Hadith riwayat Abu Hurairah r.a., dia berkata, "Dari Nabi s.a.w. beliau bersabda, "Orang yang membiayai para janda dan orang miskin itu bagaikan seorang pejuang di jalan Allah." Aku mengira beliau menambahkan, "Dan bagaikan orang yang selalu menjalankan solat malam tanpa henti atau bagaikan orang yang selalu berpuasa tanpa berbuka." (Hadith riwayat Muslim).
Inilah tanda kemurahan Allah memberi balasan pada hambanya yang berbuat bakti. Kalaupun tak ada Nabi bersabda begini, kita pun mungkin tetap suka tolong orang yang memerlukan, kerana ada kepuasan dalam menolong orang lain.
Sekarang kita jumpa hadith ini, mudah mudahan kita lebih bersemangat untuk buat kebajikan. Kita pun mungkin ada kalanya terasa susah, sempit hidup, ditimpa sakit, menerima ujian dan sebagainya. Kita tentu sangat menghargai pertolongan yang kita terima. Budi yang baik rasa nak junjung. Maka... jika kita lapang ada rezeki, giliran kita pula tolong orang susah, kerana Allah jua. Mudah-mudahan Allah ampunkan dosa kita, kurnia rahmat, hidayah dan taufik pada kita. Mudah-mudahan kita digolongkan dalam kumpulan pejuang agama yang suci ini. Ini satu saham yang besar, dan tak rugi, kerana sesungguhnya Allah Maha Adil, Maha Melihat dan Maha Mengetahui.
No comments:
Post a Comment