Wednesday, August 10, 2011

Ketinggian ilmu

Baginda Nabi s.a.w. bersabda:
"Ilmu lebih afdal daripada ibadah; dan agama yang paling baik ialah warak (terjauh dari yang haram dan syubhat)." (Riwayat Tabrani).
Insya Allah mudah difaham hadis ini. Ibadah itu sangat penting, itulah tanda kita beriman kepada Allah.. tetapi mesti ada ilmu. Dan hamba Allah yang berilmu lebih tinggi kedudukannya berbanding yang kurang ilmu atau tiada ilmu. Ilmu membuat kita kenal Allah, takutkan Allah dan kasihkan Allah. Seterusnya lebih selamat daripada hasutan dan tipu daya syaitan yang teramat jahat itu. Ilmu tidak semestinya didapati di universiti. Ilmu didapati dengan usaha, sabar, dan keikhlasan. Warak juga amat tinggi nilainya. hanya orang yang berilmu sahaja yang dapat meninggalkan yang haram dan syubhat. Kerana dia tahu yang mana benar yang mana salah. Yang mana yang lebih penting, yang mana kurang penting. yang mana yang haram yang mesti ditinggalkan, dan yang mana masih tidak jelas halal haramnya. Maka sifat warak amat baik. Barulah selamat. Satu lagi, yang wajib mesti diutamakan berbanding yang sunat. Bersedekah sunat, tapi zakat wajib. Berderma sunat tapi bayar hutang wajib. Solat tarawih sunat, tapi tak sama kepentingannya dengan solat fardhu. yang wajib utamakan.. Kemudian untuk jadi orang yang dikasihi Allah, kenalah banyakkan amal sunat. Mari kita usahakan. Insya Allah kita akan rasakan pertolongan Nya dalam memberi kekuatan kita beramal. Yang penting betulkan niat, semuanya untuk mendapatkan keredhaan Allah, bukan kerana manusia atau lain-lain. Jika kita telah mula rasa mudah untuk beribadah, mula rasa rajin untuk beribadah, mudah-mudahan itu tandanya Allah kasihkan kita.

Friday, August 5, 2011

Dari dalam diri sendiri

Melalui pengalaman, pengamatan, perjalanan, pengajian dan episod-episod kehidupan yang dilalui, saya yakin kini bahawa KEBAHAGIAAN manusia itu, kalau dicari-cari merata tempat, dari sana sini, dari ramai orang, mungkin tetap tak jumpa.. tak akan kita jumpa... kerana kebahagiaan itu datang dari DIRI SENDIRI. Ia pemberian Allah, tapi melimpahi hidup manusia hanya dari diri (hati) mereka sendiri, bukan dari luar. (Saya suka lagu Datuk Sharifah Aini.. "carilah ketenangan dalam diri sendiri, munajat di sepertiga malam...." ). Kecelakaan dan penderitaan yang melingkungi manusia juga datang dari diri sendiri. Kegelisahan, keluh kesah, kesempitan, juga datang dari dalam diri sendiri. Al Quran telah menegaskan salah satunya dalam firman Allah bermaksud "Allah tidak merobah keadaan sesuatu kaum itu sehingga mereka merobah apa yang ada dalam diri mereka."(S. 13:11).
Kalau kita fikir baik-baik, mudah saja kita dapati jawapan kepada beberapa persoalan berkaitan keadaan hidup manusia. Hidup dengan hiburan yang melalaikan, berfoya foya, harta digunakan untuk berseronok tapi lalai perintah agama, tak ikut hukum agama, yang muda lalai, yang tua pun sama, maka tunggu sajalah bencana tak lama akan tiba... mudah-mudahan yang dipilih Allah akan bertaubat, kembali ke jalan yang lurus.
Saya yakin, jalan terbaik berpusing kembali membuat U TURN dan ikut jalan yang benar ialah melalui beberapa peringkat: pertamanya tinggalkan yang salah, bencikan yang salah di sisi agama dengan sebenar-benar kebencian. Sentiasa lawan syaitan yang amat jahat itu, kerana itulah musuh yang nyata. Tapi memang benar, semua ini hanya boleh terjadi dengan hidayah, taufik, kesedaran, ilham yang diberi Allah. Kalau Allah menghendaki memang manusia itu akan berubah. Allah melihat segala perbuatan hambaNya. Mungkin ada sesuatu amal yang diperbuat insan itu yang sangat besar faedahnya, nilainya di sisi Allah. Oleh itu, kita harus bersyukur jika masih ada iman. Iman sangat mahal, sangat bernilai.
Telah sampai masanya kita beramal dengan serius, kita wajib beramal dengan serius. Moga ramadan tahun ini menambah kuatnya iman kita, komitmen kita pada agama, perjuangan kita. Kita baik sekali jika bergerak dalam jemaah yang mantap, ada perjuangan, ada gerakan yang kuat, semangat tinggi, harakah yang tulin. Moga kita capai kematangan yang diperlukan, nampak jalan yang terbaik. Moga kita dipilih Allah menjadi dalam barisan para duat yang menyeru ke jalan Nya dan bekerja untuk agama Nya. Walaupun saya memilih cara yang sederhana, mudah-mudahan ada faedahnya yang saya dapat berikan kepada umat ini... Saya harapkan teman-teman marilah kita perjuangkan perkara ini. Umat Islam itu saling kuat menguatkan antara satu sama lain, insha Allah.

Friday, July 29, 2011

Yang tak jauh

Firman Allah, maksudnya, " Katakanlah: sesungguhnya kematian yang kamu lari daripadanya, maka sesungguhnya kematian itu akan menemui kamu." ( Surah al-Jumu'ah:8).
Bagaimana manusia boleh mengelakkan diri dari kematian. Sekali-kali tidak boleh. Kita boleh berusaha ubat penyakit, jaga kesihatan, tapi kalau ajal dah sampai tetap nyawa akan dicabut. Yang baiknya kita ini suka untuk kembali kepada Allah dalam keadaan tenteram damai, dosa diampuni, hidup diredhai, bawa bekal amalan soleh. Siapakah yang dapat menjamin semua itu? Sedangkan iman manusia ini kadang pagi beriman petang kafir. Petang beriman pagi esoknya kafir. itulah insan. hendaknya kita yang masih hidup ingat selalu adanya mati.
Setiap hari yg padanya terbit dan terbenam matahari Malakulmaut sentiasa berteriak : " Hai orang-orang yang berusia empat puluh tahun, inilah waktunya menyiapkan bekal selagi ingatan kamu masih terang dan tenaga kamu masih kuat. Wahai kamu yg berumur lima puluh tahun, sudah dekat masa mengutip hasil. Wahai kamu yg berumur enam puluh tahun, kamu lupa akan seksa dan lalai memberikan jawapan, sedangkan nanti tidak ada lagi yang akan menolong kamu."
Pada pendapat saya yang hina ini, kita sepatutnya sudah mula berubah bila melalui umur empat puluhan. Sepatutnya sudah berfikiran tenang, matang, sabar, dan membenci maksiat dan kemungkaran. Kita sepatutnya insaf selalu, dunia akan kita tinggalkan, anak-anak akan kita tinggalkan suatu masa nanti. Maka bukankah lebih baik kita isikan kehidupan mencari bekal akhirat dan memohon keampunan dosa-dosa silam. Kita nak jumpa Allah yang telah memberi kita rezeki selama ini, Dia Tuhan yang menyelamatkan kita dari kerosakan dan kelalaian. Yang lain-lain itu tidaklah penting sangat. Mengumpul harta tidaklah penting sangat, malah itu mungkin perkara yg amat buruk. Bekerja mencari rezeki dan berkarya dalam bidang kita tidaklah termasuk dalam yang melalaikan. Berdoa selalu mohon Allah mengasihi kita, rayulah Allah, rayu dengan sungguh hati, mohon keampunan dan kasih sayangnya. Insha Allah ada petunjuk menjelang Ramadan ini.

Friday, July 1, 2011

DOA PENGASIH

Kita hidup di dunia ini mengharapkan dikasihi oleh orang lain, khususnya isteri / suami , anak-anak, ahli keluarga, sahabat-sahabat, rakan sejawat, majikan / ketua dan sebagainya. Mungkin ada seseorang dalam dunia ini yang kita ingin sekali saling sayang menyayangi dengannya (kerana niat yang baik). Mungkin kita ingin ramai orang yang baik baik senang hati berbaik dengan kita. Kita bolehlah baca dan amalkan selalu ayat ini, Surah Ali Imran ayat 31. Ikhlaskan hati beramal sambil mendoakan individu berkenaan, insha Allah ada kesan positifnya. Maksud ayat itu: "Katakanlah (wahai Muhammad): Jika benar kamu mengasihi Allah, maka ikutilah daku nescaya Allah mengasihi kamu serta mengampunkan dosa-dosa kamu dan (ingatlah) Allah Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani".

Friday, June 17, 2011

Ganjaran Amalan

Satu perkara saya temui lebih kurang seminggu yang lalu. Ia betul-betul suatu yang istimewa. Ia menguatkan dorongan untuk berbuat amal baik dan menjauhi amal yg buruk.
Perkaranya simple saja tapi kesannya amat besar. Ringkasnya, kita diberitahu dalam Quran dan Hadis bahawa Amal-amal yang kita lakukan mendapat balasan di dunia dan akhirat. Ya, balasannya mungkin dekat, bukan sahaja di akhirat, di dunia pun ada balasannya. Sebab itu kita jumpa susah senang, suka duka. Ada kalanya ia berupa ujian Allah, ada kalanya ia merupakan balasan dari Allah atas apa yang kita lakukan. Sekarang kita macamana? Nak untung ke nak rugi? Nak senang ke nak merana terima balasan Allah akibat dosa-dosa. Kita nak dapat perlindungan Allah tak? Pertolongan Allah? Nak ke tak nak? Nak selamat tak? Kalau nak... buatlah amal yang baik dan jauhi dosa dan maksiat. Insha Allah kalau kita bersyukur, Allah akan tambah nikmatNya mudah-mudahan. Hari ini kita buat baik, esok lusa kita mungkin akan rasakan dan saksikan kesannya. Banyak ayat Quran dan Hadis berkenaan perkara ini. Insha Allah ada masa saya catatkan di sini.

Tuesday, June 7, 2011

Pesan Imam Al Ghazali

Pesanannya termasuklah:
1. Segala gerak laku kamu dengan anggota badan kamu adalah merupakan nikmat daripada Allah Taala yang diberikan kepada kamu. Maka hendaklah kamu jangan menggerakkan satu pun daripada anggota badan kamu untuk melakukan sebarang maksiat.
2. Gunakanlah anggota badan kamu untuk mengerjakan ketaatan kepada Allah Taala.
3. Kecuaian menjaga anggota badan akan menimpakan akibat kepada diri sendiri.
4. Janganlah bersikap mudah " Tuhan maha Pengampun dosa-dosa hambanya yang membuat maksiat" kerana ucapan itu benar dengan tujuan yang salah.
Ingat Hadis Rasulullah saw bermaksud: "Orang yang cerdik ialah orang yang selalu memperhitung dirinya dan suka beramal untuk bekalan sesudah mati dan orang yang bodoh ialah orang yang selalu mengikut hawa nafsunya dan banyak berangan-angan kepada Allah (untuk mendapat kebahagiaan di akhirat dengan pengampunan daripada Allah Taala). "(Riwayat Tirmidzi)

Insha Allah kita akan mendapat kehidupan yang baik di dunia dan akhirat apabila kita menjaga hukum syariat, batasan-batasan yang ditentukan agama, kita selamat mendapat perlindungan Allah. Jagalah perbuatan kita, percakapan kita, hati kita. Yang haram jangan dibuat, yang salah jangan didekat. Yang baik perbanyakkan, ditambah dan diulang-ulang. Mudah-mudahan Allah melimpahkan rahmat Nya kepada kita.

Sunday, June 5, 2011

Wirid Khaujakan.

Elok sekali jika ada amalan zikir yang diamal berterusan, yang mudah mudahan menjadi sumber kebahagiaan hidup dunia dan akhirat. Sesiapa yang berminat mengamalkan zikir-zikir tertentu yang menyampaikan kita kepada Allah, bolehlah rujuk Al Quran dan Sunnah Nabi, dan bolehlah berguru dengan guru-guru yang benar dan ikhlas mengembangkan amalan soleh. Kita akan merasai kesan positifnya amalan tersebut, tetapi tidak boleh kita riak, takbur, sombong menceritakan di sana sini apa yang didapati, kerana itu bukan caranya.
Sesiapa yang berminat bolehlah mengamalkan wirid khaujakan, yang berasaskan amalan tarekat. Insya Allah kita akan mendapat ketenangan dan perlindungan Allah serta kelebihan-kelebihan, mudah-mudahan amal kita diterima jua. Untuk maklumat lanjut, tuan-tuan dan puan-puan, sila klik link di tepi blog ini yang tertulis "wirid Khaujakan".