Sunday, October 2, 2011

Masa dan Peluang Bermunajat

Apabila kita ambil wuduk, kemudian ke masjid atau ke tikar sembahyang, di mana sahaja yang dibolehkan, kemudian kita mendirikan solat... maka ketika itulah kita berpeluang bermunajat kepada Allah swt. Sebenarnya kita sedang bermunajat kepada Allah, jika kita pelihara solat kita itu, jaga syarat sahnya, rukun rukunnya, yang wajib yang sunat, bacaan dan perbuatan, waktunya, khusyuknya.. itulah munajat kita. itulah masa terbaik untuk bermunajat kepada Allah, dan Allah pasti melihat , mengetahui dan memahami apa yang kita lakukan dan persembahkan.. ambil kesempatan ini. Jangan lalai memuji Allah, mengagungkan Allah, dan berdoa kepada Allah, terutama dalam sujud. Jangan kita rugi hidup di dunia yang jadi ladang akhirat ini, kerana melalaikan peluang bermunajat kepada Allah. bila ingin mengerjakan solat, ingatlah inilah agenda terpenting kita dalam hidup di dunia ini, maka bermunajatlah puas-puas.. hingga terasa manisnya iman, manisnya ibadah dan betapa damainya hati hidup dengan ilmu yang hak. insya Allah.. saya mengingatkan diri saya.

Wednesday, September 14, 2011

Bersedekah amalan mulia

Aswad bin Yazid meriwayatkan bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda: "Ubatilah orang-orang kamu yang sakit dengan mengeluarkan sedekah dan bentengilah harta-harta kamu dengan mengeluarkan zakat dan siapkan untuk menjauhi bala dengan berdoa." (Hadis riwayat Baihaqi) Hadis di atas memberi jalan keluar untuk banyak masalah, dan memberi kaedah mendapatkan ketenangan jiwa dan keharmonian hidup.. Insya Allah akan ku cuba laksanakan perintah ini. Demi mengusahakan kehidupan yang sejahtera buat diriku dan ahli keluargaku dan sedikit sebanyak dapat daku membantu umat Islam sekadar yang mampu. Semua ini ilham dari Allah jua.. Yang menguatkan hati dan menetapkan niat untuk bersedekah dan berzakat ialah Allah jua. Mudah-mudahan amalan kita diterima oleh Allah s.w.t. Kita ini hamba Allah yang beruntung jika kita mengenaliNya.. Ramai manusia tidak kenal Allah. Ramai manusia menafikan bahawa Allah ialah Tuhan yang layak disembah , semata mata kerana sikap sombong mereka dan angkuh dan jahil tidak mahu belajar. Cubalah kita renungkan, betapa berharganya iman itu. Iman akan menyelamatkan. Tapi iman boleh hilang kerana banyak perkara, kerana tamak haloba, kerana kedengkian dalam hati, kerana zalim, kerana nafsu yang menjadi raja.. hingga kalah pertimbangan diri. maka usahalah untuk menguatkan iman... termasuk di situ ialah beramal mengeluarkan zakat, bersedekah, berdoa, berzikir dan selalu menolong orang yang memerlukan. insya Allah niat yang baik dapat dilaksanakan.

Friday, September 9, 2011

Mohon Keredhaan Mu

Ramadan telah berlalu. Semoga kita bertemu lagi ramadan tahun hadapan, agar dapat menyambung ibadah. Namun segalanya terserah pada Allah swt. Hingga takat mana umur kita hidup di dunia, Allah saja yang tahu. Dia yang menetapkan. Dia yang menentukan hidup dan mati manusia dan semua makhluk yang lain. Dia menentukan rezeki, Dia yang menentukan susah senang kita. Manusia yang beriman akan berlapang dada, sabar dan redha, sementara yang tidak yakin kekuasaan Allah atau tidak beriman, atau tidak bersyukur, tunggulah apa yang menanti di dunia dan di kehidupan akhirat.
Sebenarnya Syawal yang tiba bukan untuk bersuka ria hingga melupakan perintah Allah. Cuba kita masa nak makan minum kita ingat bahawa masa bulan ramadan kita tak boleh makan minum, tapi kini boleh, Allah benarkan. Cuba kita fikir, boleh sahaja Allah wajibkan kita berpuasa sepanjang tahun. Tapi Allah tidak begitu. Kita boleh makan dan minum dan lain-lain perkara lagi yang dibenarkan. Kita mesti bersyukur boleh makan minum dan diberi rezeki untuk makan minum.. mesti ingat Allah selalu, berterima kasih, dan mohon Dia redha kita makan minum.. patutkah kita makan dan minum dalam keadaan kita banyak berdosa kepada Allah.. Patutkah? Tidakkah kita malu kepada Allah? Tidakkah kita patut memohon ampun kepad Allah.. Mana ada makanan atau minuman yang bukan rezeki dari Allah? Ingatlah kalau Allah tarik nikmat sihat dari kita, kita pun tak boleh makan dan minum macam masa sihat. Oleh itu saya mengingatkan diri saya supaya selalu bersyukur dan beristighfar.. Tanda bersyukur yang paling utama ialah menjaga solat kita. Buat yang fardhu sebaik-baiknya, banyakkan yang sunat. Satu sujud menghapuskan satu dosa dan meninggikan kita satu darjat. Saya takut sebenarnya untuk berdakwah, sebab banyak sekali nas yang menyatakan peringatan kepada manusia, supaya melakukan apa yang diperkatakan sendiri. Maksudnya saya lebih berdosa dari orang lain, kalau saya sendiri tak buat apa yang saya katakan. Saya mohon hidayah, saya mohon pimpinan Allah dan syafaat Rasul, saya yang hina ini ingin berbakti untuk agama suci ini. Itu saja. Untuk motivasi diri sendiri, dan insya Allah untuk teman-teman dan seluruh umat manusia.
Sebagai rumusan, nak makan minum ingat Allah, mohon keizinan dan keredhaan Allah. Mohon keberkatan. Mohon dijadikan kita orang Islam yang baik, yang cemerlang. Yang akan bersama Rasulullah dan orang-orang yang dicintai di syurga firdaus. Mudah-mudahan.

Thursday, August 25, 2011

Allah tetap menolong.

Allah berfirman, maksudnya " ..... Dan merupakan hak Kami untuk menolong orang-orang yang beriman." (S. ar-Ruum: 47)
Bagi orang beriman, jangan putus asa apabila ditimpa kesulitan dan kesusahan. Di saat kita menghadapi beban yang dipandang amat berat itu, pertolongan akan datang. Mohonlah pada Allah.. mohonlah.. berdoa, solat, sabar. Berdoa lagi, yakinlah Allah bersifat pemurah, mengasihani dan Maha Kuasa. Jika kita orang beriman, Allah takkan biarkan kita dalam keadaan hina, mati dalam putus asa dan kafir. Tapi bertaubatlah jika merasa diri berdosa. beristighfar sepenuh hati. mohon petunjuk.
Allah Maha Kuasa, Maha Kaya... boleh selesaikan masalah kita dengan mudah. Mintalah pertolongan Nya. Mohon jangan henti..
Firman Allah, maksudnya " Sesungguhnya urusanNya apabila Dia menghendaki sesuatu Dia hanya berkata kepadanya, "Jadilah" Maka jadilah sesuatu itu. " (S. Yasin : 82)
Oleh itu, ingatlah selalu, apabila senang, beramal dengan sungguh sungguh, nanti di masa susah, Allah ingat kita. Selalu kita menolong agama Allah, berusaha untuk kepentingan agama, selalu nasihat menasihati pada hal kebaikan dan kebenaran, mudah-mudahan Allah menolong kita (janji Allah benar, Allah tidak memungkiri janji, pasti Dia menolong orang beriman). Kewajipan ditunai, bayar zakat, sedekah, infak, menyambung silaturrahim, semuanya sumber rezeki dan sumber pertolongan. Bertaubat juga sumber rezeki dan pertolongan. Bersyukur menambah akan nikmat. Allah tambahkan lagi nikmatnya kepada kita. Redha atas ketentuan Allah membawa bahagia.

Wednesday, August 24, 2011

Mohon Pertolongan Allah

Di kala kesusahan, mohonlah pada Allah. Di kala senang, juga mohon pada Allah.. Bagaimana nak dapatkan pertolongan?? Doa... dan.. tolonglah agama Allah,
Firman Allah, maksudnya, " Hai orang-orang yang beriman, jika kamu menolong agama Allah, nescaya Dia akan menolongmu dan meneguhkan kedudukanmu." (QS Muhammad:7)
kita tolong agama Allah dengan menjaga agamaNya, istiqamah, saling menasihati dan menegakkan hukum Allah dalam diri dan keluarga / masyarakat.

Wednesday, August 10, 2011

Ketinggian ilmu

Baginda Nabi s.a.w. bersabda:
"Ilmu lebih afdal daripada ibadah; dan agama yang paling baik ialah warak (terjauh dari yang haram dan syubhat)." (Riwayat Tabrani).
Insya Allah mudah difaham hadis ini. Ibadah itu sangat penting, itulah tanda kita beriman kepada Allah.. tetapi mesti ada ilmu. Dan hamba Allah yang berilmu lebih tinggi kedudukannya berbanding yang kurang ilmu atau tiada ilmu. Ilmu membuat kita kenal Allah, takutkan Allah dan kasihkan Allah. Seterusnya lebih selamat daripada hasutan dan tipu daya syaitan yang teramat jahat itu. Ilmu tidak semestinya didapati di universiti. Ilmu didapati dengan usaha, sabar, dan keikhlasan. Warak juga amat tinggi nilainya. hanya orang yang berilmu sahaja yang dapat meninggalkan yang haram dan syubhat. Kerana dia tahu yang mana benar yang mana salah. Yang mana yang lebih penting, yang mana kurang penting. yang mana yang haram yang mesti ditinggalkan, dan yang mana masih tidak jelas halal haramnya. Maka sifat warak amat baik. Barulah selamat. Satu lagi, yang wajib mesti diutamakan berbanding yang sunat. Bersedekah sunat, tapi zakat wajib. Berderma sunat tapi bayar hutang wajib. Solat tarawih sunat, tapi tak sama kepentingannya dengan solat fardhu. yang wajib utamakan.. Kemudian untuk jadi orang yang dikasihi Allah, kenalah banyakkan amal sunat. Mari kita usahakan. Insya Allah kita akan rasakan pertolongan Nya dalam memberi kekuatan kita beramal. Yang penting betulkan niat, semuanya untuk mendapatkan keredhaan Allah, bukan kerana manusia atau lain-lain. Jika kita telah mula rasa mudah untuk beribadah, mula rasa rajin untuk beribadah, mudah-mudahan itu tandanya Allah kasihkan kita.

Friday, August 5, 2011

Dari dalam diri sendiri

Melalui pengalaman, pengamatan, perjalanan, pengajian dan episod-episod kehidupan yang dilalui, saya yakin kini bahawa KEBAHAGIAAN manusia itu, kalau dicari-cari merata tempat, dari sana sini, dari ramai orang, mungkin tetap tak jumpa.. tak akan kita jumpa... kerana kebahagiaan itu datang dari DIRI SENDIRI. Ia pemberian Allah, tapi melimpahi hidup manusia hanya dari diri (hati) mereka sendiri, bukan dari luar. (Saya suka lagu Datuk Sharifah Aini.. "carilah ketenangan dalam diri sendiri, munajat di sepertiga malam...." ). Kecelakaan dan penderitaan yang melingkungi manusia juga datang dari diri sendiri. Kegelisahan, keluh kesah, kesempitan, juga datang dari dalam diri sendiri. Al Quran telah menegaskan salah satunya dalam firman Allah bermaksud "Allah tidak merobah keadaan sesuatu kaum itu sehingga mereka merobah apa yang ada dalam diri mereka."(S. 13:11).
Kalau kita fikir baik-baik, mudah saja kita dapati jawapan kepada beberapa persoalan berkaitan keadaan hidup manusia. Hidup dengan hiburan yang melalaikan, berfoya foya, harta digunakan untuk berseronok tapi lalai perintah agama, tak ikut hukum agama, yang muda lalai, yang tua pun sama, maka tunggu sajalah bencana tak lama akan tiba... mudah-mudahan yang dipilih Allah akan bertaubat, kembali ke jalan yang lurus.
Saya yakin, jalan terbaik berpusing kembali membuat U TURN dan ikut jalan yang benar ialah melalui beberapa peringkat: pertamanya tinggalkan yang salah, bencikan yang salah di sisi agama dengan sebenar-benar kebencian. Sentiasa lawan syaitan yang amat jahat itu, kerana itulah musuh yang nyata. Tapi memang benar, semua ini hanya boleh terjadi dengan hidayah, taufik, kesedaran, ilham yang diberi Allah. Kalau Allah menghendaki memang manusia itu akan berubah. Allah melihat segala perbuatan hambaNya. Mungkin ada sesuatu amal yang diperbuat insan itu yang sangat besar faedahnya, nilainya di sisi Allah. Oleh itu, kita harus bersyukur jika masih ada iman. Iman sangat mahal, sangat bernilai.
Telah sampai masanya kita beramal dengan serius, kita wajib beramal dengan serius. Moga ramadan tahun ini menambah kuatnya iman kita, komitmen kita pada agama, perjuangan kita. Kita baik sekali jika bergerak dalam jemaah yang mantap, ada perjuangan, ada gerakan yang kuat, semangat tinggi, harakah yang tulin. Moga kita capai kematangan yang diperlukan, nampak jalan yang terbaik. Moga kita dipilih Allah menjadi dalam barisan para duat yang menyeru ke jalan Nya dan bekerja untuk agama Nya. Walaupun saya memilih cara yang sederhana, mudah-mudahan ada faedahnya yang saya dapat berikan kepada umat ini... Saya harapkan teman-teman marilah kita perjuangkan perkara ini. Umat Islam itu saling kuat menguatkan antara satu sama lain, insha Allah.