Monday, October 5, 2009

Kehidupan Yang Bahagia

Rasulullah s.a.w. hidup bahagia bersama isteri-isteri baginda. Bukan sahaja isteri-isteri Rasulullah muliakan baginda, malah Rasulullah juga menyayangi dan menghormati isteri-isterinya. Satu contoh ialah kisah romantis perkahwinan Rasulullah dengan Shafiyah. Menurut riwayat Imam Ahmad: Rasulullah s.a.w. menawarkan pilihan kepada Shafiyah : Apakah ingin dibebaskan dan menjadi isteri baginda, atau dikirim kembali kepada keluarganya. Kemudian Shafiyah memilih hidup sebagai isteri Rasulullah. Maka Rasulullah s.a.w. pun menjadikan pembebasannya itu sebagai emas kahwinnya. Sewaktu Rasulullah balik dari peperangan dan penaklukan Khaibar, dalam perjalanan pulang ke Madinah, Rasulullah memerintahkan rombongan baginda berehat di suatu tempat. Rasulullah menyatakan hasrat melangsungkan perkahwinannya dengan Shafiyah di situ namun Shafiyah menolaknya. Kemudian perjalanan diteruskan, hingga ke Asshahba, lebih kurang 16 batu dari Khaibar. Shafiyah bersetuju perkahwinan berlangsung di situ. Setelah siap sedia segalanya, dan setelah Ummu Salamah selesai tugasnya (sebagaimana diminta oleh Rasulullah) menjadi juru rias, Rasulullah menghampiri Shafiyah, lalu Shafiyah bangun menyambut baginda dengan hati dan wajah berseri-seri. Rasulullah bertanya: "Mengapa engkau menolak pada perhentian sebelum ini, untuk melansungkan pernikahan ini?" Shafiyah menjawab : " Saya khuatir keselamatanmu dari kaum Yahudi, kerana tempat itu terlalu dekat dengan perkampungan mereka". Ketika itu Shafiyah baru berumur 17 tahun. Begitulah suami isteri, ada tolak ansur, ada toleransi, sayang menyayangi penuh kemesraan. Hendaknya kita mencontohi kehidupan Rasulullah s.a.w. yang kita cintai. Saya telah merujuk kepada Buku "Suami Teladan, Rumah Idaman, Syurga Impian" karangan Mohd. Isa Selamat: Darul Nu'man, Kuala Lumpur 1994.
Kepada anda, boleh juga rujuk buku "Isteri Teladan, Rumah Idaman Syurga Impian" Habsah Md Nor 1994 (penerbit yang sama). Kedua-dua buku ini saya cadangkan anda memiliki dan membacanya.

No comments: