Saturday, October 31, 2009

Selamat Hari Ulang Tahun

Hari ini wedding anniversary, hari ulangtahun perkahwinanku dengan Zarinah. Bahagia sekali hari ini.. terasa saat paling bahagia Hari Perkahwinan yang telah berlalu 15 tahun lalu datang kembali... Alhamdulillah syukur pada Allah rumahtangga kami semakin bahagia. Semuanya adalah rahmat Allah Taala jua, yang perlu disyukuri dan dijaga. Tiada yang lebih bermakna dari kembali merasai kemanisan iman dalam keluarga sakinah. Ya Allah sampaikan salam dan selawatku pada junjungan kami Muhammad s.a.w. dan keluarganya yang mulia.

CIRI CIRI MUHSININ

Firman Allah Taala, ertinya: "Dan sesiapa yang berserah diri bulat-bulat kepada Allah (dengan ikhlas) sedang dia berusaha mengerjakan kebaikan, maka sesungguhnya ia telah berpegang kepada simpulan (tali agama) yang teguh.Hanya kepada Allah kesudahan segala urusan." (Surah Luqman:22). Ihsan ialah yang tertinggi dari iman, dan muhsinin itu ialah orang yang berusaha memperbaiki amalannya dengan penuh keikhlasan. Dalam kitab Akhlak, Sekolah Agama Johor, cetakan 1998, dinyatakan: Ciri-ciri muhsinin antaranya ialah: 1. bertakwa kepada Allah, 2. melakukan solat malam, solat tahajjud dan sebagainya, 3. sentiasa memohon keampunan dari Allah, 4. menggunakan sebahagian dari hartanya untuk membantu orang miskin dan orang yang memerlukan, 5. berjihad pada jalan Allah dengan harta dan jiwa, 6. berpegang teguh pada ajaran Islam. 7. pemaaf.

Wednesday, October 21, 2009

Mohon Hidayah

Kita tetap akan sesat jika tidak mendapat hidayah (petunjuk) dari Allah. Semua manusia yang tidak beriman dan beramal dengan satu-satunya agama yang benar, iaitu Islam, selagi dia tidak mahu beriman selagi itu dia dalam kesesatan. Bagi mereka yang dilahirkan dan dibesarkan dalam keluarga Islam juga tidak semestinya secara otomatik selamat dari kesesatan. Orang yang mati sebagai orang yang sesat adalah orang yang malang. Orang yang kehidupannya pada mulanya baik, tetapi akhir hidupnya dia dimurkai Allah, imannya entah ke mana, dia juga orang yang malang. Semua golongan malang ini akan menerima azab (siksaan) Allah di akhirat. Orang bukan Islam yang telah mendapat petunjuk (hidayah) hendaklah segera masuk Islam. Orang Islam yang ahli maksiat, sentiasa dalam berbuat dosa-dosa yang besar, yang meninggalkan perkara yang diwajibkan, hendaklah segera bertaubat nasuha. Hendaklah dia kembali kepada jalan yang terang, jalan yang benar, jalan selamat, jalan lurus dan bersih. Tinggalkan lorong-lorong gelap menuju ke neraka yang pasti menanti golongan yang sesat. Apabila sembahyang minta betul-betul agar Allah beri kita hidayah. Agar kita dipimpin Nya. Agar kita tahu mana yang salah mana yang betul. Agar kita ada kekuatan memilih jalan yang benar, melaksana suruhan Allah, dan meninggalkan larangan Allah. Jika Allah mengilhamkan di hati kita untuk bertaubat (berhenti dari maksiat dan dosa) itu tandanya Allah tidak mahu mengazab kita (menyiksa kita). Kalau Allah beri balasan di dunia berupa ketakutan, kelaparan, kemiskinan, kesusahan, penyakit, mungkin itu tandanya Allah mahu membersihkan dosa kita kerana musibah itu membuatkan kita insaf (dan bertaubat nasuha). Jika kita telah sedar, maka bertaubatlah dan kerjakanlah kebaikan. Pohonlah hidayah. Pohonlah kekuatan. Gunakan pelbagai cara atau terapi mengatasi masalah, seperti terapi istighfar dan terapi sedekah. Insya Allah kehidupan kita akan lebih bermakna. Setiap hari menjadi indah. Setiap hari amat membahagiakan, apa lagi kalau ada rumahtangga yang bahagia, kalau ada keluarga sakinah. Mohonlah.

Thursday, October 8, 2009

SELAWAT FATIH

Maksud Selawat Fatih dalam Bahasa Melayunya: Ya Allah rahmatilah ke atas penghulu kami Muhammad yang membuka apa yang tertutup dan yang penyudah bagi kami apa yang telah lalu dan yang menolong kebenaran dengan kebenaran dan yang menunjuk jalan Engkau yang lurus dan atas ahlinya dan sahabatnya mempunyai nilai kedudukan yang tinggi lagi agung. HURAIAN SELAWAT FATIH:  Ustaz Haji Ahmad Tunggal, Pengerusi Jamaah Wirid Khaujakan Johor, menulis dalam bukunya "Amalan Kecemerlangan Rohani" (1993) seperti berikut: Yang membuka apa yang tertutup - Dunia ini asalnya tidak ada dan masih tertutup. Maka dijadikan dunia ini adalah disebabkan wujudnya Nabi Muhammad s.a.w. Kalaulah tidak ada Nabi Muhammad s.a.w. tidaklah akan wujud dunia ini. Allah menjadikan Nabi Muhammad s.a.w. sebagai rahmat bagi sekalian alam. Rahmat dan kenabian bagi sekalian makhluk termasuk manusia, jin dan binatang. Hati manusia juga pada mulanya tertutup dengan syirik, tertutup dengan kezaliman dan kejahilan. Iman, Islam dan akhlak tertutup, semuanya itu dibuka oleh Nabi Muhammad s.a.w. dengan dakwah yang berpandukan kitab Al Quran. Terbukalah kebenaran akidah dan syariat Islam, terbukalah akhlak dan budi pekerti yang luhur, terbukalah keadilan sosial dan terbukalah sebuah negara Islam yang dipimpin oleh Nabi Muhammad s.a.w. yang membuka apa yang tertutup.Dan penyudah apa yang telah lalu- Tidak ada Nabi lagi sesudah Nabi Muhammad s.a.w. Juga sebagai penutup berlakunya peristiwa Israk dan Mikraj  dan penutup kitab suci Al Quran. Dan yang menolong kebenaran dengan kebenaran - Pertolongan Nabi Muhammad s.a.w. yang benar ialah Al Quran. Di dalamnya mengandungi segala kelengkapan termasuk akidah, syariat, akhlak, ibadat, bermasyarakat bernegara, falsafah dan mistik. Manusia tidak akan mengetahui kebenaran tersebut tanpa pertolongan Nabi. Dan yang menunjukkan jalan Engkau yang lurus - lalu yang ditunjukkan oleh Nabi adalah jalan yang lurus, betul dan tegak. Ertinya jalan yang lurus itu adalah ialah jalan Islam, jalan selamat sejahtera dan bahagia. Mustakim selain dari makna lurus boleh diertikan yang tetap dan teguh pendirian dalam melaksanakan perintah Allah. Selain dari Nabi penolong kebenaran ia juga memimpin. Memipin ke jalan yang lurus sejahtera dan selamat. KELEBIHAN SELAWAT FATIH: Sebagaimana dijelaskan oleh Ustaz Ahmad Tunggal, tersebut dalam kitab Sair Al Salikin juzuk 1 menyatakan bahawa selawat Fatih juga selawat bagi Sheikh Abdul Kadir Jailani r.a. Di antara kelebihannya yang tersebut dalam kitab Sair Al Salikin oleh Abdul Samad Al Falambani: telah menyebut oleh kebanyakan daripada arifin bahawasanya selawat ini bagi membukakan asrar (rahsia) dan yang ajaib, yang terhairan oleh akal sesiapa yang dapat membacanya tiap-tiap hari seratus kali nescaya terbuka baginya daripada segala hijab dan hasil baginya daripada anwar dan menunaikan segala hajat barang yang tiada mengetahui kadarnya melainkan Allah Taala.Oleh itu marilah kita amalkan membaca selawat fatih ini. Anda boleh jumpa selawat ini dalam mana-mana kitab himpunan selawat, atau kitab wirid dan doa atau buku-buku panduan beramal yang lainnya. Saya belum dapat menggunakan blog ini untuk menulis huruf jawi atau arab. Insya Allah saya usahakan.

Wednesday, October 7, 2009

HARIZ ZIKRI

Indah namamu
ditakdirkan Yang Esa
selembut sutera
seindah pelangi
bermaksud
Pemelihara Ingatanku (Pada-Nya)
dan bererti
Pemelihara Zikirku,
anakku ini
pada umur yang kecil ini
sudah mengerti kebesaran Ilahi
sudah mengenal kasih Tuhan
moga dikau
membesar dalam kesejahteraan
dalam pimpinan dan kasih sayang Allah
Ayah doakan.

Monday, October 5, 2009

Kehidupan Yang Bahagia

Rasulullah s.a.w. hidup bahagia bersama isteri-isteri baginda. Bukan sahaja isteri-isteri Rasulullah muliakan baginda, malah Rasulullah juga menyayangi dan menghormati isteri-isterinya. Satu contoh ialah kisah romantis perkahwinan Rasulullah dengan Shafiyah. Menurut riwayat Imam Ahmad: Rasulullah s.a.w. menawarkan pilihan kepada Shafiyah : Apakah ingin dibebaskan dan menjadi isteri baginda, atau dikirim kembali kepada keluarganya. Kemudian Shafiyah memilih hidup sebagai isteri Rasulullah. Maka Rasulullah s.a.w. pun menjadikan pembebasannya itu sebagai emas kahwinnya. Sewaktu Rasulullah balik dari peperangan dan penaklukan Khaibar, dalam perjalanan pulang ke Madinah, Rasulullah memerintahkan rombongan baginda berehat di suatu tempat. Rasulullah menyatakan hasrat melangsungkan perkahwinannya dengan Shafiyah di situ namun Shafiyah menolaknya. Kemudian perjalanan diteruskan, hingga ke Asshahba, lebih kurang 16 batu dari Khaibar. Shafiyah bersetuju perkahwinan berlangsung di situ. Setelah siap sedia segalanya, dan setelah Ummu Salamah selesai tugasnya (sebagaimana diminta oleh Rasulullah) menjadi juru rias, Rasulullah menghampiri Shafiyah, lalu Shafiyah bangun menyambut baginda dengan hati dan wajah berseri-seri. Rasulullah bertanya: "Mengapa engkau menolak pada perhentian sebelum ini, untuk melansungkan pernikahan ini?" Shafiyah menjawab : " Saya khuatir keselamatanmu dari kaum Yahudi, kerana tempat itu terlalu dekat dengan perkampungan mereka". Ketika itu Shafiyah baru berumur 17 tahun. Begitulah suami isteri, ada tolak ansur, ada toleransi, sayang menyayangi penuh kemesraan. Hendaknya kita mencontohi kehidupan Rasulullah s.a.w. yang kita cintai. Saya telah merujuk kepada Buku "Suami Teladan, Rumah Idaman, Syurga Impian" karangan Mohd. Isa Selamat: Darul Nu'man, Kuala Lumpur 1994.
Kepada anda, boleh juga rujuk buku "Isteri Teladan, Rumah Idaman Syurga Impian" Habsah Md Nor 1994 (penerbit yang sama). Kedua-dua buku ini saya cadangkan anda memiliki dan membacanya.