Friday, October 15, 2010

Maksud Ayat-ayat Al Quran Penawar Jiwa

1) Al Ankabut: 2 -3. " Apakah manusia mengira bahawa mereka akan dibiarkan hanya dengan mengatakan "kami telah beriman," dan mereka tidak diuji?. Dan sungguh. Kami telah menguji orang-orang sebelum mereka, maka Allah pasti mengetahui orang-orang yang benar dan pasti mengetahui orang-orang yang dusta."

2) Al Baqarah : 216. " Diwajibkan atas kamu berperang, padahal itu tidak menyenangkan bagimu. Tetapi boleh jadi kamu tidak menyenangi sesuatu padahal itu baik bagimu, dan boleh jadi kamu menyukai sesuatu, padahal itu tidak baik bagimu. Allah mengetahui sedang kamu tidak mengetahui."

3) Al Baqarah : 286. " Allah tidak membebani seseorang melainkan sesuai dengan kesanggupannya. (hingga akhir ayat).."

4) Ali Imran : 139. " Dan janganlah kamu (merasa) lemah dan jangan (pula) bersedih hati, sebab kamu paling tinggi (darjatnya) jika kamu orang beriman. "

5) Ali Imran : 200. "Wahai orang-orang yang beriman !Bersabarlah kamu dan kuatkanlah kesabaranmu dan tetaplah bersiap siaga (di perbatasan negerimu) dan bertakwalah kepada Allah agar kamu beruntung."

6) Al Baqarah : 45. " Dan mohonlah pertolongan (kepada Allah) dengan sabar dan solat. Dan solat itu sungguh berat kecuali bagi orang-orang yang khusyuk."

7) At Taubah : 111. " Sesungguhnya Allah membeli dari orang-orang mukmin, baik diri mahupun harta mereka dengan memberikan syurga untuk mereka. (hingga akhir ayat..)"

Thursday, October 14, 2010

Penawar Jiwa

Hidup ini penuh dengan cubaan dan ujian. Kadangkala kita berduka lara. Kita berdukacita. Kita menerima ujian yang berat. Dunia terasa sempit. Bagai tidak nampak jalan keluar. Pandangan kabur. Hidup berendam air mata. Bagaimana mencari jalan keluar? Bagaimana kita boleh kuatkan semangat? Bagaimana kita akan bersabar dan redha? Adakah bantuan akan tiba... Sabar.. Redha.. itulah jawapan yang pertama dan utama. Dapatkan pertolongan dengan sabar dan solat.

Berikut ialah Ayat-ayat Al Quran yang boleh membantu kita bersabar dan redha.. serta bertawakal kepada Allah di samping berusaha sesuai dengan syariat Allah. Fikirkanlah maksud ayat-ayat ini, insya Allah hati menjadi damai..

1. Surah al Ankabut, ayat 2 - 3.
2. Surah al Baqarah, ayat 216
3. Surah al Baqarah, ayat 286
4. Surah Ali Imran, ayat 139,
5. Surah Ali Imran, ayat 200
6. Surah al Baqarah, ayat 45
7. surah at taubah, ayat 111

Kita sama-sama renungkan firman Allah ini. Insya Allah kita jumpa penawar jiwa.

Tuesday, October 12, 2010

Mimpi Rasulullah SAW tentang umatnya

Daripada Abdul Rahman bin Samurah ra berkata, Nabi Muhammad SAW bersabda: "Sesungguhnya aku telah mengalami mimpi-mimpi yang menakjubkan pada malam aku sebelum di israqkan..."

1. Aku telah melihat seorang dari umatku telah didatangi oleh malaikatul maut dengan keadaan yang amat menggerunkan untuk mengambil nyawanya, maka malaikat itu terhalang perbuatannya itu disebabkan oleh ketaatan dan kepatuhannya kepada kedua ibu bapanya.

2. Aku melihat seorang dari umatku telah disediakan azab kubur yang amat menyiksakan, diselamatkan oleh berkat wuduknya yang sempurna.

3. Aku melihat seorang dari umatku sedang dikerumuni oleh syaitan-syaitan dan iblis-iblis laknatullah, maka ia diselamatkan dengan berkat zikirnya yang tulus ikhlas kepada Allah.

4. Aku melihat bagaimana umatku diseret dengan rantai yang diperbuat daripada api neraka jahanam yang dimasukkan dari mulut dan dikeluarkan rantai tersebut ke duburnya oleh malaikat Ahzab, tetapi solatnya yang khusyuk dan tidak menunjuk-nunjuk telah melepaskannya dari seksaan itu.

5. Aku melihat umatku ditimpa dahaga yang amat berat, setiap kali dia mendatangi satu telaga dihalang dari meminumnya , ketika itu datanglah pahala puasanya yang ikhlas kepada Allah swt memberi minum hingga ia merasa puas.

6 Aku melihat umatku cuba untuk mendekati kumpulan para nabi yang sedang duduk berkumpulan-kumpulan, setiap kali dia datang dia akan diusir, maka menjelmalah mandi junub dengan rukun yang sempurnanya sambil ke kumpulanku seraya duduk di sebelahku.

7. Aku melihat seorang dari umatku berada di dalam keadaan gelap gelita di sekelilingnya sedangkan dia sendiri di dalam keadaan bingung, maka datanglah pahala haji dan umrahnya yang ikhlas kepada Allah swt lalu mengeluarkannya dari kegelapan kepada tempat yang terang benderang.

8. Aku melihat umatku cuba berbicara dengan golongan orang mukmin tetapi mereka tidak pun membalas bicaranya, maka menjelmalah sifat silaturrahimnya dan tidak suka bermusuh-musuhan sesama umatku, lalu menyeru kepada mereka agar menyambut bicaranya, lalu berbicara mereka dengannya.

9. Aku melihat umatku sedang menepis-nepis percikan api ke mukanya, maka segeralah menjelma pahala sedekahnya yang ikhlas kerana Allah swt lalu menabir muka dan kepalanya dari bahaya api tersebut.
WALLAHU A'LAM

Monday, October 11, 2010

Tabiat ketawa dan menangis.

10 jenis tangisan manusia menurut ibnu Qayyim:
1. menangis kerana kasih sayang kelembutan hati
2. menangis kerana rasa takut
3. menangis kerana cinta
4. menangis kerana gembira
5. menangis kerana menghadapi penderitaan
6. menangis kerana terlalu sedih
7. menangis kerana rasa hina dan lemah
8. menangis untuk mendapat belas kasihan orang.
9. menangis kerana mengikut-ngikut orang menangis
10. menangis orang munafik (pura-pura menangis)

Tangisan menginsafi dosa adalah terpuji. Tangisan takut akan azab Allah juga dipuji. Tangisan kerinduan seorang hamba Allah kepada Tuhannya adalah sangat indah. Tangisan taubat dapat mengharamkan tubuh dari api neraka jika Allah terima taubat itu. Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud : "Tidaklah mata seseorang menitiskan air mata kecuali Allah akan mengharamkan tubuhnya dari api neraka. Dan apabila air matanya mengalir ke pipi, maka wajahnya tidak akan dikotori oleh debu kehinaan, apabila seorang daripada suatu kaum menangis, maka kaum itu akan dirahmati. Tidaklah ada sesuatu pun yang tidak mempunyai kadar dan balasan kecuali air mata. Sesungguhnya air mata dapat memadamkan lautan api neraka". (Hadis ini tercatat dalam "Senyum dan Tangis Rasulullah s.a.w." susunan Hidayatullah Mohd. Syarif Aziz, cetakan kedua 2006: ms 65).

Sebaik-baiknya kita ini biarlah banyak menangis kerana Allah dan sedikit ketawa. Ketawa berlebihan tak elok, betul tak? Ketawa berlebihan tanda lalai dan jahil. Ketawa seorang ilmuwan (atau ulama) akan hilang ilmunya, hilang wibawanya, turun martabatnya jika ketawa berlebihan. Ketawa seorang jahil akan bertambah keras hatinya, perasaannya. Elok ingat Allah sentiasa. Bukan tak boleh bersuka ria boleh. Nabi pun ada masa bergurau dan berjenaka, tapi jenaka nabi jenaka yang benar bukan yang tak benar. Berbalik kepada menangis, sesorang itu otomatik akan berasa hiba jika dia mengenang betapa baiknya Allah terhadap dirinya dan orang-orang yang disayanginya. Betapa banyak nikmat Allah pada kita.. betapa banyak Allah melepaskan kita dari kesusahan.. betapa banyak pula dosa telah kita lakukan.. betapa banyak rezeki Allah telah kurniakan kepada kita.. betapa dalamnya cinta kasih sayang Allah kepada kita... Hanya yang merasai dapat mengerti.
Rasulullah s.a.w. bersabda: "Jika kamu tahu apa yang aku tahu, nescaya kamu banyak menangis dan sedikit ketawa." Sabda baginda lagi:" Siapa yang berbuat dosa dalam ketawa akan dicampakkan ke neraka dalam keadaan menangis." Marilah kita insafi perkara ini. Janji Tuhan itu pasti, kerana sesungguhnya Allah tidak memungkiri janji.

Saturday, October 9, 2010

Cinta dunia menguasai hati.

Solat itu adalah ibadah paling utama.. solat mendekatkan diri kepada Tuhan. Solat ubat hati, penawar jiwa.. Solat penghibur hati, penyejuk fikiran. Solat membawa kita ke lembah kedamaian. solat pembuka pintu cinta abadi. Tiada yang lain yang lebih membahagiakan daripada solat yang khusyuk penuh ikhlas. Jangan solat kerana rasa terpaksa, jiwa takkan tenang kita kan berdosa.
Seringkali manusia melepaskan peluang mengalami perjalanan rohani yang tinggi nilainya melalui solat. Insan tidak mahu berkomunikasi dengan Tuhannya di dalam solat, langsung tidak memberi perhatian akan apa yang diucapkannya kepada Tuhannya. Selepas solat baru menyesal dan mahu berdoa. Sayang sekali peluang dilepaskan begitu saja kerana fikiran terlalu asyik hal duniawi. Sedangkan ada yang lebih utama, tidak diutamakan. Firman Allah, maksudnya "Hai orang-orang yang beriman janganlah harta-hartamu dan anak-anakmu melalaikan kamu dari mengingat Allah. Siapa yang berbuat demikian, maka mereka itulah orang-orang yang rugi. " (Surah Al Munafiquun: 9).
Dunia ini tempat ujian.. dunia menghiburkan, dunia juga menjadi cubaan ujian kesabaran.. Ramai hanyut kerana kesenangan duniawi. Apakah nilai dunia di sisi Allah s.w.t? "Rasulullah SAW berjalan-jalan di pasar di kelilingi oleh para sahabat. Kemudian beliau melewati bangkai seekor anak kambing yang telinganya kecil. Lalu beliau memegang telinga anak kambing itu, seraya bertanya:" Siapakah di antara kalian yang mahu membeli bangkai ini seharga satu dirham?" Para sahabat menjawab, "Wahai Rasulullah, tidak ada dari kami yang menyukainya, buat apakah bangkai itu?" Beliau bertanya lagi "Apakah kalian mahu, jika bangkai ini diberikan kepada kalian secara percuma?" Mereka menjawab, " Demi Allah, seandainya binatang itu hidup pun cacat, apalagi telah menjadi bangkai?" Lalu. Nabi SAW bersabda, "Demi Allah, sesungguhnya dunia ini lebih hina dalam pandangan Allah, melebihi hinanya bangkai ini dalam pandangan kalian. " (Hadis riwayat Bukhari)