Thursday, September 16, 2010

Indahnya cinta.

Apabila kita Cinta kepada Allah, dan kita merasai Allah cinta kepada kita, itulah kebahagiaan sejati, hingga membuatkan kita memiliki segala-galanya. kita menjadi kaya, kita menjadi cukup segala-galanya.. cinta yang menafikan halangan jarak, fizikal, harta, atau kematian.
Bagaimana mendapatkannya? Perlulah kita selalu menginsafi diri, selalu solat dengan khusyuk, berzikir, selalu berdoa dengan penuh pengharapan, suka bersendirian mendekatkan diri pada Tuhan, selalu membaca dan tadabbur al Quran dan sentiasa berjihad melawan nafsu. Apabila Allah menyintai kita, kita juga dikasihi oleh semua makhluk yang baik-baik. Perhatikan hadith ini:
Sabda Rasulullah s.a.w. sebagaimana diriwayatkan oleh Abu Hurairah r.a. yang bermaksud:
"Jika Allah mencintai seorang hamba, maka Dia memanggil Jibrail seraya berfirman, "Sesungguhnya Aku mencintai si polan, maka cintailah dia." Jibrail pun mencintainya, kemudian menyeru di langit, "Sesungguhnya Allah mencintai si polan, maka cintailah dia." Maka penduduk langit mencintainya, kemudian dia mendapat penerimaan di dunia.
" Jika Dia membenci seorang hamba, maka dia memanggil Jibrail seraya berfirman, "Sesungguhnya aku membenci si polan, maka bencilah dia." Jibrail pun membencinya dan kemudian menyeru kepada penduduk langit, "Sesungguhnya Allah membenci si polan, maka bencilah dia," Maka mereka pun membencinya, kemudian ia dibenci di dunia. (Riwayat Bukhari dan Muslim).

Saturday, September 4, 2010

Hasan al Basri

Kata-kata Hasan:
1. janganlah kamu tinggalkan amalan agama kamu kerana takutkan musuh yang mengganggu kamu, bahkan mereka itu mengganggu Allah.
2. Akhir dunia dan awal akhirat ialah dalam kubur.

Satu ketika, Hasan dan beberapa orang pergi ke kaabah. Di tengah jalan sampai ke satu perigi, mereka semua dahaga tetapi tiada tali timba untuk mengambil air itu. Hasan berkata, "Saya hendak sembahyang, semasa saya sembahyang tuan tuan akan lihat air itu naik ke atas, tuan-tuan bolehlah minum air itu untuk hilangkan dahaga. " Perkara itu benar-benar berlaku. Tetapi ada seorang daripada mereka, setelah minum sepuas-puasnya, telah mengisi bekas airnya untuk kegunaan masa depan. Air itu pun dengan tidak semena-mena turun ke bawah semula. Apabila beliau bertanya peristiwa itu, Hasan menjawab,"Itu adalah kerana kurangnya imanmu untuk bertawakal bulat-bulat kepada Allah."

Pendapat Hasan:
1. Kambing itu lebih sedar daripada manusia kerana mengikut kata gembalanya. tetapi manusia itu tidak taat kepada perintah Tuhannya dan menurut sahaja kehendak iblis.
2. Kawan-kawan yang jahat merosakkan orang yang berjalan menuju Allah.
3. Mengumpulkan harta benda lebih buruk daripada minum arak yang mana adalah dilarang oleh al kitab.
Hasan ditanya: "Bagaimanakah kamu?"
beliau menjawab, "Saya adalah ibarat orang di tengah laut yang kehilangan perahu dan terapung-apung di dalam air".

Friday, September 3, 2010

Salam Ramadan, Salam Syawal....

Beberapa perkara bermain di fikiran sehari dua ini.. Elok rasanya diperuntukkan sedikit masa yg amat berharga ini menulis di blog saya yg agak lama terbiar ini.. Blogging bukanlah suatu yang merugikan, pada pendapat saya. Ia banyak memberi kepuasan, dan banyak membuka ruang untuk menguatkan jati diri, percambahan minda, berdakwah, berkongsi ilmu, memuhasabah diri, mengingatkan diri sendiri, merekodkan peristiwa dan menyimpan kenangan indah dalam hidup.
Ingin buat sesuatu yang bermakna dalam hidup? Ingin jadi insan yang passionate? ingin punya perasaan yang dalam terhadap sesuatu? Ingin menyintai sesuatu perkara? Ingin berbakti? Ingin berbudi kepada insan lain yang baik-baik yang sehaluan dengan kita? Inginkan hidup lebih ceria? Lakukan aktiviti yg sihat seperti menulis, mengajar, mendidik, memberi bimbingan atau apa saja hobi yang boleh masuk akal, atau kita boleh menulis blog. Mungkin dah beberapa lama anda ingin lakukannya tetapi selalu tergendala. Selalu seperti tiada waktu, atau selalu saja tertangguh. Nah inilah masanya.... Mulailah pekerjaan yang baik-baik itu yang anda suka lakukannya. Bagi saya dakwah boleh saja dilakukan melalui blog. Namun sebenarnya... hakikatnya, saya memperingatkan diri sendiri. Cuma mungkin rakan-rakan saya juga boleh mendapat faedahnya, jika diizin Yg Maha Kuasa, dan jika Dia menghendaki.
Sesuatu bermain di fikiran saya... Kita ini patut menyandarkan nasib kita pada apa? Pada amalan baik yang kita lakukan yang dijanjikan Tuhan balasan baik di dunia dan akhirat? Atau bukan amalan yang jadi sandaran kita, tapi pada belas kasihan Allah? kita nak selamat dengan sembahyang kita, atau dengan rahmat Allah? Saya mohon ampun pada Allah jika tersalah.. Ada satu cerita seorang hamba Allah ahli ibadah, banyak sekali solatnya.. dia ditanya dengan apakah dia dimasukkan ke syurga, dengan ibadahnya atau dengan rahmat Allah? Dia menjawab dengan ibadahnya.. Lalu ditimbang nikmat sebelah matanya, tetapi setelah ditimbang, solatnya yang amat banyak tidak dapat membalas nikmat sebelah matanya.. maka dia dicampakkan ke neraka.. lalu dia minta ampun dan mengakui rahmat Allah lah yang boleh menyelamatkannya dari siksaan api neraka. Barulah dia dimasukkan ke syurga. Kesimpulannya, kita tidak boleh sombong, takabbur, bongkak, meninggi diri, kerana bukan kita yang berkuasa mutlak, bukan kita ini kuat sangat, hebat sangat dibandingkan kuasa Allah. TETAPI.. Kita mesti taat perintah Allah kalau nak selamat. Jangan tinggal sembahyang, puasa dan lain-lain. Sebab Allah Maha Adil. Allah tidak zalim. pahala kita tidak dikurangi jika kita ikut suruhan Allah dan tidak berlaku zalim. Yang jadi masalah, kita solat tapi kita berlaku zalim.. termasuk dalam zalim ialah kita menyakiti orang lain, kita menyusahkan orang lain, kita tidak tunaikan hak orang lain, kita tidak amanah dan termasuk juga zalim ialah kita merosakkan diri sendiri dengan segala macam kerosakan.
Seperkara lagi, syurga neraka destinasi kita nanti itu adalah hak Allah. Hak penuh Allah. Ada Hadith dalam kitab Hadith Empat Puluh ( susunan imam Nawawi) terjemahannya: Dari Abu Abd al Rahman Abdullah bin Mas'ud r.a. katanya: Telah menceritakan kepada kami oleh Rasulullah s.a.w. dan ia benar lagi dibenarkan, sesungguhnya salah seorang kamu dikumpulkan kejadiannya dalam perut ibunya selama 40 hari air mani, kemudian menjadi segumpal darah seperti yg demikian itu, kemudian jadi seketul daging seperti yang demikian itu juga, iaitu 40 hari, kemudian diutuskan kepadanya malaikat lalu ditiupkan roh padanya dan diperintahkannya menulis empat kalimat, iaitu rezekinya dan umurnya dan amalnya dan celakanya atau bahagianya. Maka demi Allah yang tidak ada Tuhan selainNya, sesungguhnya salah seorang kamu mengerjakan dengan amal ahli syurga sehingga tidak ada jarak antaranya dan antara syurga melainkan sehasta, kemudian terdahulu atasnya ketentuan tulisan lalu ia pun mengerjakan amal ahli neraka, maka masuklah ia ke dalamnya. Dan sesungguhnya salah seorang kamu mengerjakan amal ahli neraka sehingga tidak ada jarak antaranya dan antara neraka melainkan sehasta. Kemudian terdahulu atasnya tulisan lalu ia pun mengerjakan amal ahli syurga , maka masuklah ia ke dalamnya (Di riwayatkan oleh Bukhari dan Muslim). Hadith ini menunjukkan kuasa mutlak Allah. Juga mengingatkan kita supaya selalu bersyukur dan mohon hidayah. Selalu lah mohon rahmat dan kasih sayang Nya.