Sunday, February 21, 2010

Takwa dan Kecemerlangan dalam Perguruan

Guru merupakan kumpulan pendidik yang diamanatkan serangkai aktiviti mengajar, mengawas, membimbing, melatih, menilai dan lain-lain. Dengan niat dan hasrat untuk menuju kepada matlamat untuk membina warga muda sehingga menjadi insan dewasa yang mampu memenuhi aspirasi bangsa. Keunggulan Islam itu terletak di dalam beberapa perkara, satu daripadanya ialah ihsan, iaitu melakukan sesuatu aktiviti dengan penuh kesedaran bahawa Allah ada di hadapannya, sentiasa memerhatikan segala tindak-tanduknya walaupun tidak dapat dilihat dengan mata. Tidak sahaja perbuatan lahiriah, bahkan pemikiran yang masih herada di dalam lipatan hati pun Allah Maha Mengetahui. Kesedaran ihsan inilah yang melahirkan Taqwa, iaitu kesungguhan mentaati suruhan dan perintah Allah dan menjauhi larangan-Nya serta ketakutan pada azab Allah.

Dengan itu guru yang bertaqwa pasti bertindak dengan sewajarnya tanpa perlu diawasi atau diselia. Dalam menjalankan tugas menyebarkan ilmu, setentunya dia mempunyai inisiatif dan sentiasa berusaha mencari kebenaran dan mengenal kebatilan lalu menunjukkan kepada anak muridnya mana hak dan mana yang batil. Kesedarannya terhadap perintah, galakan, amaran, dan larangan Allah, akan menjadikan dia seorang yang peka terhadap hasil pergolakan dunia yang begini pesat serta berwaspada terhadap peresapan anasir-anasir yang tidak dingini di sebalik kemodenan dan kemajuan dunia.

Seterusnya dia akan mempunyai peribadi yang seimbang dalam pemikiran dan tindakan. Ketakutannya kepada azab Allah pasti menjadikan mereka bekerja dengan penuh dedikasi dan progresif. Dia tidak sahaja menyebarkan ilmu bahkan menjadi model peribadi yang akan diteladani oleh para pelajar serta orang sekelilingnya, di samping itu kepimpinan mereka kejalan yang diredai tidak perlu dipertikaikan lagi walau dalam lapangan apa sekalipun.

Inilah antara ciri guru yang sempurna, yang kita yakin dapat membentuk warga muda kita hingga dewasanya nanti menjadi warganegara yang dicita-citakan. Guru yang sedemikian sifatnya tidak akan terjelma dan kalangan guru yang tidak bertaqwa. Dengan itu jelaslah bahawa ketaqwaan guru asas kesempurnaan pendidikan.

Tidak dapat dinafikan bahawa taqwa adalah satu konsep Islam, iaitu sebuah ugama tauhid, yang bertuhankan Allah semata-mata. Namun demikian, amalan bekerja yang berdasarkan sifat taqwa boleh dilakukan oleh sesiapa saja, sifat taqwa yang ada dalam diri guru-guru, akan menjamin mereka itu dapat menjalankan tugas dan tanggungjawab dengan sempurna, kerana keinsafan berasaskan taqwa itu merupakan satu daya penggerak utama kepada kesempurnaan pendidikan.

(sumber: Kementerian Pelajaran Brunei - Tema Hari Guru)

No comments: