Wednesday, October 21, 2009

Mohon Hidayah

Kita tetap akan sesat jika tidak mendapat hidayah (petunjuk) dari Allah. Semua manusia yang tidak beriman dan beramal dengan satu-satunya agama yang benar, iaitu Islam, selagi dia tidak mahu beriman selagi itu dia dalam kesesatan. Bagi mereka yang dilahirkan dan dibesarkan dalam keluarga Islam juga tidak semestinya secara otomatik selamat dari kesesatan. Orang yang mati sebagai orang yang sesat adalah orang yang malang. Orang yang kehidupannya pada mulanya baik, tetapi akhir hidupnya dia dimurkai Allah, imannya entah ke mana, dia juga orang yang malang. Semua golongan malang ini akan menerima azab (siksaan) Allah di akhirat. Orang bukan Islam yang telah mendapat petunjuk (hidayah) hendaklah segera masuk Islam. Orang Islam yang ahli maksiat, sentiasa dalam berbuat dosa-dosa yang besar, yang meninggalkan perkara yang diwajibkan, hendaklah segera bertaubat nasuha. Hendaklah dia kembali kepada jalan yang terang, jalan yang benar, jalan selamat, jalan lurus dan bersih. Tinggalkan lorong-lorong gelap menuju ke neraka yang pasti menanti golongan yang sesat. Apabila sembahyang minta betul-betul agar Allah beri kita hidayah. Agar kita dipimpin Nya. Agar kita tahu mana yang salah mana yang betul. Agar kita ada kekuatan memilih jalan yang benar, melaksana suruhan Allah, dan meninggalkan larangan Allah. Jika Allah mengilhamkan di hati kita untuk bertaubat (berhenti dari maksiat dan dosa) itu tandanya Allah tidak mahu mengazab kita (menyiksa kita). Kalau Allah beri balasan di dunia berupa ketakutan, kelaparan, kemiskinan, kesusahan, penyakit, mungkin itu tandanya Allah mahu membersihkan dosa kita kerana musibah itu membuatkan kita insaf (dan bertaubat nasuha). Jika kita telah sedar, maka bertaubatlah dan kerjakanlah kebaikan. Pohonlah hidayah. Pohonlah kekuatan. Gunakan pelbagai cara atau terapi mengatasi masalah, seperti terapi istighfar dan terapi sedekah. Insya Allah kehidupan kita akan lebih bermakna. Setiap hari menjadi indah. Setiap hari amat membahagiakan, apa lagi kalau ada rumahtangga yang bahagia, kalau ada keluarga sakinah. Mohonlah.

No comments: