Saturday, February 27, 2010

GURU AHLUT-TAQWA

Ahlut-Taqwa bermaksud orang yang kepercayaan, pemikiran, sikap, pegangan dan tindakannya sentiasa berpandukan perintah dan larangan Allah, dengan iltizam untuk mentaati perintah dan menghindari larangan itu, sekali gus mengikut sunnah rasul-Nya. Orang yang bertaqwa tidak hanya mempunyai kesediaan untuk mempercayai sesuatu yang nyata, yang dapat dikesan oleh panca indera serta dapat dibuktikan secara emfirikal; bahkan ia semestinya mempunyai kesediaan untuk mempercayai kewujudan hal-hal yang tersembunyi, yakni yang ghaib dan tidak dapat dikesan oleh panca indera. Antaranya, yang sama sekali tidak dapat dinafikan ialah kuasa teragung atau maha kuasa, iaitu Allah Subhanahu Wa Ta'ala.



Dengan penjelasan di atas maka Guru Ahlut-Taqwa bermaksud pengamal profesyen keguruan yang mempunyai sekurang-kurangnya empat ciri sahsiah yang utama:

1. Ia mempunyai iltizam atau keazaman yang kental untuk meletakkan Allah di atas segala yang lain.

2. Ia mempunyai kegigihan untuk terus-menerus mempelajari segala perintah dan larangan Allah, serta mencari hikmah dan mengambil iktibar dan apa sahaja peristiwa alamiah, yakni yang berlaku di alammi, dan peristiwa insaniah, yakni yang melibatkan manusia, untuk dijadikan landasan pemikiran dan tindakan dalam kerjayanya.

3. Ia mempunyai kefahaman yang jitu tentang matlamat pendidikan dalam setiap pengajaran dan sentiasa berusaha mencapainya hingga ke tahap maksimum.

4. Dalam melaksanakan tugas untuk mencapai matlamat pendidikan, ia mempunyai kebijaksanaan untuk memilih strategi yang terbaik.

Sumber: Kementerian Pelajaran Brunei - Tema Hari Guru

Sunday, February 21, 2010

Takwa dan Kecemerlangan dalam Perguruan

Guru merupakan kumpulan pendidik yang diamanatkan serangkai aktiviti mengajar, mengawas, membimbing, melatih, menilai dan lain-lain. Dengan niat dan hasrat untuk menuju kepada matlamat untuk membina warga muda sehingga menjadi insan dewasa yang mampu memenuhi aspirasi bangsa. Keunggulan Islam itu terletak di dalam beberapa perkara, satu daripadanya ialah ihsan, iaitu melakukan sesuatu aktiviti dengan penuh kesedaran bahawa Allah ada di hadapannya, sentiasa memerhatikan segala tindak-tanduknya walaupun tidak dapat dilihat dengan mata. Tidak sahaja perbuatan lahiriah, bahkan pemikiran yang masih herada di dalam lipatan hati pun Allah Maha Mengetahui. Kesedaran ihsan inilah yang melahirkan Taqwa, iaitu kesungguhan mentaati suruhan dan perintah Allah dan menjauhi larangan-Nya serta ketakutan pada azab Allah.

Dengan itu guru yang bertaqwa pasti bertindak dengan sewajarnya tanpa perlu diawasi atau diselia. Dalam menjalankan tugas menyebarkan ilmu, setentunya dia mempunyai inisiatif dan sentiasa berusaha mencari kebenaran dan mengenal kebatilan lalu menunjukkan kepada anak muridnya mana hak dan mana yang batil. Kesedarannya terhadap perintah, galakan, amaran, dan larangan Allah, akan menjadikan dia seorang yang peka terhadap hasil pergolakan dunia yang begini pesat serta berwaspada terhadap peresapan anasir-anasir yang tidak dingini di sebalik kemodenan dan kemajuan dunia.

Seterusnya dia akan mempunyai peribadi yang seimbang dalam pemikiran dan tindakan. Ketakutannya kepada azab Allah pasti menjadikan mereka bekerja dengan penuh dedikasi dan progresif. Dia tidak sahaja menyebarkan ilmu bahkan menjadi model peribadi yang akan diteladani oleh para pelajar serta orang sekelilingnya, di samping itu kepimpinan mereka kejalan yang diredai tidak perlu dipertikaikan lagi walau dalam lapangan apa sekalipun.

Inilah antara ciri guru yang sempurna, yang kita yakin dapat membentuk warga muda kita hingga dewasanya nanti menjadi warganegara yang dicita-citakan. Guru yang sedemikian sifatnya tidak akan terjelma dan kalangan guru yang tidak bertaqwa. Dengan itu jelaslah bahawa ketaqwaan guru asas kesempurnaan pendidikan.

Tidak dapat dinafikan bahawa taqwa adalah satu konsep Islam, iaitu sebuah ugama tauhid, yang bertuhankan Allah semata-mata. Namun demikian, amalan bekerja yang berdasarkan sifat taqwa boleh dilakukan oleh sesiapa saja, sifat taqwa yang ada dalam diri guru-guru, akan menjamin mereka itu dapat menjalankan tugas dan tanggungjawab dengan sempurna, kerana keinsafan berasaskan taqwa itu merupakan satu daya penggerak utama kepada kesempurnaan pendidikan.

(sumber: Kementerian Pelajaran Brunei - Tema Hari Guru)

Thursday, February 18, 2010

Mengatasi masalah

Kadangkala kita bertemu jalan buntu, kita tersesat jalan, kita termasuk dalam keadaan amat sulit, amat kusut, amat kelabu. Keadaan menjadi sukar untuk kita bangkit kembali, akibat set back yg berlaku. Dalam rally, kita tertinggal di belakang. Kita dihantui pelbagai masalah... Apakah ada penyelesaian? Apakah ada harapan?
Tentu sekali ada penyelesaiannya. Tentu ada !! Kita akan kembali cemerlang dan hebat. Kumpul kembali kekuatan diri. Bangkit mulai!! Mulakan dengan beribadah kepada Allah, yang wajib dan yang sunat. Buat yang fardhu sungguh-sungguh, berkualiti, dan banyakkan amal sunat. Itulah jalan terbaik. Lakukan solat sunat taubat, solat hajat, solat dhuha, solat rawatib, dan yang paling power sekali solat tahajjud dan qiamullail. Doa minta pada Allah. Charge semula bateri rohani kita, supaya contact dengan Allah kuat. Baca Al Quran. Paksa diri buat solat sunat, banyak-banyak. Zikir. Dan satu lagi, cuba dapatkan kekuatan melalui usaha dakwah. Gunakan sebahagian masamu untuk dakwah dalam agama. Insya Allah kita dapat kekuatan.

Saturday, February 13, 2010

Senyumlah senyumanmu manis

daripada Abu Zar al-Ghifari r.a. Nabi s.a.w. bersabda, maksudnya, " Kamu senyum kepada saudaramu adalah sedekah, kamu melaksana amar makruf dan nahi mungkar adalah sedekah. kamu menunjuki orang yang sesat adalah sedekah dan kamu membuang batu, duri dan tulang dari jalan adalah sedekah." (Riwayat al Bukhari dan al Tirmizi).
Senyumlah apabila bertemu sahabatmu, saudaramu dan semua orang yang baik-baik, kerana ia mempunyai kuasa seperti daya penarik yang amat hebat, ilmu pengasih yang dihalalkan dan mempunyai daya pengubatan bagi banyak permasalahan. Kita kagum guru-guru yang pandai memotivasikan orang lain dengan senyuman malah mengawal disiplin dengan senyuman. Jika senyum pun membawa pahala, bukankah Allah Maha Pemurah luas sekali limpahan rahmat Nya.

Friday, February 12, 2010

insaf

Duhai insan ingatlah selalu
hidup di dunia tiada abadi.
sebelum terlambat insaflah diri
buatlah amal sebelum mati.