Friday, September 3, 2010

Salam Ramadan, Salam Syawal....

Beberapa perkara bermain di fikiran sehari dua ini.. Elok rasanya diperuntukkan sedikit masa yg amat berharga ini menulis di blog saya yg agak lama terbiar ini.. Blogging bukanlah suatu yang merugikan, pada pendapat saya. Ia banyak memberi kepuasan, dan banyak membuka ruang untuk menguatkan jati diri, percambahan minda, berdakwah, berkongsi ilmu, memuhasabah diri, mengingatkan diri sendiri, merekodkan peristiwa dan menyimpan kenangan indah dalam hidup.
Ingin buat sesuatu yang bermakna dalam hidup? Ingin jadi insan yang passionate? ingin punya perasaan yang dalam terhadap sesuatu? Ingin menyintai sesuatu perkara? Ingin berbakti? Ingin berbudi kepada insan lain yang baik-baik yang sehaluan dengan kita? Inginkan hidup lebih ceria? Lakukan aktiviti yg sihat seperti menulis, mengajar, mendidik, memberi bimbingan atau apa saja hobi yang boleh masuk akal, atau kita boleh menulis blog. Mungkin dah beberapa lama anda ingin lakukannya tetapi selalu tergendala. Selalu seperti tiada waktu, atau selalu saja tertangguh. Nah inilah masanya.... Mulailah pekerjaan yang baik-baik itu yang anda suka lakukannya. Bagi saya dakwah boleh saja dilakukan melalui blog. Namun sebenarnya... hakikatnya, saya memperingatkan diri sendiri. Cuma mungkin rakan-rakan saya juga boleh mendapat faedahnya, jika diizin Yg Maha Kuasa, dan jika Dia menghendaki.
Sesuatu bermain di fikiran saya... Kita ini patut menyandarkan nasib kita pada apa? Pada amalan baik yang kita lakukan yang dijanjikan Tuhan balasan baik di dunia dan akhirat? Atau bukan amalan yang jadi sandaran kita, tapi pada belas kasihan Allah? kita nak selamat dengan sembahyang kita, atau dengan rahmat Allah? Saya mohon ampun pada Allah jika tersalah.. Ada satu cerita seorang hamba Allah ahli ibadah, banyak sekali solatnya.. dia ditanya dengan apakah dia dimasukkan ke syurga, dengan ibadahnya atau dengan rahmat Allah? Dia menjawab dengan ibadahnya.. Lalu ditimbang nikmat sebelah matanya, tetapi setelah ditimbang, solatnya yang amat banyak tidak dapat membalas nikmat sebelah matanya.. maka dia dicampakkan ke neraka.. lalu dia minta ampun dan mengakui rahmat Allah lah yang boleh menyelamatkannya dari siksaan api neraka. Barulah dia dimasukkan ke syurga. Kesimpulannya, kita tidak boleh sombong, takabbur, bongkak, meninggi diri, kerana bukan kita yang berkuasa mutlak, bukan kita ini kuat sangat, hebat sangat dibandingkan kuasa Allah. TETAPI.. Kita mesti taat perintah Allah kalau nak selamat. Jangan tinggal sembahyang, puasa dan lain-lain. Sebab Allah Maha Adil. Allah tidak zalim. pahala kita tidak dikurangi jika kita ikut suruhan Allah dan tidak berlaku zalim. Yang jadi masalah, kita solat tapi kita berlaku zalim.. termasuk dalam zalim ialah kita menyakiti orang lain, kita menyusahkan orang lain, kita tidak tunaikan hak orang lain, kita tidak amanah dan termasuk juga zalim ialah kita merosakkan diri sendiri dengan segala macam kerosakan.
Seperkara lagi, syurga neraka destinasi kita nanti itu adalah hak Allah. Hak penuh Allah. Ada Hadith dalam kitab Hadith Empat Puluh ( susunan imam Nawawi) terjemahannya: Dari Abu Abd al Rahman Abdullah bin Mas'ud r.a. katanya: Telah menceritakan kepada kami oleh Rasulullah s.a.w. dan ia benar lagi dibenarkan, sesungguhnya salah seorang kamu dikumpulkan kejadiannya dalam perut ibunya selama 40 hari air mani, kemudian menjadi segumpal darah seperti yg demikian itu, kemudian jadi seketul daging seperti yang demikian itu juga, iaitu 40 hari, kemudian diutuskan kepadanya malaikat lalu ditiupkan roh padanya dan diperintahkannya menulis empat kalimat, iaitu rezekinya dan umurnya dan amalnya dan celakanya atau bahagianya. Maka demi Allah yang tidak ada Tuhan selainNya, sesungguhnya salah seorang kamu mengerjakan dengan amal ahli syurga sehingga tidak ada jarak antaranya dan antara syurga melainkan sehasta, kemudian terdahulu atasnya ketentuan tulisan lalu ia pun mengerjakan amal ahli neraka, maka masuklah ia ke dalamnya. Dan sesungguhnya salah seorang kamu mengerjakan amal ahli neraka sehingga tidak ada jarak antaranya dan antara neraka melainkan sehasta. Kemudian terdahulu atasnya tulisan lalu ia pun mengerjakan amal ahli syurga , maka masuklah ia ke dalamnya (Di riwayatkan oleh Bukhari dan Muslim). Hadith ini menunjukkan kuasa mutlak Allah. Juga mengingatkan kita supaya selalu bersyukur dan mohon hidayah. Selalu lah mohon rahmat dan kasih sayang Nya.

No comments: