Thursday, December 31, 2009

SELAMAT TAHUN BARU

Tahun Baru Hijrah telah membuka tirainya. Tahun Baru 2010 akan bermula tak sampai 3 jam dari masa saya menulis posting ini. Kepada diriku dan anda semua yang mengunjungi blog saya ini, diucapkan selamat tahun baru 2010 dan salam maal hijrah. Tahun baru hijrah kali ini saya betul-betul berhijrah dari segi perjawatan. Daripada ketua panitia pendidikan moral saya berhijrah ke ketua panitia geografi. Insya Allah akan saya berikan komitmen sebaik mungkin. Berhijrah bermakna berubah. Insya Allah saya akan berubah demi kebaikan insan yang saya amat kasihi, tak lain tak bukan diri saya sendiri. Tuhan Maha Kuasa, Maha Penyayang,saya sangat yakin ini semua perancangan Allah s.w.t. Untuk anak-anakku tercinta, dan isteriku yang amat ku sayang, akan saya berkorban untuk mereka, insya Allah. Tiadalah kejayaan akan diperoleh tanpa doa, sokongan, bantuan, kasih sayang isteri dan anak-anak. Buat bonda dan ayahanda, anakmu ini ingin membalas jasa, budi dan pengorbanan ayah bonda. Bondalah orang yang paling menyayangi anakanda dan begitulah juga sebaliknya.
Kuasa hijrah adalah kuasa untuk berubah... Saya mengajak teman-teman semua muhasabah diri, tanam azam, kuatkan tekad, buat perancangan dan buatlah tindakan dengan cekal dan tabah, tidak takut cabaran dan halangan yang mendatang. Kerana... kita ada iman. Kita pohon hidayah dan kekuatan dari Allah. Selamat tahun baru.

Friday, December 11, 2009

Apa itu Takwa

Firman Allah: maksudnya,
"Wahai orang-orang yang beriman, bertakwalah kamu kepada Allah dengan sebenar-benar takwa dan jangan kamu mati kecuali dalam Islam. " (surah Ali Imran: 102)

Ayat di atas menyuruh kita supaya bertakwa dengan sebenar-benarnya, bukan main-main, bukan sikit-sikit, bukan ala kadar, bukan pilih-pilih yang mana suka atau mudah sahaja. Takwa dicapai hanya dengan bersungguh-sungguh menjadikan keredhaan Allah sebagai tujuan. Tujuan untuk menjadi orang Islam yang soleh atau solehah, hidup sebagai orang alim, hidup sebagai pejuang agama, mati sebagai syuhada'. Orang bertakwa elok tingkah lakunya, termasuk di situ ialah "sedikit bercakap", Ada hadis yang ertinya:"Orang yang bertakwa ialah yang sedikit bercakap, dan orang bertakwa melebihi orang mukmin dan taat." Takwa itu memelihara diri daripada terjerumus ke dalam kemurkaan Allah.

Abu Yazid al Bustamiy berkata: "Orang yang bertakwa ialah orang yang apabila bercakap maka ia bercakap kerana Allah, dan apabila ia beramal maka ia beramal kerana Allah."

Di dalam Sunan nya , Ibnu Majah meriwayatkan dari Abu Umamah, bahawa Nabi s.a.w. bersabda, ertinya: "Tiada kejayaan yang lebih berharga bagi orang beriman selepas takwa kepada Allah kecuali mendapat isteri solehah; ia patuh jika disuruh suaminya, suaminya gembira jika memandangnya, ia menurut jika suaminya bersumpah untuk melakukan sesuatu, dan ia jaga dirinya dan harta suaminya jika tidak ada di rumah."

Allah berfirman, maksudnya:
" Bukanlah kebaikan itu dengan menghadapkan wajahmu ke timur dan ke barat, tapi kebaikan sebenar ialah beriman kepada Allah, hari kemudian, para malaikat, kitab-kitab, nabi-nabi dan mendermakan harta yang dicintainya kepada kerabatnya, anak-anak yatim, orang-orang miskin, musafir, para peminta-minta, memerdekakan hamba, mendirikan solat, menunaikan zakat, dan orang yang menepati janjinya jika ia berjanji, orang-orang yang sabar dalam kesempitan dan dalam peperangan. Mereka itulah orang-orang yang bertakwa. " (Surah Al Baqarah : 177).

Dengan takwa, seseorang itu akan terpelihara, berasa aman, tenteram dan bahagia. Dia menjauhkan dirinya dari kemurkaan Allah. Dia akan jauh dari kesusahan, kesulitan, dan azab di hari akhirat, di samping beroleh keuntungan di dunia. Marilah kita usahakan menjadi orang yang bertakwa, dengan banyak berdoa mohon pada Allah, dan beramal dengan ikhlas.

Sunday, December 6, 2009

Kedamaian dan kesenangan hati

Jadikan solat kita sumber kedamaian
sumber kesenangan hati
masa sejuknya jiwa
masa insaf mohon ampunan Allah
sumber kebahagiaan
fikiran yang tenteram
tanamkan niat
apabila mula solat di atas sejadah (tikar sembahyang) yang bersih itu
"aku sedang berhubungan dengan Allah yang Maha Pengasih,
Dia Maha mengetahui, Maha Melihat, Maha Mendengar,
Dia mendengar bisikan hatiku, aku berasa tenteram dengan Nya.
Aku berasa damai mengadap Allah, rukuk dan sujud pada Nya.
Saat yang selalu di tunggu-tunggu kini tiba lagi.
Dapat aku bertemu Yang Memelihara ku dan Menyayangiku,
takkan ku lepas peluang bermunajat pada Ilahi."
Fikiran kita pun memikirkan maksud bacaan solat kita,
ingat amalan kita akan diangkat ke langit dalam keadaan elok dan baik jika solat kita khusyuk dan ikhlas,
jika tidak,
akan dicampakkan balik ke muka kita seperti kain buruk.
seharusnya....
ZON SOLAT ITU ZON KEDAMAIAN, ZON KETENANGAN, ZON KESEJUKAN HATI,
jika kita merasakan semua itu
mudah-mudahan kita telah mendapat kemanisan iman,
mudah-mudahan kita telah mula melalui jalan hidayah,
sucikanlah jiwa dengan amalan
yang mendekatkan
kita pada Nya
kita rela dan redha
apa yang ditakdirkan Nya.

Wednesday, December 2, 2009

Mahkamah Akhirat

Ketahuilah bahawa tiap-tiap diri akan merasai mati, dan akan dibangkitkan kembali untuk menerima pengadilan dan pembalasan. Hakikatnya ialah Allah itu Maha Adil, menjadi Hakim yang amat adil di padang mahsyar. Malaikat pula seperti pendakwaraya, penuntut yang membacakan rekod amalan insan, menunjukkan bukti dan gambar-gambar rekod perjalanan amalan manusia di dunia. Tidakkah kita patut mohon ampun bersungguh-sungguh supaya kesalahan kita dimaafkan pada masa kita masih di dunia lagi. Kita di mahkamah Allah adalah sebagai yang terdakwa, atau didakwa, atau defendan. Maka mohonlah selalu kita diberi ringan hisab, maknanya kita dimaafkan. Berat timbangan pahala daripada dosa. Tapi siapakah yang pasti semua itu? Oleh itu hisablah dirimu sendiri sebelum kamu dihisab di padang mahsyar. Orang beriman, orang Islam yang baik baik itu ada pembela, ada peguambela, iaitu Rasul. Pengadilan itu untuk semua jin dan manusia. Sesiapa yang tidak percaya dia akan menyaksikan sendiri dan terlibat sendiri di padang Mahsyar. Bagi yang beriman dengan hari akhirat, bukankah elok buat persiapan rapi, buat pra audit. Hari pengadilan ini adalah pasti dan saksi-saksi itu juga adalah pasti.
Firman Allah: "Sesungguhnya kami menolong Rasul-rasul Kami dan orang-orang yang beriman dalam kehidupan dunia dan pada hari berdirinya saksi-saksi (hari kiamat)." (surah Ghafir -40 : ayat 51)

Monday, November 23, 2009

Keutamaan menolong sesama muslimin

Rasulullah s.a.w. bersabda :

" Barang siapa berjalan hendak menolong saudaranya dan memberikan jasa padanya, maka untuknya pahala orang-orang yang berjihad di jalan Allah."

(Rujukan: Majalah Hidayah, Oktober 2008)

Sunday, November 22, 2009

Dahaga

Dahaga rindu
tidak terperi-peri
ingin berjumpa dengan Mu
pujaan hati
Dahaga rindu
tiap siang dan malam
bermunajat mengadu
mohon ampunan
Dikau kekasih
awal dan akhir
Dikau kekasih
batin dan zahir

Kepulangan

Bila Kekasih
mengundang aku pulang
terubat rindu
tersingkap tabir rahsia
bila Kekasih menjemputku kembali
tiada yang lebih indah
dari yang terindah
bukan balasan lain yang lebih diingini
selain penerimaanMu kekasih
dapatkah aku
menerima undanganMu
dengan sedia
Dunia ini ladang untuk akhirat
bawalah daku pergi
suatu masa nanti
dengan bekalan amalan soleh
dengan iringan doa anak-anak soleh
pergi menemuiMu sebagai pejuang agama
kan ku nantikan saat itu
penuh asyik dalam cinta Mu.

Friday, November 20, 2009

Tibalah hari terakhir

Hari ini hari terakhir sesi persekolahan 2009. Syukur pada Allah dapat daku jumpa hari terakhir persekolahan 2009 dalam keadaan tenang, gembira penuh kesyukuran. Antara yang didapati tahun ini:

1. Perjuangan agama akan membantu setiap aspek kehidupan kita, memberi ketenangan dalam jiwa dan memberi kekuatan kepada kita.

2. Manusia dan makhluk lain ada perasaan, emosi, dan sanubari. Kita boleh memenangi hati orang dengan meminta pada yang mencipta hati itu, yang memiliki hati itu, yang mengawal hati itu.

3. Dalam dunia pekerjaan, kita harus ikhlas melakukan tugas. Walaupun tugas kita tidak sempurna (zat Allah sahaja yang sempurna), kita akan merasai kepuasan kerja. Kita bekerja kerana Allah, untuk agama Allah, mencari nafkah untuk diri dan keluarga. Dengan pendapatan kita yang halal, kita dapat buat banyak kebaikan. kita dapat beribadah dan berdakwah. Kita dapat infak, berzakat dan bersedekah. Kita boleh berjihad. Semuanya ikhlas kerana Allah. Untuk kepentingan Islam, kita sanggup berjihad.

4. Dunia ini kecil, memang kecil. Kita boleh kelilingi dalam beberapa jam. Internet menjadikan perhubungan lebih mudah. Tapi bayangkan sistem cakerawala, galaksi, bima sakti. Apa yang ada di atas sana, di luar atmosfera. Fikirkan kekuasaan Allah. Kita akan merasakan kebesaran kekuasaan Allah. Dan sememangnya manusia ini kerdil, kecil, tak kira pangkat apa pun mereka. Yang kuasa hanyalah Allah. Pangkat, harta dan wang tiadalah erti apa-apa kalau tidak digunakan untuk perjuangan agama Allah.

Wednesday, November 18, 2009

Nak buat maksiat? Fikir ini dulu.

Seorang lelaki datang kepada Ibrahim ibn Adham. Orang itu berkata kepada Ibrahim, "Aku adalah orang yang menyakiti diriku sendiri.Tunjukkan daku perkara yang boleh membuatku serik. " Ibrahim menasihatinya "Jika kamu melakukan lima perkara ini, kamu tidak akan termasuk orang-orang yang melakukan maksiat. Pertama, jika kamu ingin berbuat maksiat kepada Allah, janganlah kamu memakan sesuatu pun dari rezeki Nya. Kedua, jika kamu ingin berbuat maksiat kepada Allah, janganlah kamu tinggal di negeri Nya. Ketiga, jika kamu ingin berbuat maksiat kepada Allah, maka carilah satu tempat yang Allah tidak melihatmu. Keempat, jika datang malaikat maut untuk mencabut nyawamu maka katakan padanya "Tundalah hingga batas waktu tertentu!" Kelima, bila datang padamu malaikat Zabaniyyah iaitu penjaga neraka jahannam untuk menyeretmu ke neraka jahannam janganlah kamu pergi bersama mereka." Orang itu akhirnya tekun beribadah hingga akhir hayatnya.

Thursday, November 12, 2009

Tentang kehidupan ini

Dari Zaid bin Tsabit r.a. dia berkata: “Saya mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda:
Ertinya, “Barangsiapa yang menjadikan dunia sebagai pusat perhatiannya, nescaya Allah s.w.t. akan mencerai beraikan (menyusahkan) urusannya dan menjadikan kefakirannya di hadapan kedua-dua matanya . Ia tidak akan memperoleh dari dunia, kecuali apa yang telah ditetapkan baginya. Barangsiapa yang menjadikan negeri akhirat sebagai tujuannya, maka Allah s.w.t. akan menghimpunkan (memudahkan) urusannya dan menjadikan kekayaannya dalam kalbunya, dan dunia pun akan datang padanya dengan mudah.”

Hadith Rasulullah s.a.w. menyebutkan,
“Yang aku suka dari urusan dunia kamu ialah wangian, wanita dan dijadikan kesejukan hatiku bila berada dalam solat.”

Bertawakkal kepada Allah

Firman Allah, ertinya:
“Katakanlah: ‘Allah s.w.t yang menyelamatkan kamu dari bencana itu dan dari segala macam kesusahan lainnya…. ”
(Al-an’am:64)
“Bukankah Allah s.w.t. cukup untuk melindungi hamba-hambanya?”
(Az-Zumar:36)
“Bukankah Dia mendapatimu sebagai seorang yatim, lalu Dia melindungimu. Dan Dia mendapatimu sebagai seorang yang bingung, lalu Dia memberikan petunjuk. Dan Dia mendapatimu sebagai seorang yang kekurangan, lalu Dia memberikan kecukupan.”
(Adh-Dhuha :6-8)

Sabda Rasulullah s.a.w.:
“Kenalilah Allah s.w.t. saat senang, maka Dia akan mengenalimu saat susah.”

Sunday, November 8, 2009

Peringatan dari Nabi

Rasulullah s.a.w. bersabda:
1. "Jangan kau sia-siakan hidupmu dengan berabdi kepada dunia."

2. "Barang siapa membuat Allah redha namun orang-orang tidak menerima, maka Allah akan redha kepadanya dan akan menjadikan orang-orang itu redha kepadanya. Dan barangsiapa membuat Allah tidak menerima namun orang-orang redha kepadanya, maka Allah akan tidak menerimanya dan membuat orang-orang itu tidak menerimanya."

3. "Siapa makan daging saudaranya di dunia (mengumpat), kepadanya diberikan dagingnya di hari kiamat dan dikatakan, makanlah bangkai itu. Sesungguhnya engkau telah memakannya waktu kamu hidup."

4. "Sesungguhnya kebaikan itu dapat menghapuskan keburukan bagai air menghapuskan kotoran."

5. "Hadiah orang mukmin di dunia adalah kefakiran."

6. "Sedekah itu dapat menghapuskan kesalahan (dosa) sebagaimana air memadamkan api. Wahai Kaab bin Ujrah, sungguh tidak akan masuk syurga daging dan darah yang tumbuh atas usaha haram. Neraka lebih patut untuknya. Wahai Kaab bin Ujrah, manusia di waktu pagi terbahagi dua. Ada yang memerdekakan dirinya dan ada pula yang membinasakannya. Wahai Kaab bin Ujrah, solat itu amal yang mendekatkan diri kepada Allah, puasa sebagai perlindungan dan sedekah menghapuskan dosa sebagaimana air memadamkan api. "

7. "Kunci syurga itu solat."

8. "Kemuliaan seorang mukmin berada dalam watak kayanya dari manusia. Maka dalam sifat qanaahnya, terletak kemerdekaan dan kemuliaan."

Kesemua hadis di atas tercatat dalam Majalah HIDAYAH , edisi Januari 2009.

Friday, November 6, 2009

Semangat Jihad dan kesannya.

Jihad datang hanya dari dalam diri. Semangat jihad tidak datang kepada orang yang mati hatinya. Jihad amat perlu dan satu kemestian bagi orang yang mahu selamat dunia dan akhirat. Bagaimana dia boleh selamat jika tidak melawan unsur-unsur jahat yang merosakkan jiwanya, yang mengajak kepada kelalaian dan kemusnahan. Bagaimana dia ingin jadi insan soleh jika duduk diam tidak berusaha menegakkan Islam dalam diri, keluarga dan masyarakat. Itu angan-angan kosong namanya, akibatnya menanggung rugi dan kemurkaan Allah.
Apa maksud jihad? Baling bom? Letupkan diri? Jihad bermaksud segala usaha yang dilakukan dengan sepenuh daya dan tenaga untuk mencapai matlamat dan cita-cita mulia iaitu menegakkan dan mempertahankan Islam pada diri sendiri, keluarga dan masyarakat serta mendapatkan keampunan, rahmat dan keredhaan Allah taala. Jihad sejati adalah jihad kerana Allah. Kesannya mendekatkan kita kepada rahmat Allah, kita mendapat keredhaan Nya. Firman Allah dalam surah Al Hujurat ayat 15 maksudnya, "sesungguhnya orang-orang yang sebenar-benarnya beriman hanyalah orang-orang yang percaya kepada Allah dan rasul Nya, kemudian mereka (terus percaya dengan)tidak ragu-ragu lagi, serta mereka berjuang dengan harta benda mereka dan jiwa mereka pada jalan Allah, mereka itulah orang-orang yang benar (pengakuan imannya). "

Jihad yang dimaksudkan ialah:

1. Jihad melawan hawa nafsu. (Ini disebut Rasulullah sebagai jihad Akbar - yang besar).
2. jihad melawan kejahatan dengan hati
3. Jihad dengan kata-kata dan penulisan.
4. Jihad dengan ilmu
5. Jihad dengan harta
6. Jihad dengan diri (diri sendiri melaksana tuntutan jihad)

Tinggalkan perkara yang merosakkan dan sia-sia. Jauhi perkara yang melalaikan. Itulah jihad yang utama. Mudah-mudahan Allah meredhai usaha kita. Tiada daya upaya melainkan dengan Allah.

Saturday, October 31, 2009

Selamat Hari Ulang Tahun

Hari ini wedding anniversary, hari ulangtahun perkahwinanku dengan Zarinah. Bahagia sekali hari ini.. terasa saat paling bahagia Hari Perkahwinan yang telah berlalu 15 tahun lalu datang kembali... Alhamdulillah syukur pada Allah rumahtangga kami semakin bahagia. Semuanya adalah rahmat Allah Taala jua, yang perlu disyukuri dan dijaga. Tiada yang lebih bermakna dari kembali merasai kemanisan iman dalam keluarga sakinah. Ya Allah sampaikan salam dan selawatku pada junjungan kami Muhammad s.a.w. dan keluarganya yang mulia.

CIRI CIRI MUHSININ

Firman Allah Taala, ertinya: "Dan sesiapa yang berserah diri bulat-bulat kepada Allah (dengan ikhlas) sedang dia berusaha mengerjakan kebaikan, maka sesungguhnya ia telah berpegang kepada simpulan (tali agama) yang teguh.Hanya kepada Allah kesudahan segala urusan." (Surah Luqman:22). Ihsan ialah yang tertinggi dari iman, dan muhsinin itu ialah orang yang berusaha memperbaiki amalannya dengan penuh keikhlasan. Dalam kitab Akhlak, Sekolah Agama Johor, cetakan 1998, dinyatakan: Ciri-ciri muhsinin antaranya ialah: 1. bertakwa kepada Allah, 2. melakukan solat malam, solat tahajjud dan sebagainya, 3. sentiasa memohon keampunan dari Allah, 4. menggunakan sebahagian dari hartanya untuk membantu orang miskin dan orang yang memerlukan, 5. berjihad pada jalan Allah dengan harta dan jiwa, 6. berpegang teguh pada ajaran Islam. 7. pemaaf.

Wednesday, October 21, 2009

Mohon Hidayah

Kita tetap akan sesat jika tidak mendapat hidayah (petunjuk) dari Allah. Semua manusia yang tidak beriman dan beramal dengan satu-satunya agama yang benar, iaitu Islam, selagi dia tidak mahu beriman selagi itu dia dalam kesesatan. Bagi mereka yang dilahirkan dan dibesarkan dalam keluarga Islam juga tidak semestinya secara otomatik selamat dari kesesatan. Orang yang mati sebagai orang yang sesat adalah orang yang malang. Orang yang kehidupannya pada mulanya baik, tetapi akhir hidupnya dia dimurkai Allah, imannya entah ke mana, dia juga orang yang malang. Semua golongan malang ini akan menerima azab (siksaan) Allah di akhirat. Orang bukan Islam yang telah mendapat petunjuk (hidayah) hendaklah segera masuk Islam. Orang Islam yang ahli maksiat, sentiasa dalam berbuat dosa-dosa yang besar, yang meninggalkan perkara yang diwajibkan, hendaklah segera bertaubat nasuha. Hendaklah dia kembali kepada jalan yang terang, jalan yang benar, jalan selamat, jalan lurus dan bersih. Tinggalkan lorong-lorong gelap menuju ke neraka yang pasti menanti golongan yang sesat. Apabila sembahyang minta betul-betul agar Allah beri kita hidayah. Agar kita dipimpin Nya. Agar kita tahu mana yang salah mana yang betul. Agar kita ada kekuatan memilih jalan yang benar, melaksana suruhan Allah, dan meninggalkan larangan Allah. Jika Allah mengilhamkan di hati kita untuk bertaubat (berhenti dari maksiat dan dosa) itu tandanya Allah tidak mahu mengazab kita (menyiksa kita). Kalau Allah beri balasan di dunia berupa ketakutan, kelaparan, kemiskinan, kesusahan, penyakit, mungkin itu tandanya Allah mahu membersihkan dosa kita kerana musibah itu membuatkan kita insaf (dan bertaubat nasuha). Jika kita telah sedar, maka bertaubatlah dan kerjakanlah kebaikan. Pohonlah hidayah. Pohonlah kekuatan. Gunakan pelbagai cara atau terapi mengatasi masalah, seperti terapi istighfar dan terapi sedekah. Insya Allah kehidupan kita akan lebih bermakna. Setiap hari menjadi indah. Setiap hari amat membahagiakan, apa lagi kalau ada rumahtangga yang bahagia, kalau ada keluarga sakinah. Mohonlah.

Thursday, October 8, 2009

SELAWAT FATIH

Maksud Selawat Fatih dalam Bahasa Melayunya: Ya Allah rahmatilah ke atas penghulu kami Muhammad yang membuka apa yang tertutup dan yang penyudah bagi kami apa yang telah lalu dan yang menolong kebenaran dengan kebenaran dan yang menunjuk jalan Engkau yang lurus dan atas ahlinya dan sahabatnya mempunyai nilai kedudukan yang tinggi lagi agung. HURAIAN SELAWAT FATIH:  Ustaz Haji Ahmad Tunggal, Pengerusi Jamaah Wirid Khaujakan Johor, menulis dalam bukunya "Amalan Kecemerlangan Rohani" (1993) seperti berikut: Yang membuka apa yang tertutup - Dunia ini asalnya tidak ada dan masih tertutup. Maka dijadikan dunia ini adalah disebabkan wujudnya Nabi Muhammad s.a.w. Kalaulah tidak ada Nabi Muhammad s.a.w. tidaklah akan wujud dunia ini. Allah menjadikan Nabi Muhammad s.a.w. sebagai rahmat bagi sekalian alam. Rahmat dan kenabian bagi sekalian makhluk termasuk manusia, jin dan binatang. Hati manusia juga pada mulanya tertutup dengan syirik, tertutup dengan kezaliman dan kejahilan. Iman, Islam dan akhlak tertutup, semuanya itu dibuka oleh Nabi Muhammad s.a.w. dengan dakwah yang berpandukan kitab Al Quran. Terbukalah kebenaran akidah dan syariat Islam, terbukalah akhlak dan budi pekerti yang luhur, terbukalah keadilan sosial dan terbukalah sebuah negara Islam yang dipimpin oleh Nabi Muhammad s.a.w. yang membuka apa yang tertutup.Dan penyudah apa yang telah lalu- Tidak ada Nabi lagi sesudah Nabi Muhammad s.a.w. Juga sebagai penutup berlakunya peristiwa Israk dan Mikraj  dan penutup kitab suci Al Quran. Dan yang menolong kebenaran dengan kebenaran - Pertolongan Nabi Muhammad s.a.w. yang benar ialah Al Quran. Di dalamnya mengandungi segala kelengkapan termasuk akidah, syariat, akhlak, ibadat, bermasyarakat bernegara, falsafah dan mistik. Manusia tidak akan mengetahui kebenaran tersebut tanpa pertolongan Nabi. Dan yang menunjukkan jalan Engkau yang lurus - lalu yang ditunjukkan oleh Nabi adalah jalan yang lurus, betul dan tegak. Ertinya jalan yang lurus itu adalah ialah jalan Islam, jalan selamat sejahtera dan bahagia. Mustakim selain dari makna lurus boleh diertikan yang tetap dan teguh pendirian dalam melaksanakan perintah Allah. Selain dari Nabi penolong kebenaran ia juga memimpin. Memipin ke jalan yang lurus sejahtera dan selamat. KELEBIHAN SELAWAT FATIH: Sebagaimana dijelaskan oleh Ustaz Ahmad Tunggal, tersebut dalam kitab Sair Al Salikin juzuk 1 menyatakan bahawa selawat Fatih juga selawat bagi Sheikh Abdul Kadir Jailani r.a. Di antara kelebihannya yang tersebut dalam kitab Sair Al Salikin oleh Abdul Samad Al Falambani: telah menyebut oleh kebanyakan daripada arifin bahawasanya selawat ini bagi membukakan asrar (rahsia) dan yang ajaib, yang terhairan oleh akal sesiapa yang dapat membacanya tiap-tiap hari seratus kali nescaya terbuka baginya daripada segala hijab dan hasil baginya daripada anwar dan menunaikan segala hajat barang yang tiada mengetahui kadarnya melainkan Allah Taala.Oleh itu marilah kita amalkan membaca selawat fatih ini. Anda boleh jumpa selawat ini dalam mana-mana kitab himpunan selawat, atau kitab wirid dan doa atau buku-buku panduan beramal yang lainnya. Saya belum dapat menggunakan blog ini untuk menulis huruf jawi atau arab. Insya Allah saya usahakan.

Wednesday, October 7, 2009

HARIZ ZIKRI

Indah namamu
ditakdirkan Yang Esa
selembut sutera
seindah pelangi
bermaksud
Pemelihara Ingatanku (Pada-Nya)
dan bererti
Pemelihara Zikirku,
anakku ini
pada umur yang kecil ini
sudah mengerti kebesaran Ilahi
sudah mengenal kasih Tuhan
moga dikau
membesar dalam kesejahteraan
dalam pimpinan dan kasih sayang Allah
Ayah doakan.

Monday, October 5, 2009

Kehidupan Yang Bahagia

Rasulullah s.a.w. hidup bahagia bersama isteri-isteri baginda. Bukan sahaja isteri-isteri Rasulullah muliakan baginda, malah Rasulullah juga menyayangi dan menghormati isteri-isterinya. Satu contoh ialah kisah romantis perkahwinan Rasulullah dengan Shafiyah. Menurut riwayat Imam Ahmad: Rasulullah s.a.w. menawarkan pilihan kepada Shafiyah : Apakah ingin dibebaskan dan menjadi isteri baginda, atau dikirim kembali kepada keluarganya. Kemudian Shafiyah memilih hidup sebagai isteri Rasulullah. Maka Rasulullah s.a.w. pun menjadikan pembebasannya itu sebagai emas kahwinnya. Sewaktu Rasulullah balik dari peperangan dan penaklukan Khaibar, dalam perjalanan pulang ke Madinah, Rasulullah memerintahkan rombongan baginda berehat di suatu tempat. Rasulullah menyatakan hasrat melangsungkan perkahwinannya dengan Shafiyah di situ namun Shafiyah menolaknya. Kemudian perjalanan diteruskan, hingga ke Asshahba, lebih kurang 16 batu dari Khaibar. Shafiyah bersetuju perkahwinan berlangsung di situ. Setelah siap sedia segalanya, dan setelah Ummu Salamah selesai tugasnya (sebagaimana diminta oleh Rasulullah) menjadi juru rias, Rasulullah menghampiri Shafiyah, lalu Shafiyah bangun menyambut baginda dengan hati dan wajah berseri-seri. Rasulullah bertanya: "Mengapa engkau menolak pada perhentian sebelum ini, untuk melansungkan pernikahan ini?" Shafiyah menjawab : " Saya khuatir keselamatanmu dari kaum Yahudi, kerana tempat itu terlalu dekat dengan perkampungan mereka". Ketika itu Shafiyah baru berumur 17 tahun. Begitulah suami isteri, ada tolak ansur, ada toleransi, sayang menyayangi penuh kemesraan. Hendaknya kita mencontohi kehidupan Rasulullah s.a.w. yang kita cintai. Saya telah merujuk kepada Buku "Suami Teladan, Rumah Idaman, Syurga Impian" karangan Mohd. Isa Selamat: Darul Nu'man, Kuala Lumpur 1994.
Kepada anda, boleh juga rujuk buku "Isteri Teladan, Rumah Idaman Syurga Impian" Habsah Md Nor 1994 (penerbit yang sama). Kedua-dua buku ini saya cadangkan anda memiliki dan membacanya.

Wednesday, September 30, 2009

Mari Perbaiki Solat Kita

Firman Allah, "Sesungguhnya telah berjayalah orang-orang yang beriman. (Iaitu) mereka yang khusyuk dalam solat mereka... Dan mereka yang memelihara solat-solat mereka". (Surah Al Mukminun 1,2 & 9).Dalam buku Tip-tip Cemerlang daripada Quran, (Dr. Danial Zainal Abidin, 2005) dinyatakan bahawa salah satu cara mencapai kecemerlangan ialah dengan sembahyang. Mengikut Imam Bukhari dan Muslim, Abdullah bin Masud pernah bertanya kepada Nabi, " apakah amalan yang paling Allah sukai?" Baginda menjawab , "solat tepat pada waktunya." Abdullah bin Masud bertanya lagi, "kemudian apa?" Baginda menjawab,"Melakukan kebaikan kepada kedua ibu bapa." Abdullah bertanya lagi, "Kemudian apa?" Nabi menjawab , "Jihad kerana agama Allah." Daripada hadis ini, pada pendapat saya,  jelas kepada kita bahawa Allah suka kalau kita beri perhatian kepada tiga perkara ini. Mari timba ilmu, mari usaha jadi orang alim, mari beribadah dengan ikhlas dan taat, mari buat baik pada ibu bapa kita, jangan lupakan mereka, jangan lupa berdoa untuk mereka, sayangi ibu bapa kita dan jaga kebajikan dan keperluan mereka. Dan ayuh  mari berjihad untuk Islam. Moga kita hidup dan mati sebagai pejuang, sebagai syuhada,  mari tegakkan dakwah. Berjuanglah dan berdakwahlah dengan pelbagai cara. Perbaiki solat. Cuba khusyuk dalam solat. Cara yang boleh dilakukan, (saya harap kita terus lakukan terus menerus mulai solat yang akan kita buat selepas ini) caranya FAHAMI MAKSUD BACAAN SOLAT ANDA DAN HATI MENGINGAT MAKSUD BACAAN ITU. Cubalah seberapa dapat walaupun bacaan surah Al Quran ada yang kita tak ingat, tapi kita cuba juga. Tak payah ingat perkara lain. Satu lagi cuba panjangkan sedikit masa rukuk dan sujud. jangan tergesa-gesa. Sebaik-baiknya solat di masjid,  itu perintah Allah kepada kaum muslimin. Untuk lebih baik lagi perbanyakkan solat sunat. Itu menampung kekurangan kita dalam solat fardhu. Insya Allah. Mari mulakan.

Friday, September 18, 2009

Wahai Rasulullah

Terkadang daku berilusi
menziarahimu wahai kekasih Allah..
air mata kasih berlinangan
hiba membaca seerah mu
Tuan dilamar oleh Siti Khadijah
sebaik pulang berniaga barang barang wanita itu
dengan jayanya..
ini kisah cinta paling romantis,
Ya Allah.. berilah balasan sebaik-baiknya buat penghulu kami,
buat Muhammad,
Dalam surah Adh Dhuha jelas Firman Mu ya Allah:
Bukankah engkau didapatiNya seorang anak yatim, lalu dilindungiNya
Dan engkau didapatiNya dalam kebingungan (belum mendapat petunjuk), lalu ditunjukiNya.
Dan engkau didapatiNya seorang miskin lalu diberiNya kekayaan (Surah Adh Dhuha : ayat 6 - 8).
Dan sekali lagi, peristiwa Rasulullah sedih kematian anak lelakinya Ibrahim, juga menjadi tauladan buat orang mukmin yang mempunyai keluarga.
Ya Allah, jadikanlah kami umat Muhammad yang kuat berjuang untuk Islam. Demi kesejahteraan dan kebahagiaan dunia dan akhirat.

Wednesday, September 16, 2009

Di Penghujung Ramadan

Ramadan tinggal beberapa hari saja lagi (buat yang masih diberi umur, saat kematian tak tahu bila, entah tahun depan, entah bulan depan, entah esok, entah malam ini, kita tak tahu; tapi bagi yang merindui TuhanNya, dia suka untuk kembali kepada kekasihnya, walaupun bimbang kalau-kalau salah dan dosa akibat tidak setia pada percintaan dan pada kekasihnya belum terampun.. al Fatihah buat mereka yang kita kasihi yang telah pergi dahulu ke rahmatullah). Ramadan selalu memberi kenangan indah.. memory indah.. memory green. keep my memory green ya Allah, kenangan bersama Mu dalam banyak episod. Kepada sahabat sahabat saya, terima kasih sudi bertukar fikiran dengan saya, termasuk yg saya kenal di dunia maya, dan sahabat dan uztaz-ustaz dan ustazah-ustazah di seluruh tanah air yg mengenali saya. Kita suka berjuang untuk agama ini. Kita mahu jadi pejuang. Kedua, kita nak jadi pendakwah, ketiga jadi ahli ibadah. Dan keempat, kita berusaha jadi orang alim, cari ilmu Islam. Empat perkara dalam Misi kehidupan ini saya terfikir semasa dalam bulan Ramadan ini. Visi kita ialah Keredhaan Allah, Ampunan Allah, dan kejayaan di dunia dan di akhirat, serta kebahagian sejati buat diri dan keluarga.
Jika kita dapat jadi 4 jenis manusia ini, insyaAllah kita selamat dan berbahagia. Saya lihat, orang sebegini hidupnya puas, hidupnya penuh nikmat, walau pun tidak kaya raya tapi hidupnya penuh nikmat. Dia selalu dapat pertolongan Allah, terutama di saat susah. Dalam kehidupannya dia ada kekuatan, dan fikirannya tajam. Bahasanya tepat, selalu mengandungi kebijaksanaan. Dia selalu dilindungi Allah dari bencana yang tak dapat ditanggung, atau perkara yang mengaibkan. Semuanya itu kerana pengorbanannya untuk agama Allah. Itulah perniagaan yang tak akan merugikan. Dia telah berkorban dengan diri dan hartanya, maka Allah pasti melihatnya dan membalasnya. Kita berusaha untuk menjadi orang seperti itu, menjadi umat Muhammad s.a.w. yang menyambung tugas para Rasul. Mari kita bangkit amalkan ajaran suci. Tak guna duduk membuang masa lagi. Gunakan tiap kesempatan untuk berbakti dan membuat kebaikan.
Umat akhir zaman ini tak dapat menatap wajah Rasulullah di dunia, tapi Baginda bersabda, "Di akhirat, engkau akan bersama orang yang engkau cintai." maksudnya kalau kita cinta Rasulullah, kita akan bersama baginda di syurga.
Selamat Hari Raya Aidil fitri, maaf zahir dan batin.

Monday, August 24, 2009

RAMADAN YANG PENUH KEBERKATAN

Alhamdulillah... kita telah menemui lagi bulan Ramadan tahun ini. Kita gembira dengan kedatangan Ramadan. Bulan ini penuh dengan kelebihan, ganjaran dan kenikmatan bagi orang-orang yang suka mendekatkan diri kepada Tuhannya. Bulan ini penuh dengan rahmat, penuh kelebihan dan keistimewaan.
Bersabda Nabi s.a.w. : bahawa syurga berlenggang-lenggang ia dari setahun ke setahun kerana masuknya bulan Ramadan. Pada awal malam bulan Ramadan bertiup angin di bawah 'arasy dan bergeraklah daun kayu dengan lemah longlainya di dalam syurga, terdengarlah desiran daun kayu, hembusan sang bayu syurga yang teramat indahnya, seni rentak lagunya menawan seluruh perasaan nurani, maka berhiaslah bidadari sekaliannya hingga berdirilah di atas puncak mercu syurga itu, lantas bersuaralah bidadari: Adakah orang yang hendak meminang kami kepada Allah, kata bidadari pula: Apakah malam ini namanya? Jawab Malik Ridhwan , hai bidadari yang cantik manis, inilah malam awal Ramadan, lalu Allah berfirman: Hai Ridhwan, bukalah pintu syurga Babuljannan untuk orang-orang yang berpuasa daripada umat Muhammad 'Alaihissalam. Hai Malik Zabaniah, tutuplah pintu neraka Al-Jahim daripada umat Muhammad 'Alaihissalam, Hai jibril, belenggukan syaitan, lontarkannya ke dalam lautan supaya tidak membinasakan umat Muhammad akan puasanya. Maka berfirman Allah pada tiap-tiap malam Ramadan tiga lali: Adakah orang yang meminta ampun? Akan Aku ampunkannya! (Al-Hadis)

Friday, August 14, 2009

Happy birthday

Hari ulangtahun kelahiran datang lagi,
yang ke 44
penuh kesyukuran daku meraikannya...
daku amat berbahagia..
pada usia separuh umur
atau mungkin di penghujung hari
yang penting sinaran suria telah menyinari semula
duniaku ini
pengalaman yang panjang
mendewasakan
syukur telah ku temui
dan ku dihadiahkan Tuhan
dua hadis Nabi
yang telah merubah pemikiranku, dan persepsiku,
dan memotivasikan hamba Allah ini
untuk semarakkan lagi semangat juang,
semangat jihad, penuh dengan cita-cita
bersama perasaan kasih sayang, yang tak pernah padam,
pada pencarian ilmu dan amalan ibadah,
daku memang ada kelemahan, tetapi daku juga ada penolong...
ada teman yang tiap saat bersamaku,
iaitulah Allah Tuhan Maha Pengasih.
Dua hadis itu:
1. berkenaan fadhilat membaca Al Quran- fadhilatnya amat besar. Amalannya mudah tapi fadhilatnya lebih besar dari amalan lain. Sesiapa suka berkomunikasi dengan Allah, bacalah Al Quran dan belajar fahami maksudnya.
2. berkenaan faedah dan ganjaran sujud dengan hadir hati kepada Allah - akan meninggikan satu darjat di sisi Allah dan menghilangkan dosa setiap kali satu sujud (dengan hadir hati). Itulah sandaran kita orang-orang beriman.

Thursday, May 7, 2009

Selawat Tawassul

Berselawatlah selalu. Selawat kepada Rasulullah seperti selawat tawassul akan mendapat bantuan Nabi s.a.w. sewaktu kita dalam kesusahan. Jika kita ditimpakan kesusahan yang berat, kita ada tempat mengadu , tentunya kepada Allah dan Rasulullah.
Maksud selawat ini (selawat tawassul): "Rahmat dan keselamatan semoga tetap atas engkau wahai penghuluku ya Rasulullah, peganglah tanganku, habis daya upayaku, semoga engkau segera ingin membantuku."
Sebaik-baiknya baca 313 kali (atau lebih) setiap hari. Sekurang-kurangnya 10 kali pagi dan petang. Sabda Nabi s.a.w. "siapa berselawat kepadaku 10 kali pada waktu pagi dan petang, maka ia akan mendapat syafaatku di hari kiamat. "
Dalam buku "Bimbingan Berselawat" Mohd. Mus'ab al-Fatan menyatakan antara waktu yg utama untuk berselawat ialah ketika hendak masuk ke masjid dan ketika keluar dari masjid, sewaktu ditimpa kesusahan dan sewaktu bertemu saudara Islam yang lain .
Rasulullah bersabda, maksudnya " Tiadalah dua orang yang saling kasih mengasihi kerana Allah , yang berjumpa salah seorang dengan yang lainnya lalu berjabat tangan dan berselawat untuk Nabi s.a.w. melainkan Allah mengampuni dosa mereka sebelum mereka berpisah, baik yang telah lalu mahupun yang akan datang."

Thursday, April 30, 2009

ZIKIR DAN DOA

Ya Allah wahai zat yang menunaikan segala hajat
Ya Allah wahai zat yang menyempurnakan segala cita-cita
Ya Allah wahai zat yang meninggikan segala darjat
Ya Allah wahai zat yang menolak segala bencana
Ya Allah wahai zat yang menyahut segala seruan
Ya Allah wahai zat yang menyembuhkan segala penyakit
Ya Allah wahai zat yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani
tolonglah kami wahai Tuhan
sesungguhnya cukuplah Engkau Ya Allah sebagai penolong kami
kepada Engkau Ya Allah kami serahkan segala urusan kami.

Tuesday, April 7, 2009

ORANG YANG BERAKAL

Firman Allah, bermaksud:
" Bagi Allah kerajaan langit dan bumi, dan Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu. " ( Ali 'Imran : 189)
" Sesungguhnya tentang kejadian langit dan bumi, dan pertukaran malam dan siang menjadi tanda (atas kekuasaan Allah) bagi orang-orang yang berakal. " (Ali 'Imran : 190)
"(iaitu) Orang-orang yang mengingati Allah ketika berdiri, duduk dan berbaring, dan mereka memikirkan kejadian langit dan bumi, (sambil berkata): Ya Tuhan kami, tidaklah Engkau jadikan ini dengan sia-sia, Mahasuci Engkau, maka peliharalah kami dari siksaan neraka. " ( Ali 'Imran: 191)

Ketiga-tiga ayat di atas sepatutnya menjadi panduan untuk kita, menjadi sumber inspirasi dan sesuatu yang cukup untuk memotivasikan kita untuk meneruskan kehidupan. Kalau kita faham bahawa Allah pemilik seluruh kerajaan langit dan bumi, bahawa Allah Maha Kuasa atas segalanya, maka kita akan berasa beruntung memiliki iman yang lurus dan suci ini. Kita tak perlu takut kepada yang lain-lain, malah kita kita patut memenuhi kehidupan dengan mematuhi perintah Allah. Yang menjadikan manusia itu tinggi kedudukannya ialah dengan mengingati Allah dalam setiap keadaan, setiap masa. Itulah orang berakal. Itulah orang yang hidup hatinya. Itulah orang yang betul perjalanannya.
Tentu sekali kita punya banyak kelemahan. Kita selalu lalai. Kita akui kelemahan kita. Kita akui dosa-dosa kita. Mohon ampunlah sentiasa. Hiduplah penuh makna. Fikirkan kebesaran Allah. Puji Allah. Minta dan berdoa padanya. Sembahlah Allah. Buat kebaikan kepada manusia, di mana saja yang boleh, bila-bila saja yang mampu. Moga kita beruntung. Lihat juga Firman Allah surah Al Hajj, ayat 77: maksudnya" Hai orang-orang yang beriman, ruku'lah, sujudlah dan sembahlah TuhanMu, dan perbuatlah kebajikan, mudah-mudahan kamu mendapat kemenangan (sukses)."

Wednesday, February 11, 2009

CINTA ALLAH PADA HAMBA-NYA

Renungi dan fahami ayat-ayat Al Quran dan Hadis tentang cinta Allah pada hambaNya:

Firman Allah, maksudnya, "Allah mencintai mereka dan mereka mencintai Allah"
(Al Maidah:54)

"Sesungguhnya Allah mencintai orang-orang yang berperang di jalanNya dalam barisan yang teratur". (Al-Shaaf:4)

"Sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang bertaubat dan menyukai orang-orang yang menyucikan diri" (Al-Baqarah:222)

Anas r.a. meriwayatkan dari Nabi SAW, baginda bersabda, "apabila Allah mencintai seseorang, dosa tidak akan membahayakan dirinya (kerana segera bertaubat). Orang yang bertaubat dari perbuatan dosa, bagaikan orang yang tidak mempunyai dosa. Kemudian dibacakan ayat (bermaksud): sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang bertaubat." (Riwayat Ibnu Majah).

Rasulullah SAW bersabda :
"Sesungguhnya Allah SWT memberikan dunia kepada orang yang mencintai dan yang tidak mencintai. Tetapi Allah tidak memberikan iman kecuali kepada orang yang menyukai." (Riwayat al-Hakim dan al-Baihaqi dari Ibnu Mas'ud).

Rasulullah SAW bersabda,
"Barangsiapa berendah diri kerana Allah, maka Allah mengangkat darjatnya, dan barangsiapa sombong, maka Allah akan menjatuhkannya. Barangsiapa memperbanyak mengingat Allah maka Allah mencintainya." (Riwayat Ibnu Majah dan Ibnu Said)

Rasulullah SAW bersabda
"Allah berfirman: Tidak henti-hentinya hamba-Ku mendekatkan diri kepada-Ku dengan sunnah sehingga Aku mencintainya. Apabila Aku mencintainya Aku akan menjadi pendengarannya yang dengannya digunakan mendengar dan penglihatannya yang dengannya digunakan melihat." (Riwayat Bukhari dari Abu Hurairah r.a.)

Zaid bin Aslam mengatakan : Sesungguhnya Allah mencintai seseorang, kecintaanNya mencukupi baginya. Allah berfirman: Kerjakanlah apa yang engkau kehendaki. Aku telah mengampunimu.

Rujukan:Imam Nawawi, "Cinta dan Rindu kepada Allah" (terjemahan Al-Mahabbah, Asy-Syauq wa Al-Redha)

Sunday, February 1, 2009

TAUBAT DAN KESANNYA

Seorang hakim ditanya: Apakah ada tanda bahawa taubat itu telah diterima? Jawabnya : Ya, ada 4 tanda atau alamatnya iaitu:
1. Putus hubungan dengan kawan-kawannya yang tidak baik dan bersahabat dengan orag-orang soleh
2. Menghentikan semua maksiat dan rajin melakukan ketaatan.
3. Hilang rasa kesenangan kepada dunia pada hatinya dan selalu ingat akan kesusahan akhirat
4. Percaya kepada jaminan Allah dalam urusan rezekinya lalu menyibukkan diri menunaikan perintah Allah
Maka bila terdapat semua sifat itu maka dia termasuk dalam ayat yang bermaksud: "Sesungguhnya Allah kasih pada orang yang bertaubat dan kasih pada yang suka bersuci".

Kemudian dia berhak memperolehi daripada orang lain 4 perkara iaitu:
1. Mereka cinta kepadanya kerana Allah telah cinta kepadanya
2. Mereka akan memeliharanya dan selalu mendoakannya
3. Mereka lupa terhadap dosa-dosanya yang telah lalu
4. Mereka selalu membantu dan mendekatinya

Manakala Allah akan memuliakannya dengan 4 perkara:
1. Melepaskannya dari dosa sehingga seolah-olah dia tidak pernah berdosa
2. Dia dicintai oleh Allah
3. Dia dipelihara dari gangguan syaitan.
4. Dia diamankan dari rasa takut sebelum keluar daripada dunia ini
(PETIKAN DARIPADA AL-AZIM.COM , PAUTAN WEBSITE JABATAN AGAMA ISLAM MELAKA)

Thursday, January 8, 2009

Istana di hati

Dunia dalam jiwa insan
seluas alam maya
seindah pelangi
jika bertemankan pemilik segala keindahan
binalah istana dalam jiwaku
wahai Maha Pencinta
tempat daku bercinta denganMu
kurniakan haruman kasturi iman
semangat takwa
jiwa itu bagiku realiti sebenar kehidupanku
sebati kasih mengenal pencipta
tak dapat di musnahkan oleh sesiapa
hiasilah istanamu
dengan lukisan iman
perhiasan taqwa
alunan muzik jihad
kekal ke alam abadi

Tuesday, January 6, 2009

Hadis tentang makanan Rasulullah

Dari Aisyah r.ha. berkata, "Rasulullah s.a.w. selama hidupnya tidak pernah makan kenyang dengan tepung (roti) jagung dalam dua hari berturut-turut hingga beliau wafat." ( Hadis riwayat Tirmidzi ).
Begitulah Rasulullah menjalani hidupnya dengan serba sederhana tetapi penuh berkah dan bahagia. Kita kata zaman ini hidup dihimpit inflasi, kos sara hidup tinggi, nilai wang menjadi kecil, harga barang mahal, tetapi cuba bandingkan cara hidup kita dengan Rasulullah s.a.w. dan para sahabat. Kita banyak melayan nafsu makan dan hidup bermewah mewah! Rasanya sangat eloklah kita pilih kehidupan bersederhana. Sebuah hadis menyatakan (saya petik dari Kitab Fadhilah Sedekah), bahawa barangsiapa kekurangan makan dan minum di dunia ini, maka Allah s.w.t. akan membanggakannya di hadapan para malaikat dengan berfirman, "Lihatlah! Aku memberinya kekurangan makanan dan minuman, tetapi ia bersabar. Bersaksilah kamu bahawa Aku akan meninggikan derajatnya di syurga, sesuai dengan setiap suapan yang ia kurangi. "
Suatu ketika Fatimah r.ha. membawa sekerat roti kepada Rasulullah s.a.w. Lalu beliau s.a.w. bertanya, "Apa itu?" Fatimah r. ha. menjawab, " Ya Rasulullah hari ini saya masak roti, dan saya tidak suka memakannya tanpa engkau ikut bersama kami." Rasulullah s.a.w. menjawab, "Dalam tiga hari, inilah makanan pertama yang masuk ke mulut ayahmu."

Aduhai Puteraku

Kita berjauhan lagi
dikau yang semuda itu
sekecil itu
belajar berdikari di sana
demi mencari ilmu,
air mata ayah,
tak dapat ditahan,
hati hiba,
menghantar anak ke smkbp,
oh anak,
doa ayah sentiasa mengiringimu,
ayah rindu padamu,
Allah akan tetap melindungimu,
Allah akan tetap bersamamu,
ibu ayah menahan sebak di dada,
kerinduan.