Thursday, December 31, 2009

SELAMAT TAHUN BARU

Tahun Baru Hijrah telah membuka tirainya. Tahun Baru 2010 akan bermula tak sampai 3 jam dari masa saya menulis posting ini. Kepada diriku dan anda semua yang mengunjungi blog saya ini, diucapkan selamat tahun baru 2010 dan salam maal hijrah. Tahun baru hijrah kali ini saya betul-betul berhijrah dari segi perjawatan. Daripada ketua panitia pendidikan moral saya berhijrah ke ketua panitia geografi. Insya Allah akan saya berikan komitmen sebaik mungkin. Berhijrah bermakna berubah. Insya Allah saya akan berubah demi kebaikan insan yang saya amat kasihi, tak lain tak bukan diri saya sendiri. Tuhan Maha Kuasa, Maha Penyayang,saya sangat yakin ini semua perancangan Allah s.w.t. Untuk anak-anakku tercinta, dan isteriku yang amat ku sayang, akan saya berkorban untuk mereka, insya Allah. Tiadalah kejayaan akan diperoleh tanpa doa, sokongan, bantuan, kasih sayang isteri dan anak-anak. Buat bonda dan ayahanda, anakmu ini ingin membalas jasa, budi dan pengorbanan ayah bonda. Bondalah orang yang paling menyayangi anakanda dan begitulah juga sebaliknya.
Kuasa hijrah adalah kuasa untuk berubah... Saya mengajak teman-teman semua muhasabah diri, tanam azam, kuatkan tekad, buat perancangan dan buatlah tindakan dengan cekal dan tabah, tidak takut cabaran dan halangan yang mendatang. Kerana... kita ada iman. Kita pohon hidayah dan kekuatan dari Allah. Selamat tahun baru.

Friday, December 11, 2009

Apa itu Takwa

Firman Allah: maksudnya,
"Wahai orang-orang yang beriman, bertakwalah kamu kepada Allah dengan sebenar-benar takwa dan jangan kamu mati kecuali dalam Islam. " (surah Ali Imran: 102)

Ayat di atas menyuruh kita supaya bertakwa dengan sebenar-benarnya, bukan main-main, bukan sikit-sikit, bukan ala kadar, bukan pilih-pilih yang mana suka atau mudah sahaja. Takwa dicapai hanya dengan bersungguh-sungguh menjadikan keredhaan Allah sebagai tujuan. Tujuan untuk menjadi orang Islam yang soleh atau solehah, hidup sebagai orang alim, hidup sebagai pejuang agama, mati sebagai syuhada'. Orang bertakwa elok tingkah lakunya, termasuk di situ ialah "sedikit bercakap", Ada hadis yang ertinya:"Orang yang bertakwa ialah yang sedikit bercakap, dan orang bertakwa melebihi orang mukmin dan taat." Takwa itu memelihara diri daripada terjerumus ke dalam kemurkaan Allah.

Abu Yazid al Bustamiy berkata: "Orang yang bertakwa ialah orang yang apabila bercakap maka ia bercakap kerana Allah, dan apabila ia beramal maka ia beramal kerana Allah."

Di dalam Sunan nya , Ibnu Majah meriwayatkan dari Abu Umamah, bahawa Nabi s.a.w. bersabda, ertinya: "Tiada kejayaan yang lebih berharga bagi orang beriman selepas takwa kepada Allah kecuali mendapat isteri solehah; ia patuh jika disuruh suaminya, suaminya gembira jika memandangnya, ia menurut jika suaminya bersumpah untuk melakukan sesuatu, dan ia jaga dirinya dan harta suaminya jika tidak ada di rumah."

Allah berfirman, maksudnya:
" Bukanlah kebaikan itu dengan menghadapkan wajahmu ke timur dan ke barat, tapi kebaikan sebenar ialah beriman kepada Allah, hari kemudian, para malaikat, kitab-kitab, nabi-nabi dan mendermakan harta yang dicintainya kepada kerabatnya, anak-anak yatim, orang-orang miskin, musafir, para peminta-minta, memerdekakan hamba, mendirikan solat, menunaikan zakat, dan orang yang menepati janjinya jika ia berjanji, orang-orang yang sabar dalam kesempitan dan dalam peperangan. Mereka itulah orang-orang yang bertakwa. " (Surah Al Baqarah : 177).

Dengan takwa, seseorang itu akan terpelihara, berasa aman, tenteram dan bahagia. Dia menjauhkan dirinya dari kemurkaan Allah. Dia akan jauh dari kesusahan, kesulitan, dan azab di hari akhirat, di samping beroleh keuntungan di dunia. Marilah kita usahakan menjadi orang yang bertakwa, dengan banyak berdoa mohon pada Allah, dan beramal dengan ikhlas.

Sunday, December 6, 2009

Kedamaian dan kesenangan hati

Jadikan solat kita sumber kedamaian
sumber kesenangan hati
masa sejuknya jiwa
masa insaf mohon ampunan Allah
sumber kebahagiaan
fikiran yang tenteram
tanamkan niat
apabila mula solat di atas sejadah (tikar sembahyang) yang bersih itu
"aku sedang berhubungan dengan Allah yang Maha Pengasih,
Dia Maha mengetahui, Maha Melihat, Maha Mendengar,
Dia mendengar bisikan hatiku, aku berasa tenteram dengan Nya.
Aku berasa damai mengadap Allah, rukuk dan sujud pada Nya.
Saat yang selalu di tunggu-tunggu kini tiba lagi.
Dapat aku bertemu Yang Memelihara ku dan Menyayangiku,
takkan ku lepas peluang bermunajat pada Ilahi."
Fikiran kita pun memikirkan maksud bacaan solat kita,
ingat amalan kita akan diangkat ke langit dalam keadaan elok dan baik jika solat kita khusyuk dan ikhlas,
jika tidak,
akan dicampakkan balik ke muka kita seperti kain buruk.
seharusnya....
ZON SOLAT ITU ZON KEDAMAIAN, ZON KETENANGAN, ZON KESEJUKAN HATI,
jika kita merasakan semua itu
mudah-mudahan kita telah mendapat kemanisan iman,
mudah-mudahan kita telah mula melalui jalan hidayah,
sucikanlah jiwa dengan amalan
yang mendekatkan
kita pada Nya
kita rela dan redha
apa yang ditakdirkan Nya.

Wednesday, December 2, 2009

Mahkamah Akhirat

Ketahuilah bahawa tiap-tiap diri akan merasai mati, dan akan dibangkitkan kembali untuk menerima pengadilan dan pembalasan. Hakikatnya ialah Allah itu Maha Adil, menjadi Hakim yang amat adil di padang mahsyar. Malaikat pula seperti pendakwaraya, penuntut yang membacakan rekod amalan insan, menunjukkan bukti dan gambar-gambar rekod perjalanan amalan manusia di dunia. Tidakkah kita patut mohon ampun bersungguh-sungguh supaya kesalahan kita dimaafkan pada masa kita masih di dunia lagi. Kita di mahkamah Allah adalah sebagai yang terdakwa, atau didakwa, atau defendan. Maka mohonlah selalu kita diberi ringan hisab, maknanya kita dimaafkan. Berat timbangan pahala daripada dosa. Tapi siapakah yang pasti semua itu? Oleh itu hisablah dirimu sendiri sebelum kamu dihisab di padang mahsyar. Orang beriman, orang Islam yang baik baik itu ada pembela, ada peguambela, iaitu Rasul. Pengadilan itu untuk semua jin dan manusia. Sesiapa yang tidak percaya dia akan menyaksikan sendiri dan terlibat sendiri di padang Mahsyar. Bagi yang beriman dengan hari akhirat, bukankah elok buat persiapan rapi, buat pra audit. Hari pengadilan ini adalah pasti dan saksi-saksi itu juga adalah pasti.
Firman Allah: "Sesungguhnya kami menolong Rasul-rasul Kami dan orang-orang yang beriman dalam kehidupan dunia dan pada hari berdirinya saksi-saksi (hari kiamat)." (surah Ghafir -40 : ayat 51)