Wednesday, September 30, 2009

Mari Perbaiki Solat Kita

Firman Allah, "Sesungguhnya telah berjayalah orang-orang yang beriman. (Iaitu) mereka yang khusyuk dalam solat mereka... Dan mereka yang memelihara solat-solat mereka". (Surah Al Mukminun 1,2 & 9).Dalam buku Tip-tip Cemerlang daripada Quran, (Dr. Danial Zainal Abidin, 2005) dinyatakan bahawa salah satu cara mencapai kecemerlangan ialah dengan sembahyang. Mengikut Imam Bukhari dan Muslim, Abdullah bin Masud pernah bertanya kepada Nabi, " apakah amalan yang paling Allah sukai?" Baginda menjawab , "solat tepat pada waktunya." Abdullah bin Masud bertanya lagi, "kemudian apa?" Baginda menjawab,"Melakukan kebaikan kepada kedua ibu bapa." Abdullah bertanya lagi, "Kemudian apa?" Nabi menjawab , "Jihad kerana agama Allah." Daripada hadis ini, pada pendapat saya,  jelas kepada kita bahawa Allah suka kalau kita beri perhatian kepada tiga perkara ini. Mari timba ilmu, mari usaha jadi orang alim, mari beribadah dengan ikhlas dan taat, mari buat baik pada ibu bapa kita, jangan lupakan mereka, jangan lupa berdoa untuk mereka, sayangi ibu bapa kita dan jaga kebajikan dan keperluan mereka. Dan ayuh  mari berjihad untuk Islam. Moga kita hidup dan mati sebagai pejuang, sebagai syuhada,  mari tegakkan dakwah. Berjuanglah dan berdakwahlah dengan pelbagai cara. Perbaiki solat. Cuba khusyuk dalam solat. Cara yang boleh dilakukan, (saya harap kita terus lakukan terus menerus mulai solat yang akan kita buat selepas ini) caranya FAHAMI MAKSUD BACAAN SOLAT ANDA DAN HATI MENGINGAT MAKSUD BACAAN ITU. Cubalah seberapa dapat walaupun bacaan surah Al Quran ada yang kita tak ingat, tapi kita cuba juga. Tak payah ingat perkara lain. Satu lagi cuba panjangkan sedikit masa rukuk dan sujud. jangan tergesa-gesa. Sebaik-baiknya solat di masjid,  itu perintah Allah kepada kaum muslimin. Untuk lebih baik lagi perbanyakkan solat sunat. Itu menampung kekurangan kita dalam solat fardhu. Insya Allah. Mari mulakan.

Friday, September 18, 2009

Wahai Rasulullah

Terkadang daku berilusi
menziarahimu wahai kekasih Allah..
air mata kasih berlinangan
hiba membaca seerah mu
Tuan dilamar oleh Siti Khadijah
sebaik pulang berniaga barang barang wanita itu
dengan jayanya..
ini kisah cinta paling romantis,
Ya Allah.. berilah balasan sebaik-baiknya buat penghulu kami,
buat Muhammad,
Dalam surah Adh Dhuha jelas Firman Mu ya Allah:
Bukankah engkau didapatiNya seorang anak yatim, lalu dilindungiNya
Dan engkau didapatiNya dalam kebingungan (belum mendapat petunjuk), lalu ditunjukiNya.
Dan engkau didapatiNya seorang miskin lalu diberiNya kekayaan (Surah Adh Dhuha : ayat 6 - 8).
Dan sekali lagi, peristiwa Rasulullah sedih kematian anak lelakinya Ibrahim, juga menjadi tauladan buat orang mukmin yang mempunyai keluarga.
Ya Allah, jadikanlah kami umat Muhammad yang kuat berjuang untuk Islam. Demi kesejahteraan dan kebahagiaan dunia dan akhirat.

Wednesday, September 16, 2009

Di Penghujung Ramadan

Ramadan tinggal beberapa hari saja lagi (buat yang masih diberi umur, saat kematian tak tahu bila, entah tahun depan, entah bulan depan, entah esok, entah malam ini, kita tak tahu; tapi bagi yang merindui TuhanNya, dia suka untuk kembali kepada kekasihnya, walaupun bimbang kalau-kalau salah dan dosa akibat tidak setia pada percintaan dan pada kekasihnya belum terampun.. al Fatihah buat mereka yang kita kasihi yang telah pergi dahulu ke rahmatullah). Ramadan selalu memberi kenangan indah.. memory indah.. memory green. keep my memory green ya Allah, kenangan bersama Mu dalam banyak episod. Kepada sahabat sahabat saya, terima kasih sudi bertukar fikiran dengan saya, termasuk yg saya kenal di dunia maya, dan sahabat dan uztaz-ustaz dan ustazah-ustazah di seluruh tanah air yg mengenali saya. Kita suka berjuang untuk agama ini. Kita mahu jadi pejuang. Kedua, kita nak jadi pendakwah, ketiga jadi ahli ibadah. Dan keempat, kita berusaha jadi orang alim, cari ilmu Islam. Empat perkara dalam Misi kehidupan ini saya terfikir semasa dalam bulan Ramadan ini. Visi kita ialah Keredhaan Allah, Ampunan Allah, dan kejayaan di dunia dan di akhirat, serta kebahagian sejati buat diri dan keluarga.
Jika kita dapat jadi 4 jenis manusia ini, insyaAllah kita selamat dan berbahagia. Saya lihat, orang sebegini hidupnya puas, hidupnya penuh nikmat, walau pun tidak kaya raya tapi hidupnya penuh nikmat. Dia selalu dapat pertolongan Allah, terutama di saat susah. Dalam kehidupannya dia ada kekuatan, dan fikirannya tajam. Bahasanya tepat, selalu mengandungi kebijaksanaan. Dia selalu dilindungi Allah dari bencana yang tak dapat ditanggung, atau perkara yang mengaibkan. Semuanya itu kerana pengorbanannya untuk agama Allah. Itulah perniagaan yang tak akan merugikan. Dia telah berkorban dengan diri dan hartanya, maka Allah pasti melihatnya dan membalasnya. Kita berusaha untuk menjadi orang seperti itu, menjadi umat Muhammad s.a.w. yang menyambung tugas para Rasul. Mari kita bangkit amalkan ajaran suci. Tak guna duduk membuang masa lagi. Gunakan tiap kesempatan untuk berbakti dan membuat kebaikan.
Umat akhir zaman ini tak dapat menatap wajah Rasulullah di dunia, tapi Baginda bersabda, "Di akhirat, engkau akan bersama orang yang engkau cintai." maksudnya kalau kita cinta Rasulullah, kita akan bersama baginda di syurga.
Selamat Hari Raya Aidil fitri, maaf zahir dan batin.