Monday, November 23, 2009

Keutamaan menolong sesama muslimin

Rasulullah s.a.w. bersabda :

" Barang siapa berjalan hendak menolong saudaranya dan memberikan jasa padanya, maka untuknya pahala orang-orang yang berjihad di jalan Allah."

(Rujukan: Majalah Hidayah, Oktober 2008)

Sunday, November 22, 2009

Dahaga

Dahaga rindu
tidak terperi-peri
ingin berjumpa dengan Mu
pujaan hati
Dahaga rindu
tiap siang dan malam
bermunajat mengadu
mohon ampunan
Dikau kekasih
awal dan akhir
Dikau kekasih
batin dan zahir

Kepulangan

Bila Kekasih
mengundang aku pulang
terubat rindu
tersingkap tabir rahsia
bila Kekasih menjemputku kembali
tiada yang lebih indah
dari yang terindah
bukan balasan lain yang lebih diingini
selain penerimaanMu kekasih
dapatkah aku
menerima undanganMu
dengan sedia
Dunia ini ladang untuk akhirat
bawalah daku pergi
suatu masa nanti
dengan bekalan amalan soleh
dengan iringan doa anak-anak soleh
pergi menemuiMu sebagai pejuang agama
kan ku nantikan saat itu
penuh asyik dalam cinta Mu.

Friday, November 20, 2009

Tibalah hari terakhir

Hari ini hari terakhir sesi persekolahan 2009. Syukur pada Allah dapat daku jumpa hari terakhir persekolahan 2009 dalam keadaan tenang, gembira penuh kesyukuran. Antara yang didapati tahun ini:

1. Perjuangan agama akan membantu setiap aspek kehidupan kita, memberi ketenangan dalam jiwa dan memberi kekuatan kepada kita.

2. Manusia dan makhluk lain ada perasaan, emosi, dan sanubari. Kita boleh memenangi hati orang dengan meminta pada yang mencipta hati itu, yang memiliki hati itu, yang mengawal hati itu.

3. Dalam dunia pekerjaan, kita harus ikhlas melakukan tugas. Walaupun tugas kita tidak sempurna (zat Allah sahaja yang sempurna), kita akan merasai kepuasan kerja. Kita bekerja kerana Allah, untuk agama Allah, mencari nafkah untuk diri dan keluarga. Dengan pendapatan kita yang halal, kita dapat buat banyak kebaikan. kita dapat beribadah dan berdakwah. Kita dapat infak, berzakat dan bersedekah. Kita boleh berjihad. Semuanya ikhlas kerana Allah. Untuk kepentingan Islam, kita sanggup berjihad.

4. Dunia ini kecil, memang kecil. Kita boleh kelilingi dalam beberapa jam. Internet menjadikan perhubungan lebih mudah. Tapi bayangkan sistem cakerawala, galaksi, bima sakti. Apa yang ada di atas sana, di luar atmosfera. Fikirkan kekuasaan Allah. Kita akan merasakan kebesaran kekuasaan Allah. Dan sememangnya manusia ini kerdil, kecil, tak kira pangkat apa pun mereka. Yang kuasa hanyalah Allah. Pangkat, harta dan wang tiadalah erti apa-apa kalau tidak digunakan untuk perjuangan agama Allah.

Wednesday, November 18, 2009

Nak buat maksiat? Fikir ini dulu.

Seorang lelaki datang kepada Ibrahim ibn Adham. Orang itu berkata kepada Ibrahim, "Aku adalah orang yang menyakiti diriku sendiri.Tunjukkan daku perkara yang boleh membuatku serik. " Ibrahim menasihatinya "Jika kamu melakukan lima perkara ini, kamu tidak akan termasuk orang-orang yang melakukan maksiat. Pertama, jika kamu ingin berbuat maksiat kepada Allah, janganlah kamu memakan sesuatu pun dari rezeki Nya. Kedua, jika kamu ingin berbuat maksiat kepada Allah, janganlah kamu tinggal di negeri Nya. Ketiga, jika kamu ingin berbuat maksiat kepada Allah, maka carilah satu tempat yang Allah tidak melihatmu. Keempat, jika datang malaikat maut untuk mencabut nyawamu maka katakan padanya "Tundalah hingga batas waktu tertentu!" Kelima, bila datang padamu malaikat Zabaniyyah iaitu penjaga neraka jahannam untuk menyeretmu ke neraka jahannam janganlah kamu pergi bersama mereka." Orang itu akhirnya tekun beribadah hingga akhir hayatnya.

Thursday, November 12, 2009

Tentang kehidupan ini

Dari Zaid bin Tsabit r.a. dia berkata: “Saya mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda:
Ertinya, “Barangsiapa yang menjadikan dunia sebagai pusat perhatiannya, nescaya Allah s.w.t. akan mencerai beraikan (menyusahkan) urusannya dan menjadikan kefakirannya di hadapan kedua-dua matanya . Ia tidak akan memperoleh dari dunia, kecuali apa yang telah ditetapkan baginya. Barangsiapa yang menjadikan negeri akhirat sebagai tujuannya, maka Allah s.w.t. akan menghimpunkan (memudahkan) urusannya dan menjadikan kekayaannya dalam kalbunya, dan dunia pun akan datang padanya dengan mudah.”

Hadith Rasulullah s.a.w. menyebutkan,
“Yang aku suka dari urusan dunia kamu ialah wangian, wanita dan dijadikan kesejukan hatiku bila berada dalam solat.”

Bertawakkal kepada Allah

Firman Allah, ertinya:
“Katakanlah: ‘Allah s.w.t yang menyelamatkan kamu dari bencana itu dan dari segala macam kesusahan lainnya…. ”
(Al-an’am:64)
“Bukankah Allah s.w.t. cukup untuk melindungi hamba-hambanya?”
(Az-Zumar:36)
“Bukankah Dia mendapatimu sebagai seorang yatim, lalu Dia melindungimu. Dan Dia mendapatimu sebagai seorang yang bingung, lalu Dia memberikan petunjuk. Dan Dia mendapatimu sebagai seorang yang kekurangan, lalu Dia memberikan kecukupan.”
(Adh-Dhuha :6-8)

Sabda Rasulullah s.a.w.:
“Kenalilah Allah s.w.t. saat senang, maka Dia akan mengenalimu saat susah.”

Sunday, November 8, 2009

Peringatan dari Nabi

Rasulullah s.a.w. bersabda:
1. "Jangan kau sia-siakan hidupmu dengan berabdi kepada dunia."

2. "Barang siapa membuat Allah redha namun orang-orang tidak menerima, maka Allah akan redha kepadanya dan akan menjadikan orang-orang itu redha kepadanya. Dan barangsiapa membuat Allah tidak menerima namun orang-orang redha kepadanya, maka Allah akan tidak menerimanya dan membuat orang-orang itu tidak menerimanya."

3. "Siapa makan daging saudaranya di dunia (mengumpat), kepadanya diberikan dagingnya di hari kiamat dan dikatakan, makanlah bangkai itu. Sesungguhnya engkau telah memakannya waktu kamu hidup."

4. "Sesungguhnya kebaikan itu dapat menghapuskan keburukan bagai air menghapuskan kotoran."

5. "Hadiah orang mukmin di dunia adalah kefakiran."

6. "Sedekah itu dapat menghapuskan kesalahan (dosa) sebagaimana air memadamkan api. Wahai Kaab bin Ujrah, sungguh tidak akan masuk syurga daging dan darah yang tumbuh atas usaha haram. Neraka lebih patut untuknya. Wahai Kaab bin Ujrah, manusia di waktu pagi terbahagi dua. Ada yang memerdekakan dirinya dan ada pula yang membinasakannya. Wahai Kaab bin Ujrah, solat itu amal yang mendekatkan diri kepada Allah, puasa sebagai perlindungan dan sedekah menghapuskan dosa sebagaimana air memadamkan api. "

7. "Kunci syurga itu solat."

8. "Kemuliaan seorang mukmin berada dalam watak kayanya dari manusia. Maka dalam sifat qanaahnya, terletak kemerdekaan dan kemuliaan."

Kesemua hadis di atas tercatat dalam Majalah HIDAYAH , edisi Januari 2009.

Friday, November 6, 2009

Semangat Jihad dan kesannya.

Jihad datang hanya dari dalam diri. Semangat jihad tidak datang kepada orang yang mati hatinya. Jihad amat perlu dan satu kemestian bagi orang yang mahu selamat dunia dan akhirat. Bagaimana dia boleh selamat jika tidak melawan unsur-unsur jahat yang merosakkan jiwanya, yang mengajak kepada kelalaian dan kemusnahan. Bagaimana dia ingin jadi insan soleh jika duduk diam tidak berusaha menegakkan Islam dalam diri, keluarga dan masyarakat. Itu angan-angan kosong namanya, akibatnya menanggung rugi dan kemurkaan Allah.
Apa maksud jihad? Baling bom? Letupkan diri? Jihad bermaksud segala usaha yang dilakukan dengan sepenuh daya dan tenaga untuk mencapai matlamat dan cita-cita mulia iaitu menegakkan dan mempertahankan Islam pada diri sendiri, keluarga dan masyarakat serta mendapatkan keampunan, rahmat dan keredhaan Allah taala. Jihad sejati adalah jihad kerana Allah. Kesannya mendekatkan kita kepada rahmat Allah, kita mendapat keredhaan Nya. Firman Allah dalam surah Al Hujurat ayat 15 maksudnya, "sesungguhnya orang-orang yang sebenar-benarnya beriman hanyalah orang-orang yang percaya kepada Allah dan rasul Nya, kemudian mereka (terus percaya dengan)tidak ragu-ragu lagi, serta mereka berjuang dengan harta benda mereka dan jiwa mereka pada jalan Allah, mereka itulah orang-orang yang benar (pengakuan imannya). "

Jihad yang dimaksudkan ialah:

1. Jihad melawan hawa nafsu. (Ini disebut Rasulullah sebagai jihad Akbar - yang besar).
2. jihad melawan kejahatan dengan hati
3. Jihad dengan kata-kata dan penulisan.
4. Jihad dengan ilmu
5. Jihad dengan harta
6. Jihad dengan diri (diri sendiri melaksana tuntutan jihad)

Tinggalkan perkara yang merosakkan dan sia-sia. Jauhi perkara yang melalaikan. Itulah jihad yang utama. Mudah-mudahan Allah meredhai usaha kita. Tiada daya upaya melainkan dengan Allah.