada bersama kita kerana firman Allah Taala (dalam hadis Qudsi), maksudnya: "Aku sekedudukan bersama siapa yang mengingatiKu." Dan Allah berfirman pula (dalam hadis Qudsi):
maksudnya "Aku di sisi mereka yang hancur hatinya kerana mengingatiKu."
Jika kita ma'rifat akan Allah sebenar-benar makrifat pasti kita akan memilih Allah sebagai sahabat. Maka dalam setiap hari peruntukkan waktu-waktu untuk kita bersunyi diri dengan Nya dan berlazat-lazat dengan munajat kepada Nya.

(Rujukan: Kitab Bidayatul Hidayah, Imam Al Ghazali)

Kalau nak maju

Kalau nak maju..
kena berdisiplin
mestilah rajin..
kena berani
melawan kemalasan
mestilah yakin
kita mampu cemerlang
kerana ...
kita kenal Allah dan Rasul
kita ada iman
kita orang Islam
jangan takut lagi..
jangan bertangguh
bersama berjaya gemilang.