Wednesday, February 11, 2009

CINTA ALLAH PADA HAMBA-NYA

Renungi dan fahami ayat-ayat Al Quran dan Hadis tentang cinta Allah pada hambaNya:

Firman Allah, maksudnya, "Allah mencintai mereka dan mereka mencintai Allah"
(Al Maidah:54)

"Sesungguhnya Allah mencintai orang-orang yang berperang di jalanNya dalam barisan yang teratur". (Al-Shaaf:4)

"Sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang bertaubat dan menyukai orang-orang yang menyucikan diri" (Al-Baqarah:222)

Anas r.a. meriwayatkan dari Nabi SAW, baginda bersabda, "apabila Allah mencintai seseorang, dosa tidak akan membahayakan dirinya (kerana segera bertaubat). Orang yang bertaubat dari perbuatan dosa, bagaikan orang yang tidak mempunyai dosa. Kemudian dibacakan ayat (bermaksud): sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang bertaubat." (Riwayat Ibnu Majah).

Rasulullah SAW bersabda :
"Sesungguhnya Allah SWT memberikan dunia kepada orang yang mencintai dan yang tidak mencintai. Tetapi Allah tidak memberikan iman kecuali kepada orang yang menyukai." (Riwayat al-Hakim dan al-Baihaqi dari Ibnu Mas'ud).

Rasulullah SAW bersabda,
"Barangsiapa berendah diri kerana Allah, maka Allah mengangkat darjatnya, dan barangsiapa sombong, maka Allah akan menjatuhkannya. Barangsiapa memperbanyak mengingat Allah maka Allah mencintainya." (Riwayat Ibnu Majah dan Ibnu Said)

Rasulullah SAW bersabda
"Allah berfirman: Tidak henti-hentinya hamba-Ku mendekatkan diri kepada-Ku dengan sunnah sehingga Aku mencintainya. Apabila Aku mencintainya Aku akan menjadi pendengarannya yang dengannya digunakan mendengar dan penglihatannya yang dengannya digunakan melihat." (Riwayat Bukhari dari Abu Hurairah r.a.)

Zaid bin Aslam mengatakan : Sesungguhnya Allah mencintai seseorang, kecintaanNya mencukupi baginya. Allah berfirman: Kerjakanlah apa yang engkau kehendaki. Aku telah mengampunimu.

Rujukan:Imam Nawawi, "Cinta dan Rindu kepada Allah" (terjemahan Al-Mahabbah, Asy-Syauq wa Al-Redha)

Sunday, February 1, 2009

TAUBAT DAN KESANNYA

Seorang hakim ditanya: Apakah ada tanda bahawa taubat itu telah diterima? Jawabnya : Ya, ada 4 tanda atau alamatnya iaitu:
1. Putus hubungan dengan kawan-kawannya yang tidak baik dan bersahabat dengan orag-orang soleh
2. Menghentikan semua maksiat dan rajin melakukan ketaatan.
3. Hilang rasa kesenangan kepada dunia pada hatinya dan selalu ingat akan kesusahan akhirat
4. Percaya kepada jaminan Allah dalam urusan rezekinya lalu menyibukkan diri menunaikan perintah Allah
Maka bila terdapat semua sifat itu maka dia termasuk dalam ayat yang bermaksud: "Sesungguhnya Allah kasih pada orang yang bertaubat dan kasih pada yang suka bersuci".

Kemudian dia berhak memperolehi daripada orang lain 4 perkara iaitu:
1. Mereka cinta kepadanya kerana Allah telah cinta kepadanya
2. Mereka akan memeliharanya dan selalu mendoakannya
3. Mereka lupa terhadap dosa-dosanya yang telah lalu
4. Mereka selalu membantu dan mendekatinya

Manakala Allah akan memuliakannya dengan 4 perkara:
1. Melepaskannya dari dosa sehingga seolah-olah dia tidak pernah berdosa
2. Dia dicintai oleh Allah
3. Dia dipelihara dari gangguan syaitan.
4. Dia diamankan dari rasa takut sebelum keluar daripada dunia ini
(PETIKAN DARIPADA AL-AZIM.COM , PAUTAN WEBSITE JABATAN AGAMA ISLAM MELAKA)

Thursday, January 8, 2009

Istana di hati

Dunia dalam jiwa insan
seluas alam maya
seindah pelangi
jika bertemankan pemilik segala keindahan
binalah istana dalam jiwaku
wahai Maha Pencinta
tempat daku bercinta denganMu
kurniakan haruman kasturi iman
semangat takwa
jiwa itu bagiku realiti sebenar kehidupanku
sebati kasih mengenal pencipta
tak dapat di musnahkan oleh sesiapa
hiasilah istanamu
dengan lukisan iman
perhiasan taqwa
alunan muzik jihad
kekal ke alam abadi

Tuesday, January 6, 2009

Hadis tentang makanan Rasulullah

Dari Aisyah r.ha. berkata, "Rasulullah s.a.w. selama hidupnya tidak pernah makan kenyang dengan tepung (roti) jagung dalam dua hari berturut-turut hingga beliau wafat." ( Hadis riwayat Tirmidzi ).
Begitulah Rasulullah menjalani hidupnya dengan serba sederhana tetapi penuh berkah dan bahagia. Kita kata zaman ini hidup dihimpit inflasi, kos sara hidup tinggi, nilai wang menjadi kecil, harga barang mahal, tetapi cuba bandingkan cara hidup kita dengan Rasulullah s.a.w. dan para sahabat. Kita banyak melayan nafsu makan dan hidup bermewah mewah! Rasanya sangat eloklah kita pilih kehidupan bersederhana. Sebuah hadis menyatakan (saya petik dari Kitab Fadhilah Sedekah), bahawa barangsiapa kekurangan makan dan minum di dunia ini, maka Allah s.w.t. akan membanggakannya di hadapan para malaikat dengan berfirman, "Lihatlah! Aku memberinya kekurangan makanan dan minuman, tetapi ia bersabar. Bersaksilah kamu bahawa Aku akan meninggikan derajatnya di syurga, sesuai dengan setiap suapan yang ia kurangi. "
Suatu ketika Fatimah r.ha. membawa sekerat roti kepada Rasulullah s.a.w. Lalu beliau s.a.w. bertanya, "Apa itu?" Fatimah r. ha. menjawab, " Ya Rasulullah hari ini saya masak roti, dan saya tidak suka memakannya tanpa engkau ikut bersama kami." Rasulullah s.a.w. menjawab, "Dalam tiga hari, inilah makanan pertama yang masuk ke mulut ayahmu."

Aduhai Puteraku

Kita berjauhan lagi
dikau yang semuda itu
sekecil itu
belajar berdikari di sana
demi mencari ilmu,
air mata ayah,
tak dapat ditahan,
hati hiba,
menghantar anak ke smkbp,
oh anak,
doa ayah sentiasa mengiringimu,
ayah rindu padamu,
Allah akan tetap melindungimu,
Allah akan tetap bersamamu,
ibu ayah menahan sebak di dada,
kerinduan.

Friday, December 26, 2008

Selamat tahun baru

Tahun baru datang lagi. kali ini hampir serentak masanya Tahun Hijrah dan Masihi. Banyak perkara pahit manis berlaku buat diriku Tahun 2008 ini, menjadi memori buatku wahai Tuhan. Sahabat-sahabatku tentu mempunyai cerita yang tersendiri. Syukur daku Allah menguatkan langkah kaki ini di atas jambatan menuju "seberang jaya". Untuk tahun akan datang ini, jangan lupa kita baca (seperti biasa) doa akhir tahun dan awal tahun.
Jika ada azam tertentu, yang baik-baik, usahakan supaya dapat dilaksanakan. Tidak sekadar azam. Jika sedar kelemahan diri, perbaikilah. Masa ini amat baik untuk muhasabah diri. Tukarkan haluan anda kepada haluan yang betul. Yang terpenting bukanlah laju mana perjalanan anda, tetapi sama ada anda berjalan menuju arah yang betul. Benda kecil-kecil yang selama ini merosakkan kita pun fikirkanlah, hentikanlah. Kalau tak sekarang bila lagi, kalau tak kita siapa lagi nak ubah. Pada pendapatku, kalau kita tingkatkan perjuangan untuk agama, insya Allah kita akan merasakan satu pertolongan dan kekuatan. Selalu lah berjuang untuk Islam dalam cara yang mampu kita lakukan. Moga tahun 1430 H dan 2009 akan memberi semangat buatku terus menulis dalam blog ini, coretan kenang-kenangan dalam melayari bahtera hidup.
Kepada rakan pendidik, selamat mendidik anak bangsa. Jadilah guru yang bukan saja disenangi, malah yang lebih penting berdedikasi dan tegas. Itu yang saya nak cuba tahun ini, perbaiki diri insya Allah. Kepada rakan-rakan yang lain, matlamat kita sama, mencari redha Allah jua. Terima kasih sokongan semua.

Thursday, December 11, 2008

Fadhilat Surah Al-Waqi'ah

Al-Waqi'ah merupakan surah ke 56 dalam Al Quran dan berisi 96 ayat. Dalam Al-Quran banyak Surah mempunyai fadhilat yang besar, contohnya al Fatihah, yang disebut juga Suratul Munajat, sandaran orang mohon sesuatu dari Allah. Jika kita ada hajat tertentu atau ingin bermunajat , yangmana kita ingin mohon pertolongan Allah, boleh baca Fatihah 40 kali atau 100 kali atau 1000 kali atau sesuka hati banyak mana yang anda ingin baca. Tentang surah al Waqi'ah ini pun banyak kelebihannya. Antara lain ia terkandung dalam hadis Rasulullah s.a.w. yang selalu kita jumpa, " Sesiapa menjadikan surah al-Waqi'ah sebagai wirid setiap malam, maka dia tidak akan jatuh miskin."
Antara khasiat dan kelebihan surah Al Waqi'ah sepertimana disebut dalam buku "Rahsia dan Fadhilat Ayat 1000 Dinar dan Surah Al Waqi'ah serta Doa-doa Murah Rezeki " ialah:
1. Meringankan siksa kubur
2. Mengurangi atau meyembuhkasn orang yang sedang sakit.
3. Selamat bersalin
4. Membuka pintu rezeki yang halal.
- Untuk buka rezeki bacalah Surah Al-Waqiah setiap hari berturut-turut 40 hari / malam, jangan putus, kemudian selepas 40 hari boleh lah jadikan wirid tiap-tiap malam. Kalau sesekali tak sempat baca, gantikanlah dengan solat taubat dan solat hajat. Sebaik-baiknya ( pada pendapat saya yang dhaif ini) fahamkan makna apa yang dibaca, iaitu baca terjemahan , dan selepas itu cuba hafaz surah ini sedikit demi sedikit. InsyaAllah jika ada usaha yang ikhlas , Allah akan tenangkan fikiran kita , dapat kita hafaz surah ini. Yang terbaik ialah baca terjemahan, faham makna dan baca Tafsir (contohnya Tafsir Fi Zhilalil Quran).
Selepas baca surah Al Waqi'ah, baca doanya. Carilah dalam kitab-kitab berkaitan amalan dalam Islam. Terjemahan doa itu dalam Melayunya ialah seperti berikut:
" Ya Allah, turunkanlah hidangan bagi kami dari langit sebagai keraian, iaitu bagi orang-orang yang bersama kami, dan yang hidup selepas kami, serta menjadi bukti atas kekuasaan-Mu, berilah rezeki untuk kami, kerana Engkau sebaik-baik Pemberi rezeki. Ya Allah, sekiranya rezeki kami berada di langit, maka turunkanlah ia ; jika ia ada di bumi, keluarkanlah ia, dan jika ia ada di dalam lautan, munculkanlah. Sekiranya rezeki kami ada di tempat yang jauh, dekatkanlah ia ; jika ia sedikit, banyakkanlah ia; dan jika caranya sukar untuk sampai kepada kami, mudahkanlah ia, serta pindahkanlah rezeki tersebut kepada kami, dengan kemuliaan, kepemurahan dan kebaikan-Mu, dengan rahmat-Mu, wahai Yang Maha Mengasihi di antara yang pengasih."
Kemudian jangan lupa banyakkan berselawat kepada Rasulullah s.a.w.