Friday, December 11, 2009

Apa itu Takwa

Firman Allah: maksudnya,
"Wahai orang-orang yang beriman, bertakwalah kamu kepada Allah dengan sebenar-benar takwa dan jangan kamu mati kecuali dalam Islam. " (surah Ali Imran: 102)

Ayat di atas menyuruh kita supaya bertakwa dengan sebenar-benarnya, bukan main-main, bukan sikit-sikit, bukan ala kadar, bukan pilih-pilih yang mana suka atau mudah sahaja. Takwa dicapai hanya dengan bersungguh-sungguh menjadikan keredhaan Allah sebagai tujuan. Tujuan untuk menjadi orang Islam yang soleh atau solehah, hidup sebagai orang alim, hidup sebagai pejuang agama, mati sebagai syuhada'. Orang bertakwa elok tingkah lakunya, termasuk di situ ialah "sedikit bercakap", Ada hadis yang ertinya:"Orang yang bertakwa ialah yang sedikit bercakap, dan orang bertakwa melebihi orang mukmin dan taat." Takwa itu memelihara diri daripada terjerumus ke dalam kemurkaan Allah.

Abu Yazid al Bustamiy berkata: "Orang yang bertakwa ialah orang yang apabila bercakap maka ia bercakap kerana Allah, dan apabila ia beramal maka ia beramal kerana Allah."

Di dalam Sunan nya , Ibnu Majah meriwayatkan dari Abu Umamah, bahawa Nabi s.a.w. bersabda, ertinya: "Tiada kejayaan yang lebih berharga bagi orang beriman selepas takwa kepada Allah kecuali mendapat isteri solehah; ia patuh jika disuruh suaminya, suaminya gembira jika memandangnya, ia menurut jika suaminya bersumpah untuk melakukan sesuatu, dan ia jaga dirinya dan harta suaminya jika tidak ada di rumah."

Allah berfirman, maksudnya:
" Bukanlah kebaikan itu dengan menghadapkan wajahmu ke timur dan ke barat, tapi kebaikan sebenar ialah beriman kepada Allah, hari kemudian, para malaikat, kitab-kitab, nabi-nabi dan mendermakan harta yang dicintainya kepada kerabatnya, anak-anak yatim, orang-orang miskin, musafir, para peminta-minta, memerdekakan hamba, mendirikan solat, menunaikan zakat, dan orang yang menepati janjinya jika ia berjanji, orang-orang yang sabar dalam kesempitan dan dalam peperangan. Mereka itulah orang-orang yang bertakwa. " (Surah Al Baqarah : 177).

Dengan takwa, seseorang itu akan terpelihara, berasa aman, tenteram dan bahagia. Dia menjauhkan dirinya dari kemurkaan Allah. Dia akan jauh dari kesusahan, kesulitan, dan azab di hari akhirat, di samping beroleh keuntungan di dunia. Marilah kita usahakan menjadi orang yang bertakwa, dengan banyak berdoa mohon pada Allah, dan beramal dengan ikhlas.

No comments: